Tuesday, 10 December 2013

Ulasan Isu keterangan kanak-kanak (belum baligh) dan keterangan saksi tohmah (ada kepentingan)

1)    Isu : Sama ada keterangan anak-anak belum baligh (sempurna akal)  itu adalah diterima

Anak- anak merupakan wasilah utama dalam perhubungan antara ibu dan ayah. Adalah menjadi suatu tanggungjawab buat anak-anak untuk berbuat baik kepada ibu dan ayah sebagaimana yang telah diwajibkan Allah s.w.t di dalam firmannya :

“Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” .

(Al-Isra’ : 23 -24)

Namun, tuntutan memberikan keterangan itu tidaklah terlepas kepada seorang kanak-kanak dalam memberikan suatu keterangan terhadap suatu pertikaian.  Keperluan memberikan kesaksian dan keterangan oleh umat Islam itu adalah merupakan suatu tuntutan yang amat dituntut dalam Islam. Kepentingan keterangan ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam  beberapa buah hadis diantaranya:


عن أم سلمة قالت, قال رسول الله صلى اله عليه وسلم إنكم تختصمون إلى ولعل بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض. فأقضي له على نحو مما أسمع منه فمن قطعت له من حق أخيه شيئا فلا يأخذه. فإنما أقطع له به قطعة من النار.
Ertinya: Dari Ummi Salamah telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda ; kamu telah bertikai dihadapanku, mungkin ada diantara kamu yang lebih petah              berhujjah (memberi keterangan) dari yang lain, lalu aku menghukum berdasarkan dari apa yang aku dengar darinya. Sesiapa yang telah aku hukumkan (berikan) untuknya sesuatu dari hak saudaranya ( yang ia tidak berhak tetapi diperolehi lantaran hujjahnya yang petah) janganlah ia mengambilnya kerana dengan itu aku telah memotong untuknya sekeping api neraka. (Al-Imam al-Nawaai, Syarah Sahih Muslim,  Muassasah Qurtubah, Cairo, 1991: Jld. 12. Hlm. 7)



Sabda baginda lagi:


لو يعطي الناس بدعواهم لادعى رجال أموال قوم ودماءهم لكن البينة على المدعي واليمين علي من أنكر

Ertinya: Andainya semua orang boleh diberikan hukuman semata-mata kerana adanya  dakwaan pastilah semua orang akan membuat dakwaan terhadap harta dan  darah orang lain tetapi sebaliknya setiap dakwaan mestilah mendatangkan  keterangan dan yang engkar mestilah bersumpah. (Mustafa Abdul Rahman, Hadis 40 (terjemahan dan syarahnya), Dewan Putaka Fajar, 1992, hlm. 361.Lihat juga Dr. Wahbah Zuhaily, al-Fiqhu al-Islami Wa Adillathu, jld.6, hlm. 513.) 


Melalui hadis nabi dan syair diatas dapat kita fahami bahawa keterangan adalah asas terpenting dalam melaksanakan sesuatu hukuman. Oleh itu ia perlu tepat dan jelas, tanpa keterangan yang tepat dan benar sudah pasti keadilan tidak dapat ditegakkan. Lantaran itu syariat islam memberikan satu garis panduan yang ketat dalam menilai kesahihan sesuatu keterangan yang diberi seperti memperincikan kelayakan seseorang saksi yang layak dibawa kemahkamah.


Dalam soal memberikan penyaksian terhadap sesuatu perkara itu, apa yang ditekankan dalam memberikan kesaksian (syahadah) terhadap seseorang itu adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria yang telah ditetapkan dan digariskan oleh syara’ serta undang-undang.


Menurut Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Pulau Pinang, telah digariskan sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam seksyen 83 (4) iaitu seseorang yang belum mencapai akil baligh adalah kompeten untuk memberikan bayyinah sahaja tetapi tidak sampai keterangannya sehingga ke tahap syahadah.


Perkara ini adalah selari sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj Al-Ramli (1938), Mesir: Mustafa al-Babi al-Halabi, halamah 277 yang membahaskan tentang syarat penerimaan saksi oleh As-Syafie adalah seorang yang telah mencapai akil baligh. Maka, Imam Nawawi menegaskan kesaksian seorang yang belum mencapai akil baligh adalah tidak diterima mengikut mazhab tersebut.


Begitu juga ditekankan dalam Akta Keterangan 1950 di bawah seksyen 133A yang merekodkan bahawa suatu keterangan daripada kanak-kanak itu boleh diterima sekiranya dia memahami tentang keterangan yang akan diberikan dalam erti kata yang sebenarnya mempunyai akal yang cukup bagi mewajarkan penerimaan keterangannya itu, dan dia faham tentang kewajipan bercakap benar. Maka, konsep ini adalah selari dan bertepatan dengan Islam yang menekankan supaya keterangan daripada seorang kanak-kanak yang telah mencapai akil baligh iaitu dapat menggunakan akalnya dengan baik.


Had umur baligh telah dibahaskan dikalangan para mazhab yang muktabar mengenainya. Para ulama’ tersebut telah berbeza pendapat. Menurut majoriti ulama Mazhab Syafi’i dan Hanbali seseorang dikatakan baligh apabila telah berusia 15 tahun, baik laki-laki atau perempuan. Menurut Imam Hanafi, usia baligh adalah 18 tahun bagi laki-laki dan 17 tahun bagi perempuan.


Perkara ini adalah selari dengan peruntukkan yang telah ditetapkan dalam pemakaian Akta Umur Dewasa 1971 di bawah seksyen 2 yang menetapkan umur dewasa bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun. Meskipun tiada peruntukkan undang-undang yang jelas dalam Enakmen Keterangan tersebut, maka mahkamah boleh merujuk kepada hukum syarak dan mana-mana peruntukkan lain yang tidak bercanggah dengannya.


Hal ini telah diperuntukkan di bawah seksyen 130 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang menyatakan

“Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.”


Ini bermakna, keterangan seseorang kanak-kanak yang belum akil baligh itu hanyalah diterima sebagai keterangan biasa sahaja, tidaklah berupaya menjadi keterangan utama kepada satu pertikaian antara pihak-pihak yang bertikai. Keterangannya haruslah disokong dengan keterangan-keterangan yang lain dan ia tidak boleh berdiri dengan sendirinya.


Terdapat satu kes rujukan yang boleh digunapakai oleh Mahkamah dalam menilai isu ini iaitu Chao Chong vs Pendakwa Raya [1960] MLJ 238 iaitu di dalam penghakiman kes ini, mahkamah telah merekodkan satu keterangan yang melibatkan keterangan daripada kanak-kanak dan di dalam kes ini Mahkamah Rayuan telah menyatakan keterangan kanak-kanak hendaklah diterima secara was-was kerana mereka mungkin tidak faham kesan mengambil sumpah dan juga kanak-kanak kadangkala susah atau tidak boleh membezakan antara fantasi dan kebenaran.

Begitu juga dengan kes Tham Kai Yau vs Pendakwa Raya[1977] 1 MLJ 174 dimana dalam kes ini juga adalah melibatkan keterangan kanak. Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa amaran secara rasmi tidak perlu diberikan kepada juri tentang bahaya mensabitkan seseorang tertuduh hanya dengan keterangan oleh seorang saksi kanak-kanak yang tidak disokong. Menurut Mahkamah Persekutuan lagi, apa yang perlu dilakukan oleh hakim adalah untuk memaklumkan kepada juri supaya keterangan oleh saksi kanak-kanak ini dikaji dengan teliti dan menjelaskan kemungkinan saksi kanak-kanak tersebut menokok tambah atau mereka-reka keterangannya.


2)    Sama ada keterangan saksi (tohmah) adalah diterima

Keperluan memberikan keterangan merupakan satu tuntutan yang amat dituntut terhadap umat Islam kepada pihak-pihak yang bertikai. Keterangan yang diberi adalah bertujuan untuk membantu hakim khususnya dalam memberikan pengadilan kepada dua pihak yang bertikai tentang satu perkara. Namun, dalam memenuhi tuntutan memberikan keterangan ini, perlu untuk dinilai dan diteliti terhadap beberapa perkara yang amat perlu ditekankan bagi memenuhi tuntutan tersebut. Antaranya yang paling penting adalah kriteria yang ditetapkan oleh syarak dalam memberi suatu keterangan itu adalah saksi tersebut tidaklah mempunyai tohmah. Al-Shirbini (1997), Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Ma`rifah, jil. 4, h. 569.

Terdapat satu hadis yang jelas daripada baginda Nabi Muhammad s.a.w yang menegah kepada penerimaan saksi yang ada tohmah. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim tersebut berbunyi :

لا تجوز شهادة لذي الظنة ولا ذي الحنة : والظنة التهمة والحنة العداوة
“Tidak boleh diterima keterangan saksi yang ada tohmah dan ada permusuhan”

Tiada tohmahan ini merupakan syarat yang ditekankan bahawa sesiapa sahaja yang memiliki tohmahan akan menyebabkan kesaksiannya ditolak. Ini kerana ia menimbulkan keraguan dan menjejaskan kebenaran kesaksian. Tohmah bermaksud ada kepentingan yang boleh dicapai atau ada kemudaratan yang boleh ditolak dengan kesaksian tersebut. Perkara ini boleh timbul akibat hubungan baik atau permusuhan.
Tohmahan boleh timbul antara lain daripada situasi berikut mengikut Al-Shafi`i(1968), Al-Umm, t.t, t.tp, Bab Al-Syahadat, jil. 7, h. 42
a. Imam al-Syafi‘i mengatakan tidak harus kesaksian bapa bagi anaknya, cucu dan seterusnya ke bawah.
Demikian juga tidak diterima kesaksian bagi bapanya. Imam al-Nawawi menyebut tidak diterima kesaksian anak-ibu bapa bagi faedah pihak masing -masing tetapi diterima jika menentang pihak-pihak tersebut. Imam al-Ramli menyebut penerimaan ini adalah kerana hubungan mereka biasanya baik dan tiada tohmah. Tetapi jika hubungan itu sudah tidak baik maka tidak diterima juga.
b. Kesaksian suami isteri adalah diterima. Mengikut Keterangan oleh seorang saksi lelaki yang adil mencukupi dalam hal melihat anak bulan. Keterangan seorang lelaki adalah mencukupi dalam kes-kes  seorang guru yang melibatkan murid sekolah, keterangan pakar dalam menilai barang rosak, keterangan mengenai penerimaan dan penolakan saksi, pemberitahuan mengenai pemecatan wakil serta keterangan tentang kecacatan dalam mana-mana barang jualan. Keterangan seorang perempuan adalah mencukupi untuk buktikan fakta yang biasanya dilihat oleh atau dalam pengetahuan seorang perempuan. Dalam kes mal, jika plaintif hanya berjaya kemukakan seorang saksi, maka keterangan saksi itu hanya boleh diterima jika disertakan dengan sumpah plaintif berkenaan. Selain daripada bilangan saksi di atas, keterangan hendaklah diberikan oleh dua orang saksi lelaki atau oleh seorang lelaki dan dua orang saksi perempuan.

Perkara ini telah ditetapkan dalam peruntukan di bawah Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Pulau Pinang) di bawah seksyen 83 (6), (7) dimana seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dan mempunyai kepentingan dengan pihak menentang adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberisyahadah bagi pihak itu dan seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruk dengan pihak menentang adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah. 


Maka, untuk menjadikan hujah ini lebih kompeten, suka saya merujuk kepada penghakiman di dalam kes Saharain Nordin lwn Noraidah Nordin [2008] 1 CLJ (Sya) iaitu kes yang berkaitan dengan pengesahan hibah dimana di dalam kes ini, pihak responden/pemohon telah mengemukakan saksi-saksi yang terdiri daripada adik-beradik  kepada responden sendiri dan merupakan orang berkepentingan dalam kes ini. Kes ini telah diterima rayuannya bagi dibicarakan semula oleh pihak perayu kerana keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi tersebut tidak disokong oleh mana-mana keterangan yang lain.
 

Begitu juga dengan kes Che Abdullah Che Kob lwn Wan Jarah Binti Wan Daud, dimana dalam kes ini pada muka surat 203 (perenggan akhir) dan 204 dan dalam penghakiman kes ini, Yang Arif Hakim telah menyatakan :

“ …Dakwaan-dakwaan seperti ini memerlukan sokongan daripada saksi-saksi atau apa-apa keterangan lain yang boleh diterima mengikut Hukum Syarak dan undang-undang dan adalah menjadi beban yang tertanggung ke atas yang mendakwa (Defendan) selaku Perayu dalam kes ini untuk membuktikannya bagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaki Nabi (s.a.w) bersabda :-


البينة على المدعي واليمين على من أنكر

Yang mana bermaksud –

“Orang yang mendakwa hendaklah membuktikannya dengan keterangan saksi (bayyinah) dan sumpah ke atas orang yang menafikannya.”

Perayu telah mengemukakan 4 orang saksi bagi menyokong dakwaanya. Saksi-saksi yang ditampilkan adalah terdiri daripada 3 orang saksi lelaki dan seorang saksi wanita.


Saksi pertama merupakan ayah kandung kepada Perayu sendiri. Mahkamah Bicara telah menolak keterangan daripada saksi ini kerana terdapat elemen tohmah dari sudut kedudukannya dalam memberikan kesaksian. Bahkan jika keterangan saksi ini diterima, taraf kesaksiannya adalah bayyinah dan bukan bertaraf syahadah.


Ini adalah kerana hubungan anak dan bapa adalah dianggap mempunyai hubungan baik dan ada tohmahan jika keterangan diberikan untuk faedah dan kebaikan pihak yang satu lagi, maka dengan sebab itu ia tidak memenuhi kehendak dan syarat syahadah.















-     Dapatan kajian daripada Khairul Fahmi bin Ramli, Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, KUIS -

No comments:

Post a Comment

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...