[5 KESILAPAN BILA MELANTIK PEGUAM SYARIE]
1 - Tidak tahu nak lantik Jabatan Bantuan Guaman atau Peguam Swasta
Perkara ini merupakan perkara utama yang perlu diketahui oleh seseorang yang mempunyai isu di Mahkamah Syariah. Sebagai orang awam, perlu kita ketahui terlebih dahulu, di dalam negara ini, ada dua jenis Peguam Syarie iaitu Peguam Jabatan Bantuan Guaman iaitu satu badan yang dilantik di bawah Akta Bantuan Guaman. Boleh dikatakan, setiap negeri ada Jabatan Bantuan Guaman. Cuma ia perlu mengikut syarat yang telah digariskan oleh Jabatan Bantuan Guaman sendiri sama ada seseorang itu LAYAK atau TIDAK untuk mendapatkan khidmat bantuan guaman. Atau pun mungkin kes yang berlaku tersebut adalah kes yang memang tidak dibawa oleh Jabatan Bantuan Guaman sendiri seperti kes Jenayah Syariah misalnya.
Atau pun jika seseorang itu merasa selesa untuk terus mendapatkan khidmat Peguam Syarie Swasta bagi MEMBANTU PENGURUSAN KES DI MAHKAMAH SYARIAH, mereka boleh terus mendapatkannya kerana ia tidak perlu melalui proses tapisan sebagaimana proses untuk mendapatkan khidmat Jabatan Bantuan Guaman. Namun, perkara yang perlu untuk diterima adalah, dari sudut kos guaman, yang mana SUDAH PASTI ada kos yang tertentu ditetapkan berbanding khidmat Jabatan Bantuan Guaman.
Sama sahaja macam situasi kalau anda sakit, dimana servis yang anda pilih, HOSPITAL KERAJAAN ATAU HOSPITAL SWASTA. Kedua-duanya ditubuhkan untuk cuba mengubati pesakit, bezanya dari segi Nilai Khidmat/Servisnya. Tepuk dada, tanya selera. Ambil tahu pilihan & kemampuan anda.
2 - Tidak selidik kelayakan seseorang Peguam Syarie
Dimasa ini, ada sesetengah pihak cuba untuk mengambil kesempatan atas masalah seseorang dengan menawarkan perkhidmatan guaman dengan kos yang tertentu padahal DIA TIDAK ADA KELAYAKAN UNTUK BERAMAL SEBAGAI PEGUAM SYARIE. Mereka inilah yang kita boleh gelarkan sebagai ‘ULAT’. Hanya mengaut keuntungan atas angin dan kemudian jika bernasib baik, mereka mungkin serahkan kes anda kepada mana-mana Peguam Syarie yang boleh beramal di dalam sesebuah negeri. Jika ada yang bernasib malang, golongan ulat ini akan mengambil duit dan terus hilang seperti seorang SCAMMER.
Hari ini, mungkin anda akan mencari seseorang Peguam Syarie itu melalui ‘rekemen’ atau cadangan daripada rakan atau kenalan anda yang sudah pernah menggunakan khidmat peguam tersebut. Ada juga yang mendapatkan khidmat guaman syarie dengan ‘Walk-In’ terus ke mana-mana firma guaman yang mungkin perkara ini jarang berlaku. Dan pada pemerhatian saya, ramai yang kini mendapatkan khidmat guaman syarie melalui kajian di Internet.
Saya mencadangkan supaya seseorang itu sebelum melantik mana-mana Peguam Syarie khususnya, semak dahulu sama ada ‘Peguam Syarie’ yang anda ingin berjumpa, konsultansi dan lantik untuk kendalikan kes benar-benar boleh beramal dan mempunyai Sijil Guaman Syarie yang sah. Tak susah, Cuma perlu semak secara online sahaja di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri2.
3 - Tidak mengenali latar belakang Peguam Syarie
Dewasa ini, untuk mengenali seseorang individu itu tidak lagi sesukar dahulu kerana dengan dunia yang hanya dihujung jari ketika ini, kita bahkan boleh terus berhubung dengan Perdana Menteri hanya dengan media sosial. Boleh dikatakan, jika sekiranya seseorang individu itu tidak wujud di dalam dunia sosial digital, ia boleh dikatakan suatu yang sangat asing.
.
Ini kerana, 93% orang menyelediki seseorang/sesebuah badan/syarikat itu dengan ‘Google’ terlebih dahulu untuk menimbulkan kepercayaan. Dengan kepercayaanlah, baru kita lebih yakin dan berani untuk bertindak melantik seseorang peguam syarie untuk bertindak bagi pihaknya. Jadi, amat penting bagi anda yang nak lantik Peguam Syarie ini tahu sikit sebanyak latar belakang peguam tersebut seperti berapa lama pengalaman kendalikan kes, dimana firmanya, boleh beramal di Mahkamah Syariah tersebut atau tidak dan apa-apa perkara lain yang wajar.
.
So, kena la tahu yer sikit sebanyak sebelum anda melantik seseorang itu untuk bertindak bagi pihak anda supaya anda akan lebih rasa selesa untuk berurusan kelak.
4 - Tidak mengambil tahu tentang potensi dan perjalanan kes
Saya melihat dan mengkaji ada segelintir pihak yang hanya serahkan seratus peratus kepada Peguam Syarie yang dilantiknya untuk uruskan bahkan ada sesetengah pihak tidak tahu apa yang sebenarnya tuntutan yang dibuatnya sendiri. Sehinggakan, ketika proses perbicaraan, orang yang menuntut tidak tahu apa tuntutan yang dibuat. Ini kerana, anda tidak mendapat maklumat dengan tepat, bagaimana perjalanan kes dan sejauh mana hak anda dapat ditegakkan.
.
Tak salah kalau anda seorang yang berkemampuan, namun sekurang-kurangnya, kena la tahu, perjalanan kes dan sentiasa ‘follow up’ dengan peguam anda. Anda juga perlu tahu tentang potensi kes anda serta persediaan yang perlu dibuat sebelum bicara. Sebagai anakguam, anda perlu tahu setakat mana hak anda yang anda nak perjuangkan di Mahkamah.
.
Semua perkara ini amat penting supaya anda tidak terpinga-pinga dengan prosedur dan sentiasa peka dengan kes anda. Ingat, ini kes anda pada asasnya, bukan kes peguam anda. Jadi, andalah yang perlu lebih bertanggungjawab dengan kes anda sendiri.
5 - Tidak mengetahui dan ambil peduli tentang kos guaman.
Isu ini merupakan isu yang amat sensitif kerana ia melibatkan wang ringgit yang telah anda gunakan untuk membayar kos guaman kepada Peguam Syarie yang anda lantik. Sebenarnya tidak ada satu garis panduan yang tetap untuk peletakkan kos guaman bagi kes di Mahkamah Syariah, namun, ia perlu berlandaskan kepada berapa tahap kesukaran kes tersebut yang perlu untuk dikendalikan, pengalaman seseorang peguam syarie yang dilantik dan apa-apa perkara yang difikirkan munasabah untuk meletakkan kos guaman ini.
.
Sebagai pengguna, anda perlu tahu dengan tepat dan terperinci dengan kos guaman ini kerana saya bimbang, akan jadi isu dimana sering kali ada aduan tak puas hati dengan kos yang diletakkan oleh Peguam anda. Sebab itu, saya katakan, anda perlu menjadi pengguna yang bijak dan tahu perincian kos guaman anda. Lebih baik jika sekiranya suatu kontrak pelantikan peguam yang mengandungi terma kos guaman yang terperinci dimeterai terlebih dahulu supaya tidak ada isu penambahan kos atau wujud kos-kos tersembunyi yang timbul kemudian hari.
.
Anda yang menentukan dengan siapa yang anda hendak berurusan. Anda bebas untuk melantik mana-mana Peguam Syarie yang mengikut tahap KEPERCAYAAN & KEYAKINAN ANDA dengan ilmu dan mungkin dengan pengalamannya. Memang ada beza dari segi kos, sebab ada peguam yang anda kata Mahal dan ada peguam yang anda rasa sederhana sahaja dan mungkin ada yang murah. Tak salah kalau anda nak risik2 kos guaman sebelum melantik, namun, biarlah pemilihan anda itu mengikut KEYAKINAN dan KEMAMPUAN anda sendiri. Ibaratnya sama sahaja macam anda nak beli kereta. Ada sesetengah pihak, ia merasakan kereta FERRARI F40 itu mahal, tapi percayalah ia tidak dicipta dan dijual kepada orang yang tidak mahu dan tidak mampu untuk memilikinya. Anda yang membuat pilihan, kereta apa yang anda mahu dan mampu untuk memilikinya. Ini Contoh….jangan terasa pulak.
No comments:
Post a Comment