Isteri Lari Dari Rumah, Nusyuz Ke ?
=========================
Banyak situasi yang mungkin pernah berlaku kepada anda atau rakan-rakan anda ataupun mungkin kepada saudara-mara kita yang terpaksa lari dari rumah meninggalkan suaminya. Saya percaya, kita biasa dengar situasi ini banyak sangat dan masing-masing ada cerita tersendiri.
Banyak persoalan yang diajukan kepada saya berkaitan dengan isu lari dari rumah ini “Adakah isteri nusyuz sebab lari dari rumah?”.
Dan saya terpanggil untuk kongsikan dan ulas persoalan ini dengan lebih mudah untuk difahamkan berdasarkan undang-undang, hukum syarak serta pengalaman saya sendiri kendalikan kes di Mahkamah Syariah.
✳️Apa itu Nusyuz?
Apabila seseorang wanita telah diijab Kabulkan dengan pasangannya, maka dia telah menjadi milik sah kepada lelaki tersebut. Akan terletak segala tanggungjawabnya kepada suaminya. Dan isteri tersebut mestilah TAAT kepada suaminya. Inilah hak suaminya. Manakala hak isteri tersebut adalah hak untuk mendapat nafkah merangkumi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Jika isteri tidak mentaati kehendak suami sedangkan suami telah menyediakan segala keperluan isteri, maka, itulah yang dikatakan sebagai nusyuz.
.
✳️Apa peruntukan Undang-undang Keluarga Islam tentang Nusyuz?
Sebenarnya tidak ada peruntukan/seksyen khusus mengenai Nusyuz, namun, ia terletak di dalam Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008 iaitu seorang isteri tidak berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.
Begitu juga di dalam peruntukan yang sama Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004, menyatakan hal yang sama.
.
✳️Apa contoh-contoh tindakan Nusyuz?
-Sengaja menjauhkan diri daripada suami
-Meninggalkan rumah suami bertentangan dengan kemahuan suaminya.
-Enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak
-Memukul suaminya
-Dan lain-lain.
.
✳️Siapa yang boleh sabitkan Nusyuz pada seseorang isteri?
Hanya Hakim Mahkamah Syariah SAHAJA yang berhak untuk mensabitkan bahawa seseorang isteri tersebut Nusyuz. Pihak lain tidak boleh dan tidak ada kuasa hatta suami sendiri. Ada yang dengan mudah mengatakan Tok Imam Masjid cakap isteri saya nusyuz, Tok Guru Pondok cakap isteri dah nusyuz dan lain-lain pihak yang belajar tentang agama. Mungkin pandangan agamanya betul, tapi hakikatnya, hanya Hakim yang berhak dan boleh sabit Nusyuz sebab ia perlu dibicarakan dahulu sebelum isyitihar seseorang wanita itu Nusyuz.
✳️Macam mana nak sabit Nusyuz?
Di dalam Syarak, telah digariskan, jika seseorang isteri tersebut ingkar arahan sah suaminya:
1) Nasihati isteri tersebut dengan baik, jika enggan patuh,
2) Pisahkan tempat tidur, jika enggan juga patuh,
3) Pukul dengan pukulan yang tidak menyakitkan, macam pukul dengan hujung bantal, kata sesetengah ulama’.
Dari sudut Undang-undang (tak ada garis panduan tepat namun, ini pandangan berdasarkan penulisan undang-undang dan pengalaman saya kendalikan kes) , caranya adalah :
4) Menghantar satu notis kembali taat kepada isteri, perlu melalui notis guaman yang sah.
5) Buat Permohonan Kembali Taat kepada Mahkamah dengan memerintahkan supaya isteri kembali taat dalam tempoh tertentu dan kemudian mohon disabitkan Nusyuz sekiranya tetap enggan kembali taat.
.
✳️Apa kesan Nusyuz?
Hak isteri untuk terima nafkah akan GUGUR kalau dia NUSYUZ. Itu sahaja. Ada beberapa keadaan nusyuz yang berat boleh mendatangkan kesan yang pada kes-kes lain seperti mutaah contohnya. Kadar mutaah mungkin akan berkurangan jika Mahkamah dapati bahawa isteri tersebut telah disabitkan nusyuz semasa tempoh perkahwinan.
Ia hanya akan menggugurkan nafkah diri yang berhak terhadap dirinya. Ia juga akan datangkan kesan tidak mendapat Nafkah eddah sekiranya berlaku perceraian. Namun, bagi tuntutan yang lain, Nusyuz tidak sesekali menggagalkan hak isteri yang lain selepas cerai. Contohnya, Harta Sepencarian.
✳️ Bagaimana nak hilangkan title nusyuz?
Nusyuz hanya boleh gugur sekiranya isteri tersebut bertaubat dan kembali taat pada suaminya sahaja. Maksudnya, jika isteri tersebut lari meninggalkan rumah, dia hanya perlu balik sahaja ke rumah tersebut jika tiada apa-apa alasan yang menghalang untuk isteri pulang ke rumah.
✳️ Apa keadaan yang membolehkan isteri lari keluar daripada rumah suaminya?
Di dalam syarak ada digariskan beberapa keadaan isteri boleh bertindak keluar daripada rumah kelaminnya iaitu :
- jika terdapat ancaman yang nyata terhadap dirinya oleh suami, contohnya isteri dipukul dengan teruk, isteri boleh keluar dari rumah ke balai polis untuk buat laporan dan ke hospital untuk buat pemeriksaan.
- jika terdapat ugutan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri, contohnya suami mengacu pisau untuk menikam isteri dan ugut bunuh atau apa-apa bentuk ancaman yang mungkin boleh berlaku. Boleh keluar selamatkan diri dan segera ke balai polis untuk laporkan jika ada ancaman.
- jika terdapat bahaya yang mungkin berlaku keatas dirinya. Contohnya rumah nak terbakar atau rumah sentiasa didatangi Ah Long yang datang menuntut hutang suami contohnya.
- jika hendak datang ke Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama untuk membuat pengaduan tentang isu rumahtangga atau melalui proses perbicaraan yang diwajibkan hadir.
- jika hendak keluar bekerja mencari nafkah diri disebabkan suami gagal beri nafkah atau tidak cukup nafkah bagi dirinya.
- apa-apa perkara lain yang difikirkan boleh mendatangkan mudharat kepada tubuh badan dan jiwa isteri tersebut.
Ada banyak keadaan dan situasi yang sukar untuk tentukan seorang isteri itu patut atau tidak lari daripada rumah kelaminnya. Banyak keadaan yang berlaku adalah isteri tidak pulang ke rumah dan tinggal bersama ibu bapanya sebab hanya terasa hati atau merajuk sahaja dengan suami. Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan ia boleh membawa kepada nusyuz.
Tapi, kalau betul isteri mengalami tekanan perasaan di dalam rumahtangga, jumpa lah dengan Juru Kaunseling di Pejabat Agama dan buat pertemuan dengan Pakar Psikatri di Hospital Kerajaan bagi mendapatkan nasihat dan rawatan. Wallahualam.
Terus follow dan like Fahmi Ramli untuk mendapat lebih informasi berkaitan isu rumahtangga Islam di Mahkamah Syariah. Tekan share sekarang untuk kita bantu beri info ini pada kawan-kawan yang alami situasi ini.
Lari Dari Masalah Takkan Ada Penyelesaian
Fahmi Ramli
Di mana saya boleh mohon cerai taklik
ReplyDeleteIsteri failkan fasakh... Saya akan buat pembelaan dan tuntutan balas. Dalam tuntutan balas tersebut bolehkah saya masukan tuntutan isteri kembali taat.... Isteri tidak patuh pada suami dan isteri menganiaya suami.
ReplyDelete