SAYA MACAM KAHWIN DENGAN ’BIAWAK HIDUP’]-Kisah sebenar dari Mahkamah Syariah Kuala Muda, isteri yang tanggung nafkah rumahtangga.
Ayu (bukan nama sebenar) seorang ibu berkerjaya tinggi. Seorang nurse di negara Timur Tengah. Anak-anak semuanya sudah besar. Ya, perkahwinan jarak jauh. Suaminya izinkan untuk pergi ke sana kerana pendapatan lumayan. Boleh bantu keluarga dan stabilkan kewangan. Setiap bulan, Ayu akan kirim ke Malaysia sekurang-kurangnya RM7000 sebulan kepada suaminya. Sehinggalah....
.
Ayu mendapat tahu bahawa suaminya telah berkahwin seorang lagi di Sempadan Siam. Apa lagi, luluh la hati Ayu. Sudahlah duit dikirim setiap bulan setelah penat membanting tulang di negara luar, suaminya juga tak kerja.
.
Lebih geram dan tambah sakit hati, duit yang diberi Ayu itulah yang digunakan untuk digunakan sebagai mas kahwin. Kalau nak ikut kemampuan, suami Ayu tidak ada kerja tetap, hanya mengambil upah kerja-kerja kampong sahaja macam potong rumput, kutip getah sekerap dan lain-lain.
.
Nak saya tambah lagi, duit yang sepatutnya digunakan untuk belanja anak yang masih bersekolah pun tak cukup. Kantoi ni bila anak yang mengadu kepada Ayu, kenapa duit bagi tak cukup. Sebab nak bayar yuran tuition lagi. Balik ke Malaysia, Ayu terus soal suaminya, kenapa anak cakap tak cukup, mana buku simpanan yang dia minta suami pegang sebagai amanah. Bila ditekan, baru lah ‘pecah lobang’ apabila suaminya mengaku telah berkahwin dengan seorang perempuan lain. Janda kampung sebelah sahaja.
.
Macam biasa, bila dalam Mahkamah, suami tak mahu lepas, sebab katanya dia sedia nafkah secukupnya dan dia kata isterinya yang pergi kerja tanpa izin. Saya jenis tak boleh bincang, saya jenis suka lawan saja sebab fakta kes Ayu kuat dari segi nafkah. Jadi, saya atur strategi macam mana nak bukti suami gagal beri nafkah.
.
5 Faktor Yang Perlu Dibuktikan Bila Suami Gagal Beri Nafkah
==================================================
1)Rumah perkahwinan
.
Semasa perbicaraan, Mahkamah paling nak tahu dahulu, dimana rumah perkahwinan. Sewa ke, beli ke atau tumpang rumah ibu bapa. Ada sesetengah keadaan, pihak-pihak berpindah randah. Maklumlah, kalau orang kerajaan, asyik berpindah je la tempat bila dah naik pangkat. Perlu untuk Mahkamah ketahui dimana rumah terakhir pihak-pihak. Dan yang paling penting, siapa yang membayar sewa atau loan setiap bulan. Kalau rumah yang diduki tersebut rumah sendiri yang sudah tiada hutang, perlu diceritakan rumah itu milik siapa dan siapa yang membayar segala bil-bil utiliti untuk buktikan tentang rumah perkahwinan.
.
2)Pekerjaan Suami Sebelum & Selepas Kahwin
.
Dalam kes nafkah, perlu untuk kita tahu dahulu, apakah pekerjaan suami sebelum berkahwin. Ini kerana nak bukti kepada Mahkamah, semasa awal tempoh perkahwinan, sama ada suami mempunyai sumber pendapatan sebagai pencari nafkah atau tidak. Kebanyakan kes, rumahtangga semasa awal perkahwinan, suami mempunyai pekerjaan dan menanggung segala keperluan dengan baik. Namun, bila keadaan semakin tertekan dari segi ekonomi, suami telah membenarkan isteri untuk berkerja dan isteri menanggung makan minumnya sendiri melalui pekerjaan. Dalam syarak, walaupun, isteri bekerja atau pendapatan tinggi sekalipun, suami tetap wajib menyara makan minum isteri.
.
3)Bagaimana Saraan Nafkah Isteri Sebelum Kes Cerai Difailkan
.
Nafkah pada asasnya adalah Makan, Minum, Pakaian dan Tempat Tinggal sahaja. Kebanyakan yang berlaku sepanjang pengamatan dan pengalaman, saya dapati, nafkah pada awal perkahwinan, ada diberi oleh suami dalam bentuk wang ringgit dan kemudian setelah mempunyai anak, suami hanya membeli keperluan rumah sahaja. Itu tidak menjadi masalah selagi mana suami menyediakan nafkah asas tersebut. Yang pastinya, jika pada asalnya, suami memberi nafkah dalam bentuk wang ringgit, maka lebih mudah untuk dinilai sama ada suami gagal atau tidak menyediakan nafkah. Adalah lebih baik jika sekiranya, nafkah tersebut dimasukkan melalui akaun bank supaya mudah untuk dibuktikan oleh mana-mana pihak kepada Mahkamah.
.
4)Tempoh ketiadaan Nafkah Diri
.
Penentuan tempoh kegagalan nafkah, mesti dinyatakan di dalam Penyata Tuntutan. Mahkamah paling tak boleh terima, kalau tidak ada tempoh yang jelas dan mungkin kes dibuang macam tu sahaja. Ataupun yang tak berapa logiknya ada sesetengah alasan, dari awal kahwin tak dapat nafkah. Mungkin pada fahaman awam, nafkah ini adalah wang ringgit, tapi hakikatnya tidak. Sebab itu, tempoh gagal ini penting kerana ia akan MEMUDAHKAN Hakim untuk mendengar perbicaraan dan MEMUDAHKAN juga untuk kita buktikan di dalam Mahkamah. Untuk cerai taklik atau fasakh, kedua-duanya alasan gagal nafkah suami dalam tempoh 3 bulan. Cuma taklik perkahwinan lebih jelas menyebut ‘3 bulan Qamariah berturut-turut’. Pastikan jelas tempoh gagal nafkah dan dinyatakan di dalam penyata tuntutan.
.
5)Bagaimana Menampung Keperluan Nafkah
.
Yang terakhir, Mahkamah mesti nak tahu, bagaimana isteri boleh hidup atau survive kalau tak dapat nafkah dari suami. Jadi, disinilah beban pembuktian sebenar kepada isteri untuk memberi keterangan kepada Hakim, dari mana dia dapat sumber pendapatan untuk tampung keperluan hidup dan adakah ada mana-mana pihak yang bantu kalau tak cukup. Perlu juga Mahkamah tahu, sama ada, wakil pihak suami ada dating untuk beri nafkah kepada isteri atau tidak.
.
Ok, back to our story, kes Ayu ini pada asasnya mudah untuk saya buktikan iaitu ada resit transfer duit yang disimpan oleh Ayu dan juga ada buku akaun kemasukan duit di Malaysia. Cuma, yang menjadi masalah adalah, Adakah benar, Ayu dapat keizinan daripada suami ke Saudi untuk kerja?
.
Disinilah ‘idea dari langit’ turun iaitu :
.
1)Orang yang berkerja di luar negara, jika sekiranya dia telah berkahwin, khususnya wanita, dia perlu dapatkan keizinan daripada suami dengan menandatangani satu borang kebenaran. Jadi, surat itu saya lampirkan sebagai dokumen utama bahawa ada keizinan.
.
2)Bukti tak langsung/Qarinah bahawa duit setiap bulan suami terima untuk tanggung segala keperluan dan kehendak selama lebih daripada 2 tahun, takkan la tak izin lagi. Dah habis ‘Licin Talar’ suami kerjakan sampai dapat madu, takkan tak izin lagi.
.
Akhirnya, Mahkamah terima hujah dan keterangan saya. Berlinang air mata Ayu. Mukanya merah dan penuh sebak. Diluar Mahkamah, saya hanya dengar “Terima Kasih Tuan. Saya sangat tak sangka, saya Macam Kahwin Dengan Biawak Hidup. Saya yang dok bela dia dan anak-anak. Rumah saya beli, kereta saya beli, superbike saya beli, last2 saya yang makan hati.”
.
Kesimpulan dari kisah Ayu,
1) Make sure nafkah yang diberi tu dalam bentuk wang ringgit (ikut kemampuan) dan bank in jer supaya mudah nak bukti apa-apa pun di Mahkamah.
.
2) Kalau rasa isteri ini nusyuz, dapatkan nasihat peguam untuk membuat tuntutan sabitan Nusyuz.
.
3) Isteri tak wajib beri duit kepada suami, kalau niat nak membantu, berpada-pada. Jangan sampai suami naik lemak. Ramai yang naik lemak sekarang sebab isteri dah kerja. Baik tak payah laki kalau isteri yang dok tanggung.
.
Beringat sebelum Mendapat.
#lawyerkfassc
#nafkah
No comments:
Post a Comment