Friday, 2 August 2019

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’

Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwin dengan sorang perempuan ni, tapi saya pi pejabat agama, depa tak bagi saya nikah. Depa suruh saya pi Mahkamah. Pasai pa pulak ni Tuan?”

Ni mesti cik tak habis eddah lagi ni, betul tak? Muka dia kerut penuh soal, betul ke tak peguam ni. Takkan la laki ada eddah. Nak tunggu berapa lama pulak. Mesti ramai yang hari ni baru tahu, sebenarnya lelaki juga ada tempoh eddahnya sebelum dia berkahwin dengan seseorang perempuan.

πŸ‘‰πŸ» Mengikut kitab Al-Mu’tamad dalam Fiqh Mazhab Syafie (rujukan saya dan yang paling muktabar) ‘iddah adalah tempoh wanita menahan diri bagi mengetahui kekosongan rahimnya atau untuk beribadah. Ia juga bermaksud menahan diri dan bernikah setelah diceraikan suami mereka.

πŸ‘‰πŸ» Ia adalah sesuatu ketetapan yang telah diwajibkan mengikut dalil yang sangat bertepatan dengan syarak sama ada daripada dalil ayat-ayat al-quran, hadis nabi dan juga ijmak ulamak muktabar.

πŸ‘‰πŸ» Eddah untuk suami ini sebenarnya tidak ada di dalam syarak sebabnya mana-mana lelaki yang bercerai sama ada rajie atau bain, boleh menikahi mana-mana perempuan SELAGI tiada halangan Syarak. Jika ada halangan, itulah yang dikatakan lelaki juga mempunyai tempoh ‘bereddah’ iaitu menahan sebentar sebelum berkahwin dengan wanita lain.

Antara halangan tersebut adalah :

✅ Apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada isterinya yang empat dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh ’iddah isterinya yang diceraikan tersebut.

✅ Seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talaq tiga. Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka beliau hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat ’iddah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut.

✅ Apabila seseorang lelaki yang telahpun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isteri, ibu saudara kepada bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain. Dalam situasi ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh ’iddah isterinya berakhir terlebih dahulu

πŸ‘‰πŸ» Eddah bagi lelaki ini selain bertujuan halangan mengikut syarak tersebut, sebenarnya bertujuan untuk memelihara hak isteri yang baru diceraikan secara talak rajie juga. Sebab itu, sekiranya seorang suami ingin berkahwin dengan wanita lain sedangkan tempoh eddah isterinya belum berakhir, suami tersebut perlu membuat Permohonan Poligami di Mahkamah Tinggi Syariah. 

πŸ‘‰πŸ» Ini kerana suami tersebut masih boleh merujuk kembali isteri yang diceraikan dan mungkin suami boleh ambil kesempatan untuk berpoligami sekiranya dibenarkannya untuk berkahwin dengan wanita lain semasa eddah isterinya.

Orait, boleh faham ke sekarang. Siapa yang rasa ini ilmu baru yang dia tahu? Cuba tag dan kongsikan pada rakan-rakan anda dengan tekan butang share sekarang. Paling tidak pun, sampaikan peringatan ini pada rakan lelaki yang baru bercerai. 

Jangan Kalut Sangat Nak Menikah, Sabaq Sat
Fahmi Ramli

Monday, 29 July 2019

Artis Putus Tunang

Viral seorang artis terkenal yang putus pertunangannya juga dengan seorang artis. Siapa-siapa pun kalau bertunang tak mahu hal ini terjadi. Lebih perit pulak pertunangan yang diputuskan ini ada isu yang besar sehingga melibatkan pihak polis.

Saya tak mahu ulas tentang isu yang timbul antara artis tersebut. Biarkan pihak polis lakukan tugas mereka. Cuma, ada soalan daripada netizen, Aisyah tu tak boleh tuntut apa-apa ke di Mahkamah Syariah? Insya allah saya akan ulaskan sedikit supaya menjadi panduan semua.

✳️ Boleh Ke Tuntut Gantirugi di Mahkamah Syariah?

- Pertunangan adalah suatu perjanjian sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk berkahwin. Pada ketika bertunang, haram untuk orang lain mengikat pertunangan dengan perempuan itu. Dalam undang-undang Keluarga Islam setiap negeri ada diperuntukkan tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk  mendengar dan memutuskan tuntutan Gantirugi Perkahwinan.

- Mana-mana pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu, adalah bertanggungjawab untuk pulangkan :

   1)            Pemberian pertunangan (jika ada)
  2)            Memulangkan nilainya
  3)         Membayar apa-apa wang yang telah    dibelanjakan oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu.

-   Jadi, dalam kes ni, pihak yang diputuskan pertunangan boleh membuat tuntutan gantirugi yang dia telah tanggung untuk membuat sebarang persediaan kearah perkahwinan tersebut. Ini termasuk dengan persiapan yang dilakukan bagi Majlis Pertunangan.

✳️ Boleh ke Tuntut Saman Malu?

-    Tidak boleh. Di dalam Mahkamah Syariah, hanya gantirugi perkahwinan yang berbentuk perbelanjaan kearah persediaan untuk Majlis Perkahwinan sahaja boleh dituntut. 

- Jika tuntutan itu bersifat gantirugi am kerana keaiban/malu, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan perasaan, ia boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil (Tuntutan Sivil). 

- Ini berdasarkan kepada kes Salbiah Bt Othman vs Haji Ahmad B Abdul Ghani (JHXXI/I 1427H) yang mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak tuntutan Gantirugi Keaiban berjumlah RM200,000.00 yang dituntut oleh pihak Plaintif.

✳️ Apa Yang Aisyah Boleh Tuntut di Mahkamah Syariah? 

-  Di dalam kes Aisyah ni, dia boleh membuat tuntutan :

i) Belanja kenduri kecil-kecilan semasa hari pertunangan seperti jamuan makan dan khemah-khemah luar rumah

ii) Baju pengantin yang telah dibayar penuh olehnya termasuk dengan make up kepada butik

iii) Bayaran duit catering

iv) Kad-kad jemputan

v) Pengubahsuaian rumah (bilik tidur, bilik air, cat rumah dll)

vi) Pembelian katil pengantin

vii) Tempahan langsir dan cadar

viii) Deposit photographer

Ok, faham kan apa yang boleh dituntut untuk gantirugi putus tunang. Pertunangan bukan hal yang boleh dibuat main-main. Ia dah melibatkan dengan perundangan serta hukum syarak. Jadi, pihak yang memutuskan pertunangan perlu bertanggungjawab atas pemutusan pertunangan tersebut melainkan pihak satu lagi tu redha. 

Moga kita semua dilindungi dengan rahmat Allah. Tapi kalau dah tiada jodoh, mungkin ada hikmah disebalik insiden ni. Ada hikmah juga bila tahu sesuatu sebelum berkahwin, kan? Follow dan Like Fahmi Ramli untuk terus mendapat info perundangan syariah.

Berani Putus Berani Tanggung
Fahmi Ramli

Sunday, 28 July 2019

Isteri Lari Dari Rumah

Isteri Lari Dari Rumah, Nusyuz Ke ?
=========================

Banyak situasi yang mungkin pernah berlaku kepada anda atau rakan-rakan anda ataupun mungkin kepada saudara-mara kita yang terpaksa lari dari rumah meninggalkan suaminya. Saya percaya, kita biasa dengar situasi ini banyak sangat dan masing-masing ada cerita tersendiri.

Banyak persoalan yang diajukan kepada saya berkaitan dengan isu lari dari rumah ini “Adakah isteri nusyuz sebab lari dari rumah?”. 
Dan saya terpanggil untuk kongsikan dan ulas persoalan ini dengan lebih mudah untuk difahamkan berdasarkan undang-undang, hukum syarak serta pengalaman saya sendiri kendalikan kes di Mahkamah Syariah.

✳️Apa itu Nusyuz?

Apabila seseorang wanita telah diijab Kabulkan dengan pasangannya, maka dia telah menjadi milik sah kepada lelaki tersebut. Akan terletak segala tanggungjawabnya kepada suaminya. Dan isteri tersebut mestilah TAAT kepada suaminya. Inilah hak suaminya. Manakala hak isteri tersebut adalah hak untuk mendapat nafkah merangkumi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Jika isteri tidak mentaati kehendak suami sedangkan suami telah menyediakan segala keperluan isteri, maka, itulah yang dikatakan sebagai nusyuz.

.
✳️Apa peruntukan Undang-undang Keluarga Islam tentang Nusyuz?

Sebenarnya tidak ada peruntukan/seksyen khusus mengenai Nusyuz, namun, ia terletak di dalam Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008 iaitu seorang isteri tidak berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya. 

Begitu juga di dalam peruntukan yang sama Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004, menyatakan hal yang sama.
.
✳️Apa contoh-contoh tindakan Nusyuz?

-Sengaja menjauhkan diri daripada suami
-Meninggalkan rumah suami bertentangan dengan kemahuan suaminya.
-Enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak
-Memukul suaminya
-Dan lain-lain.
.
✳️Siapa yang boleh sabitkan Nusyuz pada seseorang isteri?

Hanya Hakim Mahkamah Syariah SAHAJA yang berhak untuk mensabitkan bahawa seseorang isteri tersebut Nusyuz. Pihak lain tidak boleh dan tidak ada kuasa hatta suami sendiri. Ada yang dengan mudah mengatakan Tok Imam Masjid cakap isteri saya nusyuz, Tok Guru Pondok cakap isteri dah nusyuz dan lain-lain pihak yang belajar tentang agama. Mungkin pandangan agamanya betul, tapi hakikatnya, hanya Hakim yang berhak dan boleh sabit Nusyuz sebab ia perlu dibicarakan dahulu sebelum isyitihar seseorang wanita itu Nusyuz.

✳️Macam mana nak sabit Nusyuz?

Di dalam Syarak, telah digariskan, jika seseorang isteri tersebut ingkar arahan sah suaminya:
 
1) Nasihati isteri tersebut dengan baik, jika enggan patuh,
 
2) Pisahkan tempat tidur, jika enggan juga patuh,

3) Pukul dengan pukulan yang tidak menyakitkan, macam pukul dengan hujung bantal, kata sesetengah ulama’.

Dari sudut Undang-undang (tak ada garis panduan tepat namun, ini pandangan berdasarkan penulisan undang-undang dan pengalaman saya kendalikan kes) , caranya adalah :

4) Menghantar satu notis kembali taat kepada isteri, perlu melalui notis guaman yang sah.

5) Buat Permohonan Kembali Taat kepada Mahkamah dengan memerintahkan supaya isteri kembali taat dalam tempoh tertentu dan kemudian mohon disabitkan Nusyuz sekiranya tetap enggan kembali taat.
.
✳️Apa kesan Nusyuz?

Hak isteri untuk terima nafkah akan GUGUR kalau dia NUSYUZ. Itu sahaja. Ada beberapa keadaan nusyuz yang berat boleh mendatangkan kesan yang pada kes-kes lain seperti mutaah contohnya. Kadar mutaah mungkin akan berkurangan jika Mahkamah dapati bahawa isteri tersebut telah disabitkan nusyuz semasa tempoh perkahwinan.

Ia hanya akan menggugurkan nafkah diri yang berhak terhadap dirinya. Ia juga akan datangkan kesan tidak mendapat Nafkah eddah sekiranya berlaku perceraian. Namun, bagi tuntutan yang lain, Nusyuz tidak sesekali menggagalkan hak isteri yang lain selepas cerai. Contohnya, Harta Sepencarian.

✳️ Bagaimana nak hilangkan title nusyuz?

Nusyuz hanya boleh gugur sekiranya isteri tersebut bertaubat dan kembali taat pada suaminya sahaja. Maksudnya, jika isteri tersebut lari meninggalkan rumah, dia hanya perlu balik sahaja ke rumah tersebut jika tiada apa-apa alasan yang menghalang untuk isteri pulang ke rumah.

✳️ Apa keadaan yang membolehkan isteri lari keluar daripada rumah suaminya?

Di dalam syarak ada digariskan beberapa keadaan isteri boleh bertindak keluar daripada rumah kelaminnya iaitu :

- jika terdapat ancaman yang nyata terhadap dirinya oleh suami, contohnya isteri dipukul dengan teruk, isteri boleh keluar dari rumah ke balai polis untuk buat laporan dan ke hospital untuk buat pemeriksaan.

- jika terdapat ugutan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri, contohnya suami mengacu pisau untuk menikam isteri dan ugut bunuh atau apa-apa bentuk ancaman yang mungkin boleh berlaku. Boleh keluar selamatkan diri dan segera ke balai polis untuk laporkan jika ada ancaman.

- jika terdapat bahaya yang mungkin berlaku keatas dirinya. Contohnya rumah nak terbakar atau rumah sentiasa didatangi Ah Long yang datang menuntut hutang suami contohnya.

- jika hendak datang ke Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama untuk membuat pengaduan tentang isu rumahtangga atau melalui proses perbicaraan yang diwajibkan hadir.

- jika hendak keluar bekerja mencari nafkah diri disebabkan suami gagal beri nafkah atau tidak cukup nafkah bagi dirinya.

- apa-apa perkara lain yang difikirkan boleh mendatangkan mudharat kepada tubuh badan dan jiwa isteri tersebut.

Ada banyak keadaan dan situasi yang sukar untuk tentukan seorang isteri itu patut atau tidak lari daripada rumah kelaminnya. Banyak keadaan yang berlaku adalah isteri tidak pulang ke rumah dan tinggal bersama ibu bapanya sebab hanya terasa hati atau merajuk sahaja dengan suami. Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan ia boleh membawa kepada nusyuz. 

Tapi, kalau betul isteri mengalami tekanan perasaan di dalam rumahtangga, jumpa lah dengan Juru Kaunseling di Pejabat Agama dan buat pertemuan dengan Pakar Psikatri di Hospital Kerajaan bagi mendapatkan nasihat dan rawatan. Wallahualam.

Terus follow dan like Fahmi Ramli untuk mendapat lebih informasi berkaitan isu rumahtangga Islam di Mahkamah Syariah. Tekan share sekarang untuk kita bantu beri info ini pada kawan-kawan yang alami situasi ini.

Lari Dari Masalah Takkan Ada Penyelesaian
Fahmi Ramli

Tuesday, 16 July 2019

Eddah Rajie dan Pantang Larangnya

PANTANG LARANG SEMASA EDDAH RAJIE 

Saya ada terbaca satu portal yang bagitau Netizen mengecam seorang usahawan yang baru bercerai dengan suaminya gara-gara upload gambar di IG dia keluar dengan anaknya dalam keadaan happy dan bersolek cantik-cantik. 

Jujurnya saya menganggap mengecam bukan budaya baik sebagai orang Islam. Mungkin ramai dikalangan kita yang tidak tahu tentang beza eddah cerai hidup dan cerai mati. Dan apa perlu dibuat kalau seseorang itu dalam tempoh eddah. 

Ada yang juga yang tak tahu, tempoh eddah. Lagi teruk, tak tahu Eddah itu benda apa. Yang ini memang kena diterangkan. Meh saya nak sharekan pada anda semua sikit tentang Eddah dan apa yang perlu dibuat oleh isteri yang diceraikan.

✅ Iddah dari segi bahasa maksudnya bilangan atau hitungan. Dari segi syarak pula maksudnya, tempoh yang ditentukan oleh syarak terhadap seorang wanita untuk menunggu bagi mengetahui kebersihan rahimnya.

✅ Eddah Cerai Talak Rajie

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 228 :

“Dan isteri2 merujuk kepada ayat Al-Quran di atas tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan sama ada percaraiannya secara lafaz talak atau fasakh ialah tiga kali suci daripada haid.”

❤️Jadi berdasarkan daripada dalil diatas, jelas menunjukkan tempoh iddah 3 kali suci slps diceraikan secara talak atau fasakh. Jika ditalaq semasa dalam keadaan suci, eddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga.

❤️Jika talaq tersebut berlaku ketika isteri sedang haid/tak suci, eddahnya tamat apabila datang haid yang keempat.

❤️ Jika talaq tersebut berlaku ketika isteri dalam keadaan nifas, isteri kena tunggu sampai 3 kali suci selepas nifas. Iddah tersebut akan tamat apabila datang haid yang keempat.

✅ Eddah Cerai Ketika Hamil

Tempoh eddah bagi seorang wanita yang hamil sama ada dengan sebab kematian suami atau diceraikan suami ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandung. Ini adalah berdasarkan ayat quran di dalam surah At-Talaq yang bermaksud :

“ Dan perempuan2 yang mengandung, tempoh eddahnya ialah sehingga dia melahirkan anak yang dikandungnya.”

❤️ Jadi, kalau berlaku lafaz cerai dalam tempoh mengandung, walaupun tempoh masa untuk bersalin telah singkat, maka bekas isteri dibenarkan untuk berkahwin selepas daripada bersalin anak tersebut.
.

✅ Eddah Diceraikan Sebelum Disetubuhi

❤️ Tiada Eddah
.

✅ Eddah Bagi Perempuan yang ISTIHADAH

❤️ Istihadah ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.

❤️ Jika sekiranya haid tersebut tidak menentu, tapi masih dapat tahu kebiasaan perjalanan darah haidnya, maka eddahnya adalah selama 3 kali suci.

❤️ Jika sekiranya haid tidak menentu dan tidak tahu kebiasaan perjalanan darah haidnya ATAU tidak dapat bezakan antara darah haid dan ISTIHADAH, maka eddahnya adalah selama 3 bulan.

✅ Eddah Bagi Perempuan Tiada Haid

❤️ Jika seorang perempuan itu diceraikan  dalam keadaan tiada haid, sama ada ia disebabkan penyakit, telah dibuang rahim, putus haid, belum pernah haid, atau lain2 perkara maka tempoh eddahnya adalah selama 3 bulan.
.
πŸ‘‰πŸ» Jadi, apa pantang larang isteri semasa bereddah talak rajie? 

❤️ Haram terima pinangan lelaki ajnabi (laki lain). Kalau pinangan pun dah haram, couple ke skandal ke lagi la haram.

❤️ Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Bertunang pun tak boleh, apatah lagi berkahwin.

❤️ Tak boleh keluar rumah melainkan dengan izin suami. Walaupun dah sah cerai, tapi, dalam eddah belum putus habis lagi yer. Masih ada lagi ikatan cuma kalau nak bersetubuh kena la ada lafaz rujuk.

❤️ Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan kebiasaan pasangan itu tinggal bersama. Suami tak boleh halau sebab suami masih bertanggungan untuk sediakan nafkah eddah. Tapi, kalau ada perkara yang merbahaya boleh berlaku dan ancam keselamatan isteri, boleh la keluar.

❤️ TIDAK BOLEH berkabung bahkan digalakkan untuk bersolek dan berhias kepada SUAMINYA sebagai dorongan untuk bangkitkan keinginannya rujuk semula. 
.
Ok, so far u all dapatkan apa yang saya kongsikan ini. Tak payah la kecam-kecam. Kita semua masih banyak yang jahil dalam bab agama termasuk la dengan saya.

Mungkin usahawan tersebut tidak tahu dan mungkin juga yang dia alasan tertentu yang hanya Allah sahaja yang tahu. Time macam ni, kita kena la support sesama Islam ok.  Sama-sama kita belajar dan menegur dengan hikmah sebab itulah pendidikan yang lebih bermanfaat. Wallahualam. 
.
Follow saya Fahmi Ramli dan teruskan untuk dapat lebih info tentang isu perundangan syariah.

Eddah waktu bermuhasabah.
Fahmi Ramli

Wednesday, 10 July 2019

Fasakh Kerana Nafkah

TIGA TAHUN GANTUNG TAK BERTALI, AKHIRNYA PUTUS JUGA

Saya pasti ramai wanita diluar sana yang pada ketika ini sedang digantung tak bertali. Langit pun tak, bumi pun tak. Feel sengsara dalam hati tu memang tak payah cakap la, nak teruskan perkahwinan, takut pisang berbuah dua kali. Nak lepas bebas, bukannya mudah nak kena naik mahkamah sebab suami tak mau lepas. 
.
Macam tu la jadi kat Dayah (Bukan nama sebenar). Orangnya muda sangat-sangat. Kahwin diawal usia. Masa nak kahwin tak fikir pun tentang kesusahan. Semua hat yang indah belaka. Rupa-rupanya hujan ditengah hari. Rumahtangga bergolak tak sampai setahun pun nikah. Suaminya tak sediakan nafkah asas dan bila bergaduh, Dayah bawak diri lari ke rumah ibu bapanya.
.
Hampir 3 tahun kes Dayah naik turun Mahkamah. Alhamdulillah, akhirnya Mahkamah sabitkan fasakh pada Dayah. Ada yang kata, awat lama sangat? Beratnya Ujian kat Dayah, mungkin tak sama dengan berat ujian orang lain. 

Isu nafkah tak dapat bukan isu yang ringan dan berat jugak nak bukti kat Mahkamah. Hakim juga ada pandangan yang berbeza. Ye la kan, Hakim pun manusia jugak.
.
✅ Apa nafkah asas yang patut isteri dapat?

Dalam syarak, nafkah asas yang wajib dapat pada seorang isteri adalah makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Cuma, kalau suami setuju dalam tempoh perkahwinan nak
bagi dalam bentuk wang ringgit pun boleh. Yang penting, semua keperluan asas yang tadi tu cukup. 
.
✅ Kalau suami tak sedia langsung semua tu?

Isteri boleh failkan Cerai Takliq bawah seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah ataupun Fasakh bawah seksyen 53 (1)(b) suami cuai atau gagal beri nafkah selama tempoh 3 bulan

✅ Kalau sekejap bagi, sekejap tak macam mana? Atau kadang tak cukup?

Sebaiknya, tuntut nafkah diri sebagai isteri dahulu di Mahkamah. Ia tertakluk di bawah seksyen 60 Enakmen Keluarga Islam. Selesai bicara, kalau tak disabitkan nusyuz, Mahkamah akan bagi satu perintah amaun nafkah yang perlu diberikan suami setiap bulan.

✅ Kalau suami tak kerja, macam mana?

Tanggungan nafkah akan berpindah kepada bapa mertua, datuk sebelah bapa dan golongan-golongan lain yang ditetapkan syarak iaitu keluarga sebelah pihak lelaki.

✅ Kalau isteri tak tinggal sekali dengan suami, boleh ke dapat nafkah?

Jika perkahwinan itu sememangnya dari awal dah PJJ, ada persetujuan tentang tempat tinggal berasingan, mungkin tak jadi masalah. Yang pasti, walau jauh, suami tetap wajib sediakan nafkah melainkan ada keredhaan dan apa-apa persetujuan.

Tapi, kalau isteri sengaja keluar dari rumah perkahwinan yang disediakan suami tanpa apa-apa sebab yang sah disisi syarak, maka, hak nafkah isteri mungkin digugurkan DENGAN SYARAT suami dapatkan pengisytiharan Nusyuz terhadap isterinya di Mahkamah. Bukan boleh terus suami isytihar nusyuz macam tu saja yer.

✅ Kalau disabit nusyuz, tak boleh dapat Fasakh ke?

Boleh tuntut fasakh, tapi tak boleh mohon fasakh atas sebab suami gagal beri nafkah kerana isteri yang disabit nusyuz, tidak layak untuk dapat nafkah sehingga dia bertaubat semula mengikut seksyen 60 (3) Enakmen Keluarga Islam Kedah.

Sebenarnya ada isu yang lain jugak yang didakwa dalam kes Dayah tersebut, tapi, cukuplah saya sharekan sikit tentang isu suami gagal beri nafkah dalam kes fasakh ni sebab saya yakin, ramai wanita yang alami isu ini. 
.
Kalau nak tahu betul atau tidak, jom komen dan tekan sekali butang share untuk bantu lebih ramai wanita lain mengetahui maklumat ini. Saya sangat hargai.
.
Terus Follow dan Like Page Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih info tentang isu Mahkamah Syariah.
.
Gantung Tak Bertali, Lama-lama Putus Jua.
#lawyerkfassc
#fasakh

Sunday, 7 July 2019

Bapa dapat Jagaan Anak Disleksia

BAPA DAPAT JAGAAN ANAK DISLEKSIA
.
Saya suka pembawaan drama TV3 semalam oleh Jinggo, suami Sheila Rusly, kisah tentang seorang lelaki yang mengalami Disleksia mengharungi perkahwinan lakonan Nazim Othman dan Emma Maembong. Cerita yang sebeginilah boleh mendidik masyarakat tentang keunikan yang ada seseorang individu yang mungkin kita tidak tahu sebagai masyarakat awam.
.
Saya bukan nak ulas tentang drama tersebut sebab bukan bidang saya nak ulas tentang drama tu. Cuma teringin nak share tentang isu Hak Jagaan Anak, kes yang pernah saya kendalikan sebelum ini berkaitan dengan anak yang mengalami Disleksia. Kes ini agak menarik dimana saya mewakili seorang ayah yang mahukan hak jagaan terhadap seorang anak yang mengalami hal tersebut.
.
πŸ‘‰πŸ» Sebenarnya Disleksia ini bukanlah satu penyakit kronik atau virus yang boleh mengancam seorang kanak-kanak, Cuma ia disebabkan kerosakan pada kebolehan otak anak tersebut untuk terjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Orang-orang kita selalu sebut sindrom ‘lambat membaca’. Walaupun ia bukan penyakit berbahaya, tetapi kesannya boleh sebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran.
.
πŸ‘‰πŸ» Jadi isunya, kes tersebut adalah seorang bapa yang mahu hak jagaan diberikan kepadanya keatas seorang anak yang berumur lebih kurang 6 tahun, perempuan. Pihak-pihak telah bercerai dan ibu tersebut merupakan seorang yang bekerjaya bagus. Si bapa juga seorang yang bekerjaya bagus dan banyak luang masa dengan anak tersebut sejak daripada kecil sebab bekerja dari rumah sahaja. Perpisahan berlaku disebabkan pihak-pihak ingin membawa hala tuju masing-masing. Tapi, yang jadi masalah adalah ‘Siapa yang layak menjaga anak tersebut?’
.
✅ Seksyen 82 (1) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004 memperuntukkan Ibu adalah yang paling berhak untuk mendapat jagaan anaknya semasa dalam tempoh perkahwinan ataupun selepas perkahwinannya dibubarkan.
.
✅ Ibu tersebut juga tidaklah hilang kelayakan sebagai Hadinah dibawah seksyen 84 Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004 iaitu ibu akan hilang kelayakan jika :

   ✳️ Berkahwin dengan lelaki lain
   ✳️ Berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
   ✳️ Menukar pemastautinannya untuk pisahkan dan cegah bapa melawat
   ✳️ Murtad
   ✳️ Cuai atau aniaya anak
 
Jadi, memang tidak ada isu hilang kelayakan terhadap ibu tersebut sebagaimana diatas. 

✅ Bahkan, jika dilihat Seksyen 85 (1) Enakmen keluarga tersebut, umur anak perempuan tersebut belum pun mencapai 9 tahun iaitu belum mencapai umur mumaiyiz yang ditetapkan oleh undang-undang untuk dia membuat pilihan. Maka, sememangnya berat kepada ibu dalam kes jagaan tersebut.
 
πŸ‘‰πŸ» Namun, isu ini menjadi berat kepada si bapa disebabkan bapa tersebut yang selalu bersama dengan anak itu. Si bapa yang banyak membawa anak tersebut berjumpa dengan pakar Disleksia serta banyak bagi dorongan kepada anak tersebut. Dalam kes ini juga, ibu tersebut sebenarnya tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya tidak dapat membaca dengan baik, lambat bercakap dan sering memarahi anak tersebut kerana kerap menconteng dinding rumah dengan ‘Crayon’ dan melukis di dinding.
.
πŸ‘‰πŸ» Sebaliknya, si bapa seorang yang penyabar dan amat memahami perkara yang telah berlaku kepada anaknya walaupun ada kekurangan disatu sudut tapi beliau yakin, kemampuan anaknya dari sudut yang lain. Malahan, kebajikan anak tersebut juga sangat terbela dibawah jagaan bapanya dan bapa tersebut tidak pun menghalang untuk ibu tersebut berjumpa dengan anaknya pada bila-bila masa.

✅ Atas sebab itu, mengikut Seksyen 87(1) dan 87(2) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004, yang menyatakan, Mahkamah boleh memilih orang yang berhak untuk jagaan anak walaupun mana-mana persatuan yang tujuannya adalah menjaga kebajikan anak-anak. Pertimbangan utama yang Mahkamah letakkan di dalam kes jagaan anak mengikut seksyen tersebut adalah Kebajikan kanak-kanak tersebut.
 
πŸ‘‰πŸ» Oleh sebab itu, bab penjagaan anak ini, perlu diperhalusi dan diteliti khususnya isu tersebut supaya perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah sememangnya dapat memberikan keadilan yang wajar khususnya kepada anak tersebut. Anak ini permata berharga dan amanah yang dipikul oleh penjaga itu bukanlah perkara yang kecil. Disleksia ini satu ujian dan juga satu anugerah yang Allah berikan pada insan-insan tertentu.
 
❤️ Billionaire terkenal, Steve Jobs (Founder Apple) Iphone yang korang pakai tu, Bill Gates (Founder Microsoft) komputer yang korang selalu guna tu, Tom Cruise (Pelakon Antarabangsa), Sir Isaac Newton (Saintis), Muhammad Ali (Peninju), Walt Disney (Founder Kartun Disney) dan ramai lagi, adalah insan yang mengalami Disleksia. Mana tahu, anak anda yang ada isu yang sama akan berjaya insan yang berjaya juga seperti mereka.
.
Semoga penulisan ini akan membantu dan beri lebih manfaat kepada semua orang. Jom tekan butang Share dan sebarkan artikel ini untuk kita kongsikan ilmu dan peroleh manfaat sedekah berkekalan, insya allah.
.
Follow kami Khairul Fahmi & Associates : Peguam Syarie Kedah, Penang, Perlis & Perak untuk dapat lebih info tentang isu Mahkamah Syariah.

Friday, 28 June 2019

Jangan Didik Cerai Luar Mahkamah

DRAMA MELAYU, DIDIK MASYARAKAT CERAI LUAR MAHKAMAH

Sedang saya dok jamah dinner saya kat area Shah Alam ni di sebuah kedai makan, saya terlihat sebuah drama tv3, Bukan Cinta Aku lakonan Syafiq Kyle dan Janna Nick. Cerita ni saya rasa ramai yang follow. Saya tak nak ulas tentang drama tu. Cuma, saya nak beri teguran ikhlas untuk penulis skrip Drama dan Pengarah Drama la kot. 

Ada satu babak di dalam drama tersebut dimana Tengku Isma demi nak lihat Ariana bahagia, dia membawa Ariana dan serahkan pada Arjuna. Yang saya cukup tak berkenan babak ni adalah, Lafaz Cerai tu berlaku di tepi pantai sahaja.

Saya rasa ini bukan drama pertama dan bukan juga kali pertama kita disajikan dengan tontonan media khususnya drama Melayu yang sering buat cerita Suami lafaz cerai Isteri di tempat selain dihadapan Hakim dan di dalam Mahkamah. 

✅ Adakah sah lafaz talak tersebut?

πŸ‘‰πŸ» Lafaz talak tersebut mungkin sah disisi Syarak kalau cukup rukunnya. Tetapi, talak bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main dan mudah-mudah untuk dilafazkan oleh suami walaupun dibenarkan di dalam Syarak.

✅ Adakah menjadi satu kesalahan?

πŸ‘‰πŸ» Ya, semestinya ia satu kesalahan di bawah seksyen 125 Enakmen Keluarga Islam Kedah iaitu
“Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

πŸ‘‰πŸ» Ramai lelaki yang tak tahu hal ini. Dan kemudian terkejut bila dapat Saman daripada Jabatan Pendakwa Syarie Negeri untuk hadir bagi satu kes jenayah yang telah dilakukan. Mau tak mau, kena mengaku la sebab dah memang berlaku diluar mahkamah dan selalu denda ratus-ratus gak la. 

✅ Apa yang perlu dibuat kalau dah terlafaz cerai diluar Mahkamah?

πŸ‘‰πŸ» Suami atau isteri mestilah di dalam tempoh 7 hari daripada tarikh lafaz cerai tersebut berlaku membuat satu saman pengesahan lafaz cerai luar mahkamah dan difailkan untuk membuat pengesahan dihadapan hakim syarie mengikut seksyen 57(1) Enakmen Keluarga Islam Kedah. 

πŸ‘‰πŸ» Kalau lambat pada hemat saya, ia mungkin jadi satu kesalahan di bawah seksyen 126(1) iaitu tidak membuat laporan yang sepatutnya dan boleh didenda tidak lebih rm1000 atau 6 bulan penjara. Tapi, jarang berlaku pendakwaan kes ini. Saya tak tahu, ini kuasa pihak pendakwa untuk mendakwa. Tapi, selalunya kalau lambat daftar untuk buat pengesahan cerai, memang akan menyebabkan Hakim tak suka ler. 

✅ Apa kesan lain kalau berlaku cerai diluar Mahkamah?

πŸ‘‰πŸ» Nilai Nafkah Eddah, Nafkah Tunggak & Mutaah

Mungkin ada yang cerai tersebut disebabkan dakwaan mereka isteri telah berlaku curang atau berlaku nusyuz tapi tak mendapatkan perintah nusyuz daripada Mahkamah terlebih dahulu. Akibatnya, ramai lelaki yang terkejut bila dah disahkan cerai, bekas isteri tersebut boleh tuntut Nafkah Eddah dan Nafkah Tertunggak. Walaupun, nusyuz mungkin tak gugurkan Mutaah, tetapi jika isteri dibuktikan nusyuz, mungkin dapat kurangkan jumlah tuntutan Mutaah tersebut.

πŸ‘‰πŸ» Undang-undang Syariah jadi undang-undang rimba

Bila banyak orang anggap cerai boleh saja dilakukan diluar Mahkamah, jadi undang-undang ini akan diabaikan dan boleh dibuat main-main. Tambah-tambah, jumlah dendanya pun bagi sesetengah orang, jumlahnya tu celah gigi jer nak bayar.

πŸ‘‰πŸ» Sukarkan isteri

Banyak keadaan, lafaz cerai berlaku di dalam rumah dan tak ada orang lain yang dengar melainkan isteri. Jadi, bila isteri buat pengesahan di Mahkamah, ada suami yang sengaja bersumpah nafi walaupun benar. Ada juga yang tidak hadir. Ada juga isteri yang tak ingat waktu dan bentuk lafaz. Akhirnya yang jadi mangsa bukan takat isteri, mungkin Hakim sekali pening nak putuskan.

✅ Jadi, bagaimana proses yang sebenar?

πŸ‘‰πŸ» Sekiranya jodoh tak panjang, walau marah macam mana sekalipun, jadi gentle. Pergi ke Mahkamah dan cakap nak failkan Permohonan Cerai cara baik bawah seksyen 47. Sekarang ni, kat Mahkamah dah ada fast track. Just isi ja maklumat di komputer. Kalau rasa macam nak lantik peguam pun tak ada masalah. Atas kehendak dan keperluan masing-masing. Tak paksa pun. Nanti datang jer ikut tarikh yang Mahkamah bagi. Settle.

Jadi, saya mohon sangat-sangat, isu ini diambil berat. Drama Melayu ni ramai yang tengok. Banyak masyarakat akan mudah ikut apa yang ada kat tv dan media. Jadi, please..statistik perceraian kini kian meningkat khususnya dikalangan orang muda. Jangan disebabkan hal ini, anda menjadi Agen kepada pendorong kearah peningkatan statistik ini.

Saya mintak kita sebarkan apa yang saya nak sampaikan ini demi mendidik masyarakat yang lebih bertamadun. 

Follow dan like page Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih info isu Mahkamah Syariah.

#lafazcerailuarmahkamah
#lawyerkfassc

Wednesday, 26 June 2019

Rujuk mengikut Undang-undang & Syarak

NAK RUJUK BALIK LEPAS CERAI, KENA ADA REDHA ISTERI KE?

Saya baru terbaca yang kononnya Aliff Aziz nak rujuk kembali Bella selepas berpisah. Ada seorang klien bertanya kepada saya, sah ke rujuk kalau Bella tu tak nak? Saya rasa persoalan ni mesti ramai yang nak tahu sebab ia akan melibatkan dengan Hukum Syarak dan Undang-undang.

✅ Apa itu Rujuk?

Ruju’ adalah mengembalikan seorang isteri yang telah ditalak, selain daripada talak ba’in dengan cara yang khusus. Hukum Rujuk dalam Islam adalah mubah atau harus. Di dalam seksyen 52 enakmen keluarga Islam Kedah, rujuk beerti bersekedudukan semula di dalam tempoh eddah.

✅ Ada rukun rujuk ke macam rukun talak?

Ya, ada. Ada tiga rukun mengikut Kitab Al’Mu’tamad Mazhab Syafie, dan Syarat-syaratnya :
.
✳️Rukun Pertama : Pelaku Rujuk
Dalam erti kata, suami itu sendiri yang memiliki hak talak. Syaratnya, suami itu mestilah berakal, akil baligh, tidak murtad dan melakukan Rujuk tersebut dengan kemahuannya sendiri.
 
✳️ Rukun Kedua : Lafaz Rujuk
Rujuk mestilah dilakukan dengan lafaz dan perkataan. Lebih kurang macam talak, lafaz rujuk juga mestilah lafaz yang jelas. Kalau jelas, tak perlu kepada niat. Contohnya, “Aku merujukmu” atau “Aku mengembalikanmu Si Fulan”. Dianjurkan juga untuk sandarkan pada pernikahan seperti “Aku merujukmu kepada pernikahanku”. Jika lafaz yang digunakan itu adalah kiasan, amat perlu untuk diketahui tentang niat suami tersebut.
 
✳️ Rukun Ketiga : Tempat dan Sasaran Rujuk
Semesetinya isteri yang telah diceraikan suami dengan talak raj’ie.
 
✅ Boleh ke rujuk dengan perbuatan?

Maksud perbuatan disini adalah rujuk dengan berhubungan kelamin atau ciuman dan selainnya dari perbuatan yang diawal pernikahan. Disisi Mazhab Syafie, Rujuk mestilah melalui lafaz. Tidak sah rujuk dengan hanya perbuatan.
 
✅ Kalau isteri tidak redha dengan rujuk macam mana?

Menurut penulis kitab Al-Muktamad tersebut, tidak disyaratkan keredhaan dan keinginan isteri. Menurut Seksyen 52(9) Enakmen Keluarga Islam Kedah, kalau isteri tidak setuju dengan sebab yang dibenarkan syarak, maka Mahkamah tidak boleh memerintahkan untuk hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mesti melantik jawatankuasa pendamai sebagaimana yang diperuntukkan mengikut seksyen 47 enakmen yang sama.

✅ Kalau suami dan isteri berselisih soal sahnya rujuk atau tidak, suami cakap “Aku telah merujukmu”, tapi isteri masih mengingkarinya, macam mana?

 
Sebenarnya kurang rujukan kes Ruju’ di Mahkamah Syariah kerana Permohonan Ruju’ hanya perlu terus berurusan di Pejabat Agama tempat pihak-pihak mendaftarkan perceraian untuk mendapatkan Surat Cerai. Pendaftar atau Pegawai Agama pejabat agama tersebut yang akan menyiasat mengikut syarak sebelum endors Surat Rujuk.

Tetapi jika sekiranya, suami ada mendakwa bahawa beliau ada merujuk isterinya semasa dalam tempoh eddah, tetapi tidak sempat pergi laporkan kepada Pejabat Agama, maka, barulah perlu untuk si suami membuat kes Pengesahan Rujuk di Mahkamah Syariah. Dan diperingkat ini, suami perlu membuktikan dakwaannya tersebut di hadapan hakim. Tetapi ia adalah kesalahan di bawah sek.52 (5) enakmen yang sama.

Isu ini memang agak sensitive. Saya percaya, ramai wanita yang akan tidak senang sebab isu hati, perasaan dan keredhaan. Tapi, inilah hakikat yang diterangkan di dalam Hukum Syarak dan Undang-undang.Namun, yang paling utama, RUJUK MESTILAH SEBAIKNYA DIBUAT DIHADAPAN PEGAWAI AGAMA semasa tempoh eddah. Wallahualam.

Sila kongsi untuk kita sebarkan ilmu ini. Moga kita dapat manfaat bersama.

Follow Khairul Fahmi & Associates dan Like Page. Follow juga saya Khairul Fahmi Ramli untuk dapat lebih maklumat isu syariah. 

Rujuk peluang kedua.
#rujuk
#lawyerkf

Saturday, 15 June 2019

Abai Nafkah Isteri Melanggari Janji

Suami Abai Nafkah Isteri dan Anak Melanggari Janji
.
Semalam, saya tengok satu drama kat tv3. Tajuknya Dosa Yang Tak Diiktiraf. Agak menarik mesej yang nak disampaikan. Cerita tentang sorang suami yang berubah daripada kehidupan sosial kepada kuat beragama sehingga abai anak isteri.
.
Saya tertarik nak ulas satu isu yang memang realiti. Pengabaian nafkah oleh suami kepada anak dan isteri kerana suami tinggalkan keluarga tanpa sebarang penjagaan, wang ringgit untuk biaya keperluan serta pengawasan yang perlu terhadap rumahtangga. 
.
✅ Sebenarnya di dalam Islam, tak ada satu pun dalil yang menyuruh untuk tinggalkan rumah (keluarga) untuk keluar berdakwah 3 bulan, 40 hari dan beberapa jumlah hari yang lain. Ya, saya tujukan tepat kepada golongan jemaah tabligh. Sebab, cerita ini memang dituju kepada golongan tersebut disamping pengalaman saya kendalikan kes sedemikian rupa.
.
✅ Ada sesetengah pihak yang memang telah menyediakan segalanya sebelum keluar berdakwah, namun, majoriti kes yang pernah berlaku adalah mereka meninggalkan anak dan isteri tanpa sebarang nafkah serta ada yang tak ambil peduli tentang kebajikan dan kehidupan anak isterinya.
.
✅ Pengabaian nafkah selama lebih daripada 4 bulan berturut-turut (bagi kebanyakan negeri) adalah melanggari Takliq yang telah dilafazkan selepas akad nikah. Contohnya di Kedah : 

Kedah
========
Lafaz talak taklik yang baru di Kedah berbunyi: 
“Adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik, jika : 

(1) Saya tidak berma'syarah yang ma'ruf dengan isteri saya (nama Isteri) sama ada saya meninggalkan di dengan segaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih atau; 

(2) saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah atau: 

(3) saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau lain-lain darar syarie terhadapnya, dan apabila dia mengadu kepada khadi atau hakim syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau hakim syarie dan ia memberi kepada khadi atau hakim syarie bagi pihak saya sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia (nama Isteri) dengan satu talak khuluq.”

✅ Sekiranya isteri merana kerana ditinggalkan tanpa sebarang nafkah selama 4 bulan berturut-turut, dia boleh memfailkan tuntutan Cerai Takliq. Takliq itu adalah Janji. Dan jika janji tersebut tidak diikuti, isteri boleh membuat tuntutan tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di bawah Seksyen 50 Enakmen Keluarga Islam Kedah. Namun, kena pastikan, memang ada takliq yang wujud selepas akad nikah dan tertera di belakang sijil nikah.
.
✅ Ada negeri yang tidak ada lafaz takliq seperti Negeri Perlis. Jadi, kalau berkahwin dengan wanita dari negeri tersebut, memang tak ada lafaz takliq selepas nikah dan tidak ada tertera di belakang sijil nikah.
.
✅ Jadi, ingatlah wahai kaum Adam khususnya, niat untuk berdakwah itu tidak salah, namun, pastikan anak dan isteri tidak terabai di dalam rumah. Sebaiknya, dakwah itu bermula dari dalam rumah. Jangan sesekali abaikan nafkah zahir hingga mendatangkan mudharat kepada isteri dan anak. 
.
Nak dakwah sekarang pun tak susah. Apa guna FB ni kalau tak guna untuk menyebarkan hal yang bermanfaat. Kalau anda rasa bermanfaat, cuba share untuk kita cuba dakwah kepada lagi ramai kawan FB.
.
Dakwah bermula dari rumah,

Follow saya Khairul Fahmi Ramli & Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih maklumat.

#ceraitakliq
#lawyerkfassc

Monday, 20 May 2019

Kewajipan bapa tanggung nafkah anak

Baju Raya Tahun ni sapa nak beli?
.
Saya ada dapat satu mesej daripada seorang perempuan yang baru saja cerai bulan Mac 2019 yang lepas. Anaknya ada 3 orang. Dua lelaki satu perempuan. Masing-masing berumur 5, 9 & 10 tahun. Ibu ini mengadu kepada saya tentang si bapa ini yang tak mau bagi nafkah anak dari bulan lepas sampai la ke bulan puasa ni. Alasannya sebab dah cerai, anak-anak duduk dengan si ibu, jadi ibu yang beli. Saya cakap dalam diri, what??? Sapa yang habaq kat dia lagu tu. Tak pi Kursus Kahwin ke. Saya istighfar dan ingat bulan Ramadhan saja.
.
Jadi, ini tahun Raya Aidilfitri yang pertama baginya untuk sediakan persiapan raya. Soalan akak ni pada saya,

“Baju Raya Tahun ni sapa nak beli? Betul ke makan minum anak-anak semua saya yang tanggung?”
.
Ada banyak juga yang sebelum ini tanya berkaitan nafkah anak. Jadi saya akan rungkai soalan-soalan berkaitan dengan nafkah anak untuk mudah orang tahu dan faham.
.
πŸ‘‰πŸ» Siapa yang patut tanggung nafkah anak-anak?
Di dalam Islam, Allah sebut di dalam Surah At-Talaq ayat 6 : Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya. 

Menurut Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbani dalam Mughni Muhtaj, “Bahawa membayar upah bagi menyusukan anak itu termasuk juga dalam pengertian ayat itu ialah kewajipan memberi nafkah kepada anaknya”. 

Jadi ikut dalil ini, maka dalam undang-undang, Seksyen 73 & 74 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang ada menyatakan tentang kewajipan bapa tanggung nafkah anak dan Mahkamah ada kuasa untuk perintahkan bapa bayar nafkah anak-anak. Syaratnya, anak tu mestilah anak kandung dan sah taraf kepada bapa tersebut.
.
πŸ‘‰πŸ» Macam mana nak tuntut nafkah anak?

Kena buat Saman dan Penyata Tuntutan yang mengandungi butir yang ringkas dan padat tentang perkahwinan, perceraian dan kelahiran anak. Yang paling penting tentang butiran fakta tentang nafkah anak yang dituntut.
.
πŸ‘‰πŸ» Apa yang boleh dituntut?

✅ Nafkah Bulanan macam makan minum, pakaian, tempat tinggal, keperluan diri, perubatan dan apa-apa keperluan bulanan yang perlu untuk seseorang anak. Macam susu ke pampers ka. Apa-apa la yang kita belanjakan bulanan untuk anak tu.

✅ Nafkah Tahunan, seperti persiapan awal persekolahan. Setiap kelengkapan untuk persediaan sebelum persekolahan boleh tuntut seperti Yuran Sekolah, buku-buku, alat tulis, baju, kasut dan macam-macam lagi la yang ada kaitan dengan sekolah.

✅ Satu lagi ialah persiapan Hari Raya Aidilfitri. Adat kita di Malaysia, orang Islam akan sambut lebaran ini dengan meriah. Jadi, adalah diterima juga untuk tuntut nafkah tahunan Hari Raya bagi anak-anak meliputi baju raya, kasut raya, dan lain-lain. Cuma Raya Haji sahaja jarang orang nak sambut lebih-lebih. Jadi, boleh nak tuntut kalau rasa perlu, Cuma Mahkamah jarang sebut nafkah raya aidiladha. Kalau dapat tu untungla.
.
πŸ‘‰πŸ» Macam mana kalau suami cakap dia tak mampu?

✅ Mahkamah akan dengar dulu apa berapa tuntutan, keperluan-keperluan yang penting anak-anak dan kemudian Mahkamah akan menilai kemampuan suami. Tapi, kita yang menuntut ni, kena la juga bukti tentang pendapatan suami dan kemampuan dia untuk bayar nafkah anak dan bil-bil atau apa-apa resit yang dibelanjakan untuk anak sebagai bukti. 

✅ Kalau suami dakwa juga kata dia tak mampu, suami la kena bukti kepada Mahkamah apa yang menyebabkan dia tidak mampu untuk bayar. Contohnya, dia ada hutang rumah, kereta, loan peribadi dan lain-lain. Yang penting, tuntutan nafkah anak, wajib untuk Mahkamah perintahkan satu jumlah yang perlu untuk dibayar oleh bapa kepada anaknya. Jangan risau.
.
πŸ‘‰πŸ» Boleh ke nak buat potongan gaji terus?

✅ Selalu kalau suaminya kerja yang ada pendapatan bergaji, mesti nak minta supaya dibuat terus secara potongan gaji. Jawapannya, bergantung juga pada Hakim. Ada sesetengah keadaan Mahkamah rasakan bapa tak pernah gagal bagi nafkah Cuma amaun tak tetap, jadi Mahkamah bagi perintah perlu di bank in ke akaun isteri. 

✅ Ada keadaan, Mahkamah benarkan untuk dibuat potongan gaji. So, bergantung penuh pada bicara dan keputusan Hakim untuk tuntutan Nafkah Anak mula-mula ni. Kalau kes ni, masuk peringkat hutang, mungkin ada potongan gaji terus.
.
πŸ‘‰πŸ» Kalau dia enggan juga bayar ikut perintah, bagaimana?

✅ Cuai atau sengaja enggan ikut perintah nafkah ni, maka, ia dikira sebagai hutang dan jadi beban kepada bapa untuk bayar hutang tersebut. Jadi, hutang wajiblah kena bayar. Maka, isteri tersebut boleh buka kes Saman Penghutang Penghakiman di Mahkamah dan masa ini, Mahkamah akan periksa jumlah hutang dan sebab kegagalan Defendan. 

✅ Mahkamah akan bagi perintah hutang tersebut perlu dibayar secara sekaligus, serta merta atau dalam tempoh tertentu. Kalau masa ni suami tak datang jugak, Mahkamah boleh keluarkan Waran Tangkap kepadanya.
.
πŸ‘‰πŸ» Kalau si bapa ni tak hadir masa tuntutan nafkah anak macam mana?

✅ Tak ada masalah. Perbicaraan akan tetap diteruskan secara sebelah pihak sahaja. Cuma, payah sikit la nak bukti tentang kemampuan kalau tak ada slip gaji atau apa-apa bukti pendapatan si bapa.
.
πŸ‘‰πŸ» Kalau bapa ni hilang, mati, tak tau ada kat mana atau memang miskin langsung macam mana?

✅ Undang-undang sebut, orang yang bertanggungan untuk bayar nafkah adalah mengikut Hukum Syarak. Dan kalau ikut Hukum Syarak, semestinya, bapa kepada suami (datuk), saudara lelaki sebelah bapa dan boleh dikatakan, pihak lelaki sebelah bapa lah yang kena tanggung bab nafkah ni (orang yang boleh jadi wali).
.
Cukup la kot, rasanya faham dah kan. Tuntutan di mahkamah memang bukan penyelesaian yang hakiki. Paling penting adalah rasa tanggungjawab bapa terhadap anaknya. Itu yang sebaiknya. Tapi, sekurang-kurangnya, Mahkamah adalah alternatif kepada keadilan seorang anak.
.
Kalau rasa sharing ni bermanfaat, jom Kongsi kepada rakan-rakan yang lain. Mana tau, kot-kot depa nak maklumat ni. Boleh jadi pahala sedekah ilmu kat kita.
.
Jom terus ikut saya Khairul Fahmi & Associates dan Khairul Fahmi Ramli untuk dapat lebih info yang berkaitan dengan isu syariah.
.
KITA TAK MAKAN TAK PA, JANGAN ANAK-ANAK TERABAI SUDAH
#nafkahanak
#lawyerkfassc

Thursday, 16 May 2019

Lafaz Cerai Melalui Whatsapp

Kelam kabut kes lafaz cerai PU Abu

Beberapa minggu yang lalu, viral satu kes lafaz cerai melalui whatsapp kalau tak silap saya oleh PU Abu pada isterinya yang sedang mengandung. Netizen lagi bengang bila dapat tau pulak, cerai tu sebab pilih perempuan lain. Saya ambik pendekatan tak mahu ulas time tu sebab saya berpegang, kes cerai ni belum disahkan oleh Mahkamah. So, better diam dulu.
.
Tup, tup semalam, ramai yang terkejut, Mahkamah Syariah Klang sabitkan lafaz cerai tersebut tak sah. Penuh soalan yang PM kat saya, awat jadi lagu tu. Dah terang kot. 
.
Tak dan nak tulis, petang ni dapat info berita baru pulak yang menyebabkan ramai orang keliru. Kata berita tersebut, sah cerai talak dua sebab PU Abu terlepas bagi satu fakta. Then, ada orang tanya, boleh ke dah sabit tak cerai, pastu kes dipanggil semula sebab tersilap. 
.
πŸ‘‰πŸ» Mari saya terang sikit isu Lafaz Cerai Whatsapp diluar Mahkamah.
.
πŸ‘‰πŸ» Rukun Talak ada 5 iaitu :

✅ Orang yang lafaz talak
✅ Lafaz
✅ Niat
✅ Tempat lafaz talak yang dituju
✅ Kekuasaan Talak terhadap orang yang ditalak
.
πŸ‘‰πŸ» Saya hanya nak jelas tentang Rukun Kedua, Lafaz sahaja dalam isu ni. Di dalam Mazhab Syafie, mengikut Kitab Al-Mu’tamad karangan Prof Dr Muhammad Mustafa Al-Zuhaily, Lafaz talak terbahagi kepada DUA iaitu :
✅ Sarih : Jelas
✅ Kinayah : Kiasan
.
πŸ‘‰πŸ» Bagi lafaz yang jelas, tak perlu kepada niat untuk sahkan. Contohnya, aku ceraikan hang. Yang ni jelas. Tak perlu tanya niat suami.
.
πŸ‘‰πŸ» Bagi lafaz yang kiasan, memang perlu kepada niat suami untuk sahkan. Contohnya, hang pi balik la rumah mak hang selamanya. Ini wajib untuk ditanyakan niat suami untuk sahkan.
.
πŸ‘‰πŸ» Dalam Mazhab Syafie, lafaz talak dalam bentuk penulisan, adalah termasuk di dalam Lafaz Kinayah atau Kiasan. Kalau diqiaskan dengan zaman sekarang ni, Whatsapp ke Messenger ke Email ke dan lain2, ini adalah Penulisan. Jadi, ia wajib untuk diketahui, NIAT suami tersebut. 
.
πŸ‘‰πŸ» Jadi, Mahkamah dah ambil keterangan PU Abu, dan memang 100% berpegang kepada Iqrar serta Sumpah si suami. Oleh sebab PU Abu tak mengaku berniat untuk cerai, maka, benarlah Mahkamah sabitkan tiada perceraian berlaku.
.
✳️ Boleh ke panggil semula kes kalau ada tersilap?
.
πŸ‘‰πŸ» Sebenarnya dalam kes ni, media telah terSALAH lapor. Sebenarnya pada tarikh yang sama kes cerai tu difailkan, isteri PU Abu (Ain) ada failkan kes “Pengesahan Rujuk” antara beliau dengan PU Abu,yang sebelum ini mereka pernah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada 28 Januari 2019. Dua-dua kes ni telah dibicarakan bersama pada tarikh 15 Mei 2019 tersebut. 
.
πŸ‘‰πŸ» Lepas selesai semua bicara, Hakim terus buat keputusan bahawa :

✅ Mahkamah sabitkan rujuk pada 23 Februari 2019 adalah rujuk yang sah; dan

✅ Mahkamah sabitkan lafaz talaq melalui aplikasi Whatsapp pada 13 Mac 2019
adalah tidak sah dan tidak mensabitkan talaq.
.
πŸ‘‰πŸ» Kedua-dua kes tadi selesai dalam jam 11.45 pagi. Kemudian, dalam jam 12.30 tengah hari, Ain telah telefon Mahkamah dan bagitau PU Abu terlupa untuk nyatakan dengan kewujudan lafaz pada sekitar hujung Mac 2019. Jadi, Mahkamah nasihatkan untuk dia buka kes lafaz cerai yang baru dan terus bicara pada hari yang sama sebab dua-dua ada. Selesai bicara, Mahkamah sabitkan talaq tersebut kali kedua berjumlah dua talaq.
.
Jadi, dapatlah rasanya semua orang faham, apa situasi yang berlaku untuk kes cerai PU Abu ni. Kita doakan yang baik-baik sajalah pada mereka. Mungkin ada hikmah disebalik semua ni.
.
Mohon sebarkan untuk beri pencerahan kepada rakan2 yang lain. Sila follow saya Khairul Fahmi Ramli & Khairul Fahmi Associates untuk dapat lebih info.

Cerai Bukan Benda Main
#lawyerkfassc
#ceraiwhatsapp

Tuesday, 14 May 2019

7 Sebab Kenapa Isu Curang Gagal Dibuktikan Dalam Fasakh

7 Sebab Kenapa Isu Curang Sering Gagal Dibuktikan Dalam Fasakh


Sekarang ni viral tentang isu curang seorang artis yang saya tak payah cakap pun, ramai yang tahu. Saya tak berminat nak ulas kesnya sebab saya bukan majalah Mangga (ada lagi ke?)

.

Kelmarin juga sewaktu menanti perbicaraan kes fasakh di Mahkamah Rendah Syariah Kangar, pun saya dengar isu pengesahan lafaz cerai luar Mahkamah sebab isteri yang curang. Jadi, isu curang ni, mau tak mau, kita kena terima, bukan laki saja curang, perempuan pun ada jugak. Saya bukan nak back up lelaki dan saya pun tak back up perempuan. Tapi, yang saya nak ulas sebab banyak soalan yang tanya pada saya tentang isu curang dan pengalaman bawa kes fasakh tentang isu curang suami atau isteri.

.

πŸ‘‰πŸ» Dalam kes Fasakh, isu curang, kalau isteri mendakwa bahawa suami bermain kayu tiga atau isteri ada hubungan dengan lelaki lain, selalu sukar bagi Mahkamah untuk sabitkan tuduhan atas alasan di bawah seksyen 53(1)(h)(ii) iaitu :


πŸ‘‰πŸ» bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, (ii) berkawan dengan perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;


πŸ‘‰πŸ» Sebabnya, ada beberapa faktor yang gagal dibuktikan oleh pihak yang mendakwa. Dalam undang-undang serta Hukum Syarak, orang yang mendakwa perlu buktikan dakwaannya. 

.

Jadi, yang selalu jadi masalah untuk buktikan isu curang ni bagi tuntutan fasakh adalah :


✅ Suami/Isteri tak mengaku


Ini perkara biasa. Siapa nak ngaku salah. Kalau betul fitnah, takpe la kalau nak pertahan. Tapi curang ni benar, tapi berdusta di dalam Mahkamah, hanya Mahkamah Allah sahajalah yang akan menanti. Jika suami/isteri tiada bukti untuk dakwa tentang curang ini, maka, pengakuan sahaja yang boleh menjadi bukti terhadap tuntutan.


✅ Tiada saksi/saksi hanya dengar cakap


Selalu juga bila nak bukti bab curang ni, suami/isteri bawak saksi yang tak pernah nampak pun kecurangan tu. Cuma, saksi yang hanya dengar daripada luahan hati orang yang mendakwa sahaja. Contohnya, isteri mengadu kat ayah, jadi ayah hanya cerita melalui aduan anaknya sahaja. Atau suami bawak saksi yang dengar daripada cakap orang lain sahaja yang isterinya curang. Lagi pening, kalau tak ada saksi langsung.


✅ Gambar WhatsApp/Message Screenshot


Ada banyak juga yang kini bawak bukti pada Mahkamah tentang mesej suami dengan perempuan lain, isteri dengan lelaki lain. Cuma, yang jadi masalah masa bicara adalah gambar screenshot mesej yang dilampirkan, tak ada bukti yang asal. Yelah, bukti asal dalam henset suami contohnya, entah ada atau tak lagi dalam henset tu. Jadi, mau tak mau, bukti screenshot ni hanya bukti sekunder la, tak boleh lah nak jadi bukti primer. Ada setengah keadaan tu, gambar screenshot tu sendiri hilang dari handphone sendiri pun ada.


✅ Gambar & Video Tak Jelas


Ada pihak yang memang ada gambar suami/isteri curang atau kelakuan keji. Ada banyak keadaan, gambar yang dilampirkan kurang jelas identiti orang tersebut. Contohnya, ada gambar yang diambil dalam gelap seperti di clubbing, nampak macam edit pun ada, dan lain2. Ada yang lampir gambar seluar dalam yang diberi oleh isteri kepada lelaki lain, tapi mana nak tahu, entah betul atau tak gambar seluar dalam tu milik isteri. Ni contoh kes saya dulu-dulu. 


✅ Gambar & Video ambil daripada Facebook, Wechat & Lain-lain.


La ni, mudah ja nak ambil gambar. Buka kat FB, Instagram, Wechat dah ada macam-macam gambar yang boleh tunjuk pada kecurangan. Sekarang ni, tik tok pun boleh jadi bukti video menunjukkan kecurangan. Tapi, banyak keadaan, bila masuk waktu bicara, bila nak bukti, semua tu dah tak ada. Dah kena delete. Jadi, bukti-bukti macam ni, boleh jadi bukti sekunder saja lah selalunya. Kita tak boleh nak tender bukti dokumen tersebut sebagai eksibit(bukti primer).


✅ Tiada Tangkapan & Dakwaan


Ada sesetengah orang dakwa suami/isterinya pernah berzina, khalwat, berhubungan dengan orang lain lebih daripada suami/isteri. Tapi, orang yang didakwa tersebut tak pernah pun ditangkap, didakwa atau dihukum oleh Mahkamah atas mana-mana kesalahan yang boleh tunjukkan kata dia curang. Melainkan, memang dapat terbukti suami/isteri kena hukum atas kesalahan tertentu.


✅ Kisah Yang Terlalu Lama


Sebilangan orang, ada yang cuba nak dakwa tentang kecurangan. Tapi, isu curang rumahtangga mereka, isu yang dah terlalu lama. Sampai 10 tahun yang lalu pun ada. Sedangkan, dalam tempoh tahun lepas baru bersalin anak yang ketiga contohnya. Memang susah la nak kata tentang curang tersebut. Bila dah terlalu lama, boleh jadi perkara tersebut benar, tapi dah taubat. 

.

πŸ‘‰πŸ» Mungkin ada lagi yang lain-lain contoh, cuma ini berdasarkan pengalaman di dalam Mahkamah. Ada keadaan, Mahkamah terima tuntutan fasakh atas dakwaan ini, tapi banyak keadaan, perkara tersebut gagal dibuktikan. Kita tak tahu hal yang sebenar, melainkan pihak-pihak yang berkahwin tersebut dan Allah swt. Moga kita dapat faham sikit sebanyak. 

.

Kalau sharing saya ini dapat banyak sambutan, saya akan share bukti-bukti yang terbaik  untuk isu kecurangan ini dalam tuntutan fasakh. Insya allah. 

.

Sila share dan kongsikan ilmu ini untuk sedekah ilmu yang anda pelajari ini, kepada rakan-rakan yang lain. Follow saya Khairul Fahmi & Associates dan Khairul Fahmi Ramli untuk dapat lebih info dalam kamar syariah.

.

Curang Bukan Benda Baru

#fasakh

#lawyerkfassc

#curang

Sunday, 12 May 2019

Nafkah Anak Sementara

Kenapa lama sangat sampai dua tahun nak dapat Perintah Nafkah Anak?


Pagi ini, 12/5/2019 lepas subuh, sambil dok bersiap nak pergi Mahkamah, terbaca la satu perkongsian viral di FB daripada seorang ibu yang telah berjaya mendapat perintah Nafkah Anak, Mutaah & Nafkah Eddah daripada Mahkamah Rendah Syariah Kota Kinabalu selepas 2 tahun naik turun Mahkamah. Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kepada semua ibu yang telah berjaya mengharungi cabaran untuk dapatkan perintah daripada Mahkamah bagi mendapatkan perintah nafkah anak khususnya.

.

Masalah yang sering berlaku dalam masyarakat adalah bapa tidak bertanggungjawab untuk beri nafkah anak. Ada juga keadaan, bapa culas. Tapi, saya tak kata semua laki macam tu, ada yang baik cuma segelintir pihak bapa yang macam tu, terpaksalah si ibu naik turun Mahkamah untuk dapatkan perintah nafkah anak khususnya.

.

Walaupun, ada ketika saya memang mewakili pihak bapa dalam kes nafkah anak, tapi, menjadi tugas seorang Peguam Syarie juga untuk sentiasa beritahu kepada si bapa, berikan dahulu sejumlah wang yang wajar sebelum Mahkamah putuskan jumlah yang patut sebab memang menjadi Hak kepada Anak tersebut untuk dapat nafkah jadi apa sekalipun. Itu hal yang benar.

.

Selepas beberapa minit, saya teringat, dulu ada seorang wanita bertanya kepada saya,


 “Macam mana saya nak tanggung nafkah anak kalau lama sangat kena naik turun Mahkamah?”

.

Ramai dikalangan orang awam mungkin tidak tahu, sebenarnya ada penyelesaian segera bagi membantu mengatasi isu ini di Mahkamah Syariah. Nama tuntutan tersebut ialah Permohonan Nafkah Anak Sementara. Tujuan permohonan dibenarkan untuk dibuat oleh mana-mana Pemohon adalah disebabkan Mahkamah faham, betapa pentingnya tanggungjawab Nafkah Anak daripada seorang bapa. Dalam masa yang sama Mahkamah juga perlu bersikap adil untuk mendengar keterangan daripada bapa sebelum Mahkamah memberikan perintah nafkah. Sebab tu kes induk Nafkah Anak jadi lambat.

.

✅ Jadi, untuk memberikan penyelesaian segera yang bersifat sementara kes induk selesai bicara, Perintah Nafkah Anak  Sementara ini boleh dipohon secara sebelah pihak (ex-parte) jika ada unsur keterdesakan dalam menanggung nafkah tersebut. Tapi, yang pentingnya, kena la juga ikut prosedur tapi tak dak la panjang sangat macam tuntutan yang induk.

.

✅ Apa dalil yang kata boleh tuntut nafkah anak sebelah pihak tanpa perlu dengar keterangan bapa?


πŸ‘‰πŸ» Masa zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu, ada seorang wanita namanya Hindun bt Utbah iaitu isteri kepada pembesar Makkah masa itu, Abu Sufyan. Hindun mengadu pada Nabi dengan berkata yang Abu Sufyan ni seorang yang kedekut. Dia tak bagi apa yang cukup untuk Hindun dan anaknya sampaikan Hindun terpaksa ambil senyap-senyap tanpa pengetahuan Abu Sufyan. Lalu, Nabi terus mengarahkan kepada Hindun untuk ambil apa yang cukup baginya dan anaknya.

.

πŸ‘‰πŸ» Daripada kisah hadis ini, kalau anda perasan, Nabi tak panggil pun Abu Sufyan untuk tanya kepadanya, kenapa beliau tak bagi nafkah yang cukup, tapi terus memerintahkan kepada Hindun untuk ambil harta Abu Sufyan untuk kegunaan beliau dan anaknya. Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari. Inilah asas bagaimana kes nafkah anak ini boleh dibuat secara sebelah pihak.

.

✅ Berapa lama perintah interim ni boleh tahan?


Ikut undang-undang, perintah nafkah sementara ni akan berjalan sehingga kes tuntutan nafkah anak yang induk selesai bicara. 

.

✅ Macam mana nak tuntut?


Perlu ada tuntutan nafkah anak induk dahulu di Mahkamah Rendah Syariah dan bagi Permohonan Nafkah Anak Sementara ini, Pemohon perlu buat di Mahkamah Tinggi Syariah.

.

✅ Apa isu yang sering berlaku selepas perintah dikeluarkan?


πŸ‘‰πŸ» Bapa culas/gagal ikut perintah


Ini sering berlaku iaitu bapa gagal patuh perintah. Bagi yang dapat perintah melalui potongan gaji, mudahlah. Tapi, kalau perintah tersebut perintah sementara, jarang nak ada potongan gaji. Kadang-kadang, kes nafkah anak yang induk pun tak ada potongan gaji sebab tak semua bapa kerja makan gaji. Dan, potongan gaji selalunya berlaku ketika bapa telah gagal kali pertama.


πŸ‘‰πŸ» Bapa hilang & tidak diketahui


Ini juga biasa dan sangat menjadi masalah kalau kita tidak ketahui dimana bapa tersebut berada. 


πŸ‘‰πŸ» Bapa pilih untuk ke penjara berbanding bayar nafkah.


Jangan terkejut. Memang ada bapa yanv sebegini cuma jarang. Mungkin sebab dah pernah masuk penjara sebelum ini atau tiada kepentingan apa-apa kalau ke penjara sekalipun.

.

Oleh itu, jangan bimbang tentang hak nafkah untuk anak anda. Hak nafkah anak akan tetap diperolehi selagimana anak tersebut berbin atau bintikan kepada bapa kandungnya yang sah. Cuma, kita perlu terima, Mahkamah perlu berlaku adil, antara keperluan anak dan kemampuan bapa. 

.

Tahniah sekali lagi buat ibu-ibu yang cekal menanggung nafkah anak dan cekal menuntut hak anaknya di Mahkamah. 

.

Sila Tag Rakan Anda yang ada masalah Nafkah Anak untuk kita sharekan info ini. Mana tahu, mungkin dapat bantunya. Follow saya Khairul Fahmi Ramli dan Page Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih info. 

.

Selamat Hari Ibu buat ibu-ibu cekal seluruh dunia.

Thursday, 9 May 2019

Hak Jagaan Anak Yatim

Hak Jagaan Anak Yatim Piatu

.

Masih ingat kah, pada 4 tahun yang lalu, ada sebuah kemalangan kereta Pajero yang meragut 3 nyawa di Lebuhraya DUKE (Damansara-Ulu Klang), iaitu nyawa seorang bapa, seorang ibu dan seorang bayi kepada pasangan ini yang berusia lebih kurang 6-7 bulan masa tu. Kemalangan itu disebabkan oleh geng2 Myvi yang berlumba di highway tu pada jam lebih kurang 1 pagi. 

.

Rasanya masih segar dalam ingatan kita bila pasangan yang meninggal dunia tersebut telah meninggalkan 2 orang anak perempuan yang tidak bersama ketika itu. Masing-masing berusia 7 dan 4 tahun ketika mereka berdua bergelar anak yatim piatu ketika itu. Kes ini sangat mendapat kecaman daripada netizen buat racer Myvi tu dan tak kurang juga dengan isu penggunaan duit kutipan derma yang tak sampai kepada anak-anak tersebut. Yang tu saya tak nak ulas.

.

Semalam, 9 Mei 2019, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah memutuskan tentang keputusan jagaan kekal anak-anak tersebut kepada Ibu Saudara Sebelah Bapa mereka setelah 4 tahun perbicaraan. Manakala Nenek sebelah Ibu memdapat Hak Lawatan dan setiap cuti sekolah dibahagikan dua serta cuti perayaan mengikut giliran. 

.

Mesti ada yang tahu sikit sebanyak tentang ranking hak jagaan kan.Mari saya terangkan, bagaimana Hak Jagaan ditentukan oleh Mahkamah.

.

Kedudukan Orang Yang Berhak

.

✅ Di dalam Seksyen 82 (1) Enakmen Keluarga Islam Kedah dan lebih kurang sama dengan dengan negeri lain, Hak Jagaan yang paling berhak adalah kepada ibu sama ada semasa dalam perkahwinan atau jika berlaku perceraian. Kalau ibu tu tak ada atau hilang kelayakan, maka rankingnya seperti berikut :

       ✳️ nenek sebelah ibu hingga ke atas;

       ✳️ bapa;

       ✳️ nenek sebelah bapa hingga ke atas;

       ✳️ kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

       ✳️ kakak atau adik perempuan seibu;

       ✳️ kakak atau adik perempuan sebapa;

       ✳️ anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;

       ✳️ anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;

       ✳️ anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;

       ✳️ emak saudara sebelah ibu;

       ✳️ emak saudara sebelah bapa;

       ✳️ waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai ‘asabah atau residuari:


πŸ‘‰πŸ»Dengan syarat tak jejas kebajikan anak tersebut.

.

✅ Undang-undang juga jelaskan anak lelaki yang umur 7 tahun dan anak perempuan umur 9 tahun atau dia telah Mumaiyiz (cerdik untuk buat keputusan), maka anak tersebut boleh memilih sendiri untuk tinggal bersama ibu atau bapa atau kepada siapa yang Mahkamah rasa seseorang tu layak.

.

✅ Ni seksyen paling penting, seksyen 87(2) Enakmen Keluarga Islam, kalau Mahkamah nak buat sebarang keputusan tentang jagaan anak, yang paling penting adalah KEBAJIKAN anak tersebut akan terbela di bawah jagaan siapa. 

.

Ok semua, daripada kes dua anak yatim piatu ni, dapat menjadi ilmu tambah kepada kita, ibu saudara sebelah bapa, walaupun, rankingnya lebih jauh berbanding Nenek tersebut, dia masih berhak untuk dapat jagaan tersebut kerana melihatkan kepada faktor umur anak tersebut serta kebajikan anak-anak tu mungkin terjejas kalau berpisah.

Ye lah kan, sebab kakak tu sekarang dan 11 tahun, memang la boleh buat pilihan.

.

Tapi, adik perempuannya baru umur 8 tahun. Ikut undang2, anak perempuan kena 9 tahun kan. Jadi, atas faktor bimbang kebajikan anak terjejas sebab bimbang dipisahkan, maka, Mahkamah buat keputusan untuk beri kedua-dua jagaan anak tersebut pada ibu saudara mereka. Diorang pun memang sebelum kes ni diputuskan semalam tinggal dengan ibu saudara tersebut. Mesti dah sekolah semua kat KL. Menangis teresak-esak anak-anak tu tanda gembira rasanya sebab mereka di bawah jagaan mak sedaranya. 

.

Kesimpulannya, hak jagaan ni, kena fikir macam2 faktor. Yang paling penting disisi Mahkamah adalah kebajikan anak tersebut. Sama-sama kita bermuhasabah dengan isu yang berlaku ini. 

.

Sila share perkongsian ini moga ia menambah pahala sedekab ilmu kepada rakan-rakan lain di bulan Ramadhan ni. Amin. Jangan lupa follow Khairul Fahmi Ramli dan Page Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih info lagi.

.

Anak Yatim Macam Anak Kita Jugak

Sunday, 5 May 2019

Kelayakan Ibu Mendapat Hadanah

WANITA BEKERJA, LAYAK KE DAPAT JAGAAN ANAK?
.
Saya sering mendapat soalan daripada golongan wanita khususnya tentang isu jagaan anak. Saya faham. Sangat faham kenapa seorang ibu sanggup meredah apa sahaja rintangan dan halangan demi anaknya. Seorang ibu ‘WhatsApp’ kepada saya, dengan rasa gundah dan cemas yang saya dapat rasakan, dia cakap, dia ada kerjaya yang baik. Sangat baik. Pendapatannya mencecah RM20,000.00 sebulan. Bahkan lebih daripada itu. Kerana dia mempunyai bisnes yang stabil.
.
Cuma, kehidupannya sebagai seorang janda anak 3 amat menyukarkan sikit baginya untuk uruskan bisnes dan anak-anaknya. Dia agak sibuk menguruskan bisnesnya dengan berjumpa banyak agen-agen di bawahnya, stokis-stokis dan ramai lagi networking yang sepatutnya dibuat oleh seorang leader. Tiba-tiba, dia mendapat satu saman daripada bekas suaminya yang menuntut Hak Jagaan Anak di dalam Mahkamah Tinggi Syariah atas alasan yang diberikan oleh bekas suaminya, dia terlalu sibuk untuk urus anak. Ketaq tu tak payah cakap la kalau seseorang yang baru dapat saman ni rasa tambah-tambah bila disebut tentang jagaan anak.
.
Saya sangat memahami, apabila seorang wanita yang bekerjaya hebat  ini, dia tak kisah sangat kalau tak dapat Nafkah Anak daripada bekas suaminya yang sepatutnya menanggung nafkah tersebut. Bahkan, dia lebih mampu daripada bekas suaminya untuk tanggung segala keperluan anak-anak daripada keperluan makanan sehinggalah mampu untuk membawa anak-anak tersebut berjalan-jalan keluar negara. For them, money is nothing. Diorang sanggup membayar berapa jumlah sekalipun asalkan anak-anak ada bersama mereka dan tak ada sapa-sapa yang boleh mengambilnya selain daripada dia.
.
Jadi, saya nak share kepada semua, 5 alasan ini bagaimana seorang ibu akan gagal untuk dapatkan jagaan anak di Mahkamah Syariah :
.
1)​Murtad

Kalau ibu tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah bahawa dia telah keluar Islam, maka, hak jagaan boleh beralih kepada pihak lain yang beragama Islam. Sebenarnya isu ni jarang berlaku, tapi ia agak sensitive dan rumit kerana ia akan melibatkan pertindihan kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Contoh kes yang berlaku, kes Subashini vs Saravanan, dimana Saravanan telah memeluk Islam dan mengislamkan sekali anaknya. Jadi, berlaku pertindihan kuasa apabila perintah jagaan di Mahkamah Syariah serta perintah Mahkamah Sivil.
.
2)​Berkahwin Lain

Yang ini selalu berlaku. Bapa selalu akan lawan jagaan anak kalau si ibu tersebut (bekas isterinya) telah berkahwin dengan seorang lelaki yang lain. Tapi, haknya untuk dapat jagaan anak tu akan kembali kalau perkahwinannya dah dibubarkan kalau perkahwinan itu akan jejaskan kebajikan anak itu. Biasanya, perkara ini Mahkamah akan pertimbangkan mengikut keadaan juga. Kalau anak tu kecik lagi, masih menyusu, memang sukar kalau Mahkamah nak bagi jagaan kepada bapa walaupun ibu itu berkahwin lain.
.
3)​Berkelakuan Keji

Ini antara alasan yang popular digunakan oleh si bapa untuk menuntut jagaan anak. Tujuan alasan ini tak lain tak bukan untuk elakkan anak tersebut dibesarkan dalam keadaan yang negatif dimana mungkin anak tersebut akan terjebak dengan perlakuan keji ibu yang membesarkan anak tersebut. Selalu lelaki tanya kepada saya, kalau keji tu macam isteri disabit nusyuz, boleh ke dia gagal jagaan anak. Jawapan saya, nusyuz isteri tidak gagalkan ibu untuk dapat jagaan anak. Keji di dalam undang-undang  disebutkan secara perlakuan buruk secara terbuka atau keterlaluan. Banyak orang yang hanya menuduh ibu berkelakuan buruk seperti berkelakuan curang semasa tempoh kahwin contohnya, namun, ia tidak dapat membuktikan perkara tersebut. Lagi baik kalau nak tuduh berkelakuan keji tersebut apabila si ibu tersebut telah dihukum oleh Mahkamah atas apa-apa kesalahan jenayah yang berat. Contohnya, kena tangkap bekerja sebagai GRO ke, mengambil dadah ke atau apa-apa perkara yang lain.
.
4)​Tukar Mastautin

Kalau ibu tersebut menukar tempat dia mastautin dengan tujuan untuk cegah bapa kanak-kanak itu menjalankan pengawasan yang perlu kepada anak tersebut, dia boleh dikira gagal untuk dapat jagaan anak. Tapi yang ini perlu lihat juga, ibu tersebut tukar mastautin jauh mana, sebab apa bertukar tu dan lain-lain. Contohnya, kalau ibu tersebut ditukar tempat kerjanya kerana dinaik pangkat contohnya, itu tidak menjadi isu. Saya selalu berkata, tukar mastautin ni macam nak bawak lari anak-anak lari keluar negara. Ada pengecualian, ibu itu kalau bercerai, dia boleh membawa pulang ke tempat lahir ibu itu atau dalam makna mudahnya, pulang kampung halaman.
.
5)​Menzalimi Anak

Jarang berlaku hal ini. Ada sesetengah bapa mendakwa, ibu tersebut mendera anak sedangkan merotan untuk tujuan ajar mengaji atau ada sesetengah dakwa ibu tersebut terlalu garang sedangkan anak tersebut tidak mengalami apa-apa kecederaan pun. Perlu diingat, menzalimi atau mengabaikan anak-anak bukan bermaksud tidak boleh menyentuh langsung anak tersebut sampai nak kena bagi manja sahaja. Kasih sayang itu luas skopnya. Jangan sampai jadi Anakku Sazali sudah lah. Bagi saya, kalau menzalimi itu, biar sehingga ibu tersebut sememangnya terbukti di Mahkamah bahawa dia telah zalim kepada anak itu.
.
Haa, dapatkan..tapi, yang paling penting daripada 5 yang diatas adalah Mahkamah Syariah amat menekankan aspek, KEBAJIKAN. Siapa yang lebih layak menjaga kebajikan anak tersebut. UMUR anak juga memainkan peranan pada Mahkamah.
Daripada share ini, untuk jawab persoalan, adakah Wanita Bekerja layak mendapat jagaan anak, jawapannya, YA. Wanita yang dah bercerai perlu berkerja untuk cari sumber pendapatan sebab dia sudah tidak ada sumber nafkah seperti di dalam perkahwinan. 
.
Tiada masalah walaupun sibuk bekerja asalkan dia mampu pastikan anak-anaknya tidak terabai dari segi makan, minum, pelajaran, tempat tinggal dan apa-apa lagi yang boleh menjaga kebajikan diri mereka. Namun, ini tak bermakna, bapa tidak mendapat apa-apa tentang jagaan anak. Bapa tetap mempunyai hak untuk melawat dan bermesra dengan anak-anaknya kerana anak tersebut juga datang dari benihnya. Cuma, untuk bermalam itu bergantung kepada keadaan dan kesesuaian. Apa-apa pun, ambil kira juga tentang perasaan anak. Terima kasih.
.
Tolong kongsikan ilmu ini pada rakan yang lain & Follow Khairul Fahmi Ramli dan Khairul Fahmi & Associates untuk dapatkan info2 yang lebih menarik. Terima kasih semua.
.
Anak Permata Berharga Bonda dan Ayahanda
#lawyerkfassc
#hakjagaananak

Wednesday, 24 April 2019

6 Perkara Wajib Isteri Teraniaya Buat

[KERANA KETUM, WANITA INI MERANA]

-Amaran, story ini khas untuk menyelamatkan isteri yang didera suaminya-

.

Saya rasa nak share kepada korang semua tentang satu story daripada soalan yang saya dapat iaitu betapa sabarnya seorang isteri ini yang telah didera zahir dan batin. Mesti ramai yang kenal dengan KETUM? Kalau dekat Kedah ni, saya biasa dengar orang sebut Air Biak. Kalau di Penang, saya biasa dengar Moru. Tapi, apa pun bunyinya, itu adalah Air Ketum. Satu jenis air yang pada asalnya digunakan untuk perubatan dulu-dulu, tapi sekarang ia telah diharamkan baik dari segi undang-undang mahupun disisi syarak.

.

Soalan yang saya terima daripada seorang Hamba Allah ni, katanya, suaminya selalu MABUK KETUM. Rumahtangga mereka telah dibina lebih kurang 5 tahun lamanya. Ada anak 2 orang. Namun, setahun yang lalu, suaminya telah berhenti kerja dan terlibat dengan aktiviti minum dan berniaga air ketum. Penuh dalam peti ais rumahnya disimpan air ketum tersebut. Akak ni tak nak subahat tapi dalam masa yang sama tak sanggup nak buat laporan polis sebab fikirkan anak-anaknya. Sebak akak tu cerita pada saya.

.

Saya pernah kendalikan kes yang sebijik macam kes akak ni. Apa yang berlaku kepadanya adalah, apabila suami mabuk ketum di dalam rumah, tak kira waktu, asyik nak bersetubuh saja dengan isteri dia. Siang ke malam ke, dia tak heran. Yang tu takpa lagi. Yang paling KEJI adalah, waktu period pun dia nak jugak sampai diheretnya isteri ni masuk bilik. isteri ni sampai pengsan sebab bila orang yang minum ketum ni bersetubuh, sampai 3 jam tak habis lagi. Saya mulanya macam sangsi, tapi bila saya Google kesan minum air ketum ni, memang betul, ia melambatkan Ejakulasi. Bahkan, banyak lagi side effect yang lebih teruk. One thing yang saya perasan, orang kuat minum ketum ni, gigi dia banyak luruh, tambah-tambah gigi depan.

.

Klien saya ni sering dipukul oleh suaminya bila dalam keadaan mabuk. Tapi, tak ada siapa-siapa yang tahu kerana berlaku di dalam rumah. Anak-anak juga masih kecil. Jadi, saya nak sharekan :

.

6 PERKARA WAJIB TAHU BAGI ISTERI YANG DIPUKUL OLEH SUAMI

====================================

.

✅ Minta bantuan dan sokongan

Jangan diam diri. Sayangkan diri anda. Islam amat benci keganasan dan Islam tak pernah suruh suami dera atau aniaya isteri. Ceritakan kepada saudara mara, jiran, kawan rapat, tok imam, JKKK dan sapa-sapa lagi la. Lagi bagus, libatkan NGO yang berkaitan dengan membantu mangsa dera. Jangan senyap-senyap sebab anda perlu dapat support daripada semua pihak.

.

✅ Lari ke Balai Polis

Kalau berlaku keganasan kepada anda, jangan tunggu lama-lama untuk ke Balai Polis dan buat laporan. Anda tak dikira nusyuz kalau dalam keadaan darurat begini. Jangan biarkan kezaliman berterusan. Terus buat report polis kerana penderaan suami adalah JENAYAH rumahtangga.

.

✅ Buat Medical Check Up

Ni sangat penting. Penderaan tak pernah tak sakit. Mesti sakit. Ada yang sampai patah tangan, lebam muka dan mata dan macam-macam lagi la. Terus ke Hospital kerajaan yang berdekatan untuk dapatkan rawatan seberapa segera. Dan yang paling penting, mintak laporan perubatan daripada doktor yang bertugas.

.

✅ Ambil gambar bahagian badan yang cedera

Sekarang ni sangat penting untuk pakai henset yang ada kamera. Lagi bagus, henset tersebut kameranya sangat jelas. Ambil gambar bahagian badan yang cedera tersebut kerana itu mungkin akan jadi bukti di Mahkamah kelak. Ada yang lebih bagus, dia dah set kamera atau voice recoder untuk rakam perbualan pergaduhan atau penderaan kerana dapat jangka perkara yang akan berlaku. Segala bukti ini akan mempermudahkan untuk urusan di Mahkamah kelak.

.

✅ Mohon perlindungan sementara

Dengan seberapa segera, isteri yang didera tersebut, boleh dapatkan Perlindungan Sementara daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau boleh juga mendapatkan dengan cepat satu Perintah Injunksi/Tegahan di Mahkamah Syariah bagi menghalang suami daripada menceroboh diri atau dekat dengan isterinya.

.

✅ Fasakh atau Cerai Ta’liq

Rasanya, kalau dah tahap mendatangkan mudharat yang berat pada diri, jalan terbaiknya adalah menuntut fasakh atau cerai ta’liq di Mahkamah Rendah Syariah. Melainkan, anda masih sanggup meneruskan perkahwinan. Tiada mana-mana pihak boleh menghalang keputusan anda.

.

Untuk kes penderaan seperti yang berlaku kepada klien saya tersebut, alhamdulillah, Mahkamah telah menerima segala pembuktian yang telah saya bawakan. Memang sukar la nak bawak saksi yang nampak betul-betul kejadian yang berlaku dalam rumah. Tapi, sekurang-kurangnya, ada bukti-bukti lain yang boleh menyokong tuntutan ni, insya allah, Mahkamah boleh terima. Klien saya yang dulu hidup terseksa yang sering didera dan diperlakukan seperti binatang, kini, telah keluar daripada penjara yang ada dalam dirinya sendiri. Saya sangat berharap, golongan wanita khususnya, jangan biarkan diri anda terseksa. You are a diamond, no one can break you.

.

p/s : Akhirnya, seperti jangkaan saya, Hamadi pun telah memukul Aisyah dalam Nur 2.

.

Kongsikan Story Artikel ini untuk selamatkan lebih ramai wanita teraniaya di luar sana.

Jemput follow saya di Facebook Khairul Fahmi Ramli dan Page Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih banyak info tentang isu-isu Syariah.

.

#lawyerkfassc

#penderaanisteri

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...