Wednesday, 17 April 2019

Kisah Iza Putus Tunang


[ESOK NAK NIKAH, HARI INI KAU DATANG PUTUSKAN TUNANG]
-Iza (mangsa putus tunang)
.
Iza, 25, anak dara kepada kedua ibu bapanya yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai di sekitar Sungai Petani. Dia baru sahaja kenal dengan seorang lelaki ni di Facebook dalam tempoh sebulan. Mulanya, macam kawan-kawan saja, tapi si lelaki ni terus mesej dia pada satu pagi.

“Iza, jom kawen. Esok mak ayah I datang ke rumah U untuk meminang”

Terkejut Iza. Hati dia berkata, biar betul laki ni. Baru sebulan jer kenal, dah nak masuk minang. Iza, terdiam kaku tanpa membalas mesej tersebut dalam satu jam. Jari Iza terus menaip “Youtube” dan mendengar ceramah Ustaz Kazim Elias tentang jodoh. Senang cerita, Iza rasa, ini adalah jodoh sebab laki ni sanggup nak serius dalam hubungan dengan ikatan yang sah.

Iza membalas mesej tersebut dengan perasaan serba salah. “Ok, kalau U serius, datang la bawak mai rombongan”. Gembira pun ada. Macam tak percaya pun ada. Terus Iza beritahu kepada ayah dan ibunya. Mereka macam tak percaya, tapi bagi mereka, kalau dah jodoh, tak kemana. Mungkin ini jodoh anaknya.

Esoknya, benar-benar rombongan keluarga pihak lelaki datang. Perbincangan diadakan ala kadar saja. Tak ada pun berpantun ke, pelamin tunang ke, sangat simple. Asalkan lepas Syarak dan adat Melayu jer. Tarikh pernikahan mereka ditetapkan lebih kurang 3 bulan. Nak dilangsungkan tu dalam bulan 12 sebab ramai kenalan ayahnya, kaum keluarga yang bercuti. Di Kedah, mas kahwin tak ditetapkan macam sesetengah negeri yang lain. Tapi, Iza pun tak la mintak tinggi. Mas Kahwin RM500 dan hantaran RM8000 sahaja.

Pihak lelaki bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dalam tempoh 3 bulan sebelum pernikahan. Hati Iza berbunga-bunga bila dia telah disunting oleh lelaki yang dia hanya kenali tak sampai sebulan genap. Banyak persiapan yang Iza dan keluarganya telah buat. Biliknya diperbesarkan dengan penambahan katil King Size. Ayahnya pun tak sabar nak sambut menantu sulung ke rumahnya.
Iza dan tunangnya telah keluar bersama beberapa kali untuk membeli kelengkapan perkahwinan. Baju-baju perkahwinan juga telah ditempah. Jenuh, setiap butik diterjah sebab banyak baju yang tidak berkenan dan sudah ditempah orang. Maklumlah, orang nak kahwin bulan 12 ni bukan sorang dua ja pasangan. Borang-borang permohonan nikah juga semua telah lengkap.

Sehari sebelum nikah, Iza dapat panggilan daripada tunangnya, untuk berjumpa di KFC Sungai Petani. Katanya ada hal yang nak dibincangkan. Debar hati Iza buatkan dia rasa tak senang. Iza bertemu tunangnya, “Kenapa U nak jumpa dengan I?U dah prepare ke untuk hari esok?” soal Iza bertalu. Tunangnya senyap seketika. Kemudian, dia menarik nafas dalam sambal Iza menanti perkataan pertama keluar dari mulutnya.

“I mintak maaf, I nak putus pertunangan kita. I tak boleh tipu diri I. I amik keputusan bertunang dengan U sebab I suka ‘Lelaki’, jadi I tak nak orang tahu I macam tu. Sebab tu I nak cepat kahwin dengan U. I tak nak permainkan perasaan U dan I pun tak nak tipu diri I sendiri.”

Iza bangun dari tempat duduknya, “WHAT?”jerit Iza separa kuat. Lelaki tersebut menghulurkan sampul surat coklat yang Iza tidak tahu apa di dalamnya. Hatinya yang seakan marah dan tidak percaya terpinga-pinga, lalu lelaki tersebut pulang begitu sahaja dengan perkataan “Maafkan saya”.


APAKAH BOLEH IZA TUNTUT GANTIRUGI PADA LELAKI TERSEBUT?
======================================================
- Pertunangan adalah suatu perjanjian sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk berkahwin. Pada ketika bertunang, haram untuk orang lain mengikat pertunangan dengan perempuan itu. Dalam undang-undang Keluarga Islam setiap negeri ada diperuntukkan tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk  mendengar dan memutuskan tuntutan Gantirugi Perkahwinan.
- Mana-mana pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu, adalah bertanggungjawab untuk pulangkan :
            1)            Pemberian pertunangan (jika ada)
            2)            Memulangkan nilainya
3)         Membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu.
-              Jadi, Iza boleh membuat tuntutan gantirugi yang dia telah tanggung untuk membuat sebarang persediaan kearah perkahwinan tersebut. Ini termasuk dengan persiapan yang dilakukan bagi Majlis Pertunangan.

ADAKAH BOLEH IZA TUNTUT GANTIRUGI KEAIBAN KERANA DIMALUKAN OLEH PIHAK LELAKI
===========================================================================
-              Tidak boleh. Di dalam Mahkamah Syariah, hanya gantirugi perkahwinan yang berbentuk perbelanjaan kearah persediaan untuk Majlis Perkahwinan sahaja boleh dituntut. Jika tuntutan itu bersifat gantirugi am kerana keaiban/malu, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan perasaan, ia boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil (Tuntutan Sivil). Ini berdasarkan kepada kes Salbiah Bt Othman vs Haji Ahmad B Abdul Ghani (JHXXI/I 1427H) yang mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak tuntutan Gantirugi Keaiban berjumlah RM200,000.00 yang dituntut oleh pihak Plaintif.

APA CONTOH YANG IZA BOLEH TUNTUT DI MAHKAMAH SYARIAH
=====================================================
-              Di dalam kes Iza ni, Iza membuat tuntutan :
i) belanja kenduri kecil-kecilan semasa hari pertunangan seperti jamuan makan dan khemah-khemah luar rumah
ii) Baju pengantin yang telah dibayar penuh olehnya termasuk dengan make up kepada butik
iii) Bayaran duit catering
iv) Kad-kad jemputan
v) Pengubahsuaian rumah (bilik tidur, bilik air, cat rumah dll)
vi) Pembelian katil pengantin
vii) Tempahan langsir dan cadar
viii) Deposit photographer

BAGAIMANA PERJALANAN KES IZA DI MAHKAMAH
=========================================
- Tuntutan dibuat terhadap bekas tunang tersebut. Dan ex tersebut setuju bahawa dia yang mungkir namun tidak setuju dengan jumlah tuntutan Iza. Alhamdulillah, selepas dibuktikan di dalam Mahkamah dengan segala pembuktian yang wajar, maka, tuntutan Iza telah diluluskan oleh Mahkamah. Bekas tunangnya tersebut diperintahkan untuk membayar gantirugi yang Iza dan keluarganya tanggung. Memang wang ringgit tak mampu untuk membayar keaiban yang ditanggung Iza, tapi sekurang-kurangnya dapat beri pengajaran kepada dirinya juga dan kepada lelaki tersebut.
Semoga, real case Story Iza ini dapat beri pengajaran kepada semua, bahawa, jangan terburu-buru dengan pertunangan. Selidik dahulu latar belakang. Dunia kini berbeza dengan dunia yang dahulu terima sahaja bila ada orang melamar. Saya harap, kisah ini dapat dipanjangkan dengan maksud pengajaran dan pedoman semua. Follow saya Khairul Fahmi Ramli dan like Page Khairul Fahmi & Associates untuk saya terus berbakti ilmu dengan pengalaman kes saya.
- Pertunangan itu Janji, Menunaikan itu Tanggungjawab -

No comments:

Post a Comment

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...