Friday, 5 April 2019

Kisah Fasakh Lily

[ALHAMDULILLAH, AKHIRNYA AKU BEBAS]
.
Semalam, 4 April 2019 jam lebih kurang 11 pagi, terukir senyum lebar di bibir saya tatkala Hakim menyebut tuntutan fasakh Lily (bukan nama sebenar) yang saya wakil telah sabit. Saya toleh ke muka Lily, muka ditutup dengan tangannya sambil saya terdengar sedu tangis bersama kata-kata “Alhamdulillah, akhirnya aku bebas”. Saya tahu, tangis dan ungkapan itu tanda kegembiraan yang tak dapat digambarkan perasaannya.
.
Liku kehidupan Lily penuh ranjau dimana 4 tahun yang lalu, beliau memberi amanah kepada saya untuk membuat tuntutan Nafkah Isteri. Namun, kes itu ditarik balik olehnya sendiri bagi memberi peluang kepada suaminya. Itu biasa. Namun, lebih kurang satu tahun sahaja, Lily kembali cari saya sebab nak buat permohonan cerai. Dia lalui sendiri sehingga Jawatankuasa Pendamai. “Saya dah penat cik Fahmi”,itu kata-katanya sebelum ini.
.
Suaminya enggan cerai, sebab nak ambil anak. Ibu mana sanggup nak bagi macam tu jugaklah Lily. Kemudian, kes fasakh difailkan selepas suaminya memfailkan Tuntutan Kembali Taat. Saya pikul beban berat untuk bantu Lily lepas daripada rasa seksa yang dia rasa.
.
Ini beberapa alasan yang kami dakwa :
.
1)​Suami Gagal/Culas Bagi Nafkah

Mereka menyewa sebuah rumah kampung di sekitar Padang Serai, Kedah. Mula menyewa selepas kes nafkah diri ditarik balik untuk beri peluang dan bina kehidupan baru. Masa awal, suaminya sedia segala nafkah, makan minum dan tempat tinggal untuk Lily. Tapi, bila Lily mula kerja kilang untuk bantu tampung keperluan rumahtangga, masa tu lah, Lily sudah tanggung keperluan sendiri.
.
Duit belanja dia memang tak adalah, sebab Lily sendiri tanggung keperluan anak. Lily pun selalu mintak bantuan ayahnya yang tinggal tidak berapa jauh daripada rumah mereka untuk bantu tampung keperluan dirinya.
.
2)​Suami curang & berkelakuan keji
Suami Lily pernah ‘kantoi’ WhatsApp dengan perempuan lain. Siap bersayang-sayang bagai. Lily nampak daripada ‘handphone’ suaminya ketika dia sedang mandi. Apa lagi, terus screenshot dan send gambar itu ke handphone Lily.
.
Selain pada WhatsApp, suaminya juga pernah ‘kantoi’ simpan DVD lucah. Lily jumpa di atas rak almari ketika mengemas rumah. Apa lagi, bergaduh besar la Lily masa itu. Suaminya pernah mengaku simpan DVD lucah tersebut dihadapan Lily.
.
Daripada kedua-dua ‘kantoi’ ni, masalah besar untuk saya buktikan pada Mahkamah kelak adalah BUKTI. Gambar screenshot henset bukan bukti Primer. Apatah lagi, bukti tersebut boleh dipadam daripada henset suami Lily. Untuk DVD lucah, suami Lily hanya mengaku dihadapan Lily sahaja, belum lagi dihadapan Hakim yang saya amat pasti masa itu, suaminya tak akan mengaku.
.
3)​Syiqaq/Persengkataan yang Berat Dalam Rumahtangga
.
Bergaduh mulut itu perkara yang sangat biasa dalam rumahtangga Lily. Masing-masing sudah ada kata caci dan maki antara suami dan isteri. Bahkan, Lily pun banyak kali bertengkar dengan ibu mertuanya dan suami Lily juga sampai dah pernah bertumbuk dengan bapa Lily.
.
Ada satu malam itu, apabila Lily datang ke rumah keluarga mertuanya di sekitar Lunas, Kedah, suaminya dan mak mertuanya enggan beri anaknya yang mereka ambil. Anak tu menangis nak ikut Lily. Akhirnya berlaku pergelutan dihadapan rumah antara Lily dan mertuanya. Macam ‘wrestling’ jugak lah. Mujur ada beberapa orang bersama yang rakam peristiwa tu.
.
Apa Yang Saya Buat Untuk Buktikan Kes Fasakh ini?
.
a)​3 Orang Saksi
.
Saksi merupakan pembuktian yang perlu di dalam Mahkamah. Khususnya di Kedah, bab Fasakh tak boleh diambil mudah dengan cukup sekadar dua orang saksi. Saya selalu pesan kepada Lily, prepare 3 orang saksi untuk lepaskan keraguan. Biar lambat, asalkan dapat. Saya atur saksi dan soal saksi dengan soalan yang tepat kepada perkara yang saksi tahu sahaja untuk buktikan dakwaan. Bab kelakaun keji memang tak dapat saksi nak buktikan.
.
Kalau tentang nafkah, memanglah saksi tak akan tahu. Yelah, benda yang duk dalam rumah mana nak tahu. Tapi, sekurang-kurangnya kena la tanya saksi, ada tak wakil suami datang ke rumah mengirim nafkah kepada Lily dan betul ke Lily pergi kerja kilang untuk tampung keperluan diri. Dan kena la tanya, ada tak Lily ini pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah.
.
b)​Gambar WhatsApp
.
Seperti yang saya kata, gambar WhatsApp bukanlah bukti yang kuat sebab dapat pun melalui screenshot. Lepastu yang mesej asal pun ada dalam henset suami. Kalau nak mintak suami tunjuk dalam Mahkamah, kemungkinan besar, dah taka da pun.
.
Cuma, saya cuba jugaklah hujah, gambar WhatsApp itu adalah Qarinah atau Circumstancial Evidence dan ia adalah salah satu bentuk pembuktian dalam Hukum Syarak. Serah je lah pada Mahkamah.
.
c)​Video
.
Bukti video pergelutan antara Lily dan mertuanya disamping pertengkaran antara Lily dan suami menjadikan saya amat yakin dengan bukti yang Lily ada. Memang perkara ini tak dijangka, tapi saya dah pernah pesan beberapa kali kepada Lily sebelum ini, apa pun insiden yang mungkin berlaku, ready dengan kamera henset.
.
Sekarang ini, nak rakam video dah tak perlu nak beli Video Rekoder atau bawak kamera digital. Henset sekarang canggih-canggih. Dulu, saya ingat video pun 3gp saja yang tak berapa nak jelas. Memang confirm ada keraguan. Tapi sekarang, berapa Megapixel pun saya dah tak tahu. Yang pasti, jelas imej dan suara.
.
d)​Pengakuan/Iqrar
.
Inilah bukti yang saya paling mahukan. Mana-mana Peguam pun kalau bawak kes yang payah nak dibuktikan amat berharap perkara ini terjadi. Dalam kaedah Undang-undang dan Hukum Syarak, inilah tahap pembuktian yang tertinggi. Saya mahu suaminya mengaku segala dakwaan khususnya bila nak bukti isu tak sedia nafkah, curang dan kelakuan keji.
.
Guest what, saya BERJAYA jadikan suaminya mengaku beberapa perkara semasa proses pemeriksaan balas. Inilah proses yang paling tinggi tahapnya bila menjadi seorang Peguam. Teknik soal balas ini memang tak ada dalam mana-mana buku. Saya pun belajar berdasarkan pengalaman mengendalikan kes, pemerhatian melalui Peguam-peguam Senior yang pernah saya berkhidmat sebelum ini, pemerhatian cara peguam-peguam lain soal, dan saya guna juga teknik Debat yang saya belajar dahulu semasa di Universiti.
.
Untuk kes Lily, saya hanya apply teknik yang saya namakan, Teknik Dorong, Kabur dan Tikam. Macam jurus silat pulak. Tapi, saya tahu, ini kekuatan saya dan saya percaya dan kelebihan saya selagimana saya faham kisah Klien saya.
.
e)​Hujah
.
Part terakhir dan sangat penting untuk menggulung kes. Dulu, masa di Universiti, saya sering menggalas tanggungjawab sebagai Pembahas Kedua, yang ada peluang untuk bidas, menghujjah dan menjadi Penggulung terakhir perdebatan sama ada di pihak Kerajaan atau Pembangkang. Saya sangat suka tugas ini. Sebab gulung ini, saya pernah menewaskan UIA untuk pertandingan Moot Trial di USIM masa itu sebab Hakim menyuruh secara spontan untuk sesi gulung hujah. Memang tak prepare tapi, hentam sajalah….
.
Tak banyak beza. Cuma dalam sesi terakhir di Mahkamah, ini real case. Saya perlu mencari autoriti dalil syarak, pandangan Mazhab, peruntukan undang-undang dan contoh kes-kes yang pernah diputuskan dahulu untuk bantu kuatkan kes Lily. Lepastu, saya berdoa sahaja agar keputusan berpihak kepada kami.
 
Daripada kes Lily ini, 3 perkara yang saya nak katakan,

i)​Alasan-alasan Fasakh mestilah jelas dan mengikut Hukum Syarak serta Undang-undang.

ii)​Bukti yang kuat amat perlu di dalam Mahkamah sebab Hakim itu manusia dan dia tidak tahu perkara yang berlaku melainkan kita yang perlu bantunya untuk ceritakan kebenaran. Pastikan semua bukti dibawa dan sentiasa kemas semasa bicara. Always, be prepare.

iii)​Hujah perlu mantap untuk yakinkan Mahkamah. Kena terus belajar. Semakin kita belajar semakin banyak yang kita tidak tahu.
Kisah Lily ini, saya harap dapat membantu sikit sebanyak kepada semua follower saya. Saya tahu, ramai lagi yang ada masalah yang lebih kurang sama dengan Lily. Tapi, make sure anda bersedia dengan sebarang kemungkinan di dalam rumahtangga.
.
Saya mintak, agar kita sama-sama tolong kongsikan kisah dan ilmu ini pada yang lain juga SEBAB ianya akan sangat berguna untuk mereka juga.
.
Jom Follow saya _ Peguam Syarie Kedah Penang Perak & Perlis : Khairul Fahmi & Associates_ untuk terus dapatkan Info, Tips dan Maklumat berkaitan dengan isu Mahkamah Syariah. Atau Facebook saya sendiri Khairul Fahmi untuk dapatkan perkongsian daripada saya.

- Pahit yang lama, bertukar gembira selamanya-
Khairul Fahmi Bin Ramli
Peguam Syarie Kedah, Penang, Perak & Perlis.
#lawyerkfassc
#fasakh

No comments:

Post a Comment

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...