Sunday, 5 May 2019

Kelayakan Ibu Mendapat Hadanah

WANITA BEKERJA, LAYAK KE DAPAT JAGAAN ANAK?
.
Saya sering mendapat soalan daripada golongan wanita khususnya tentang isu jagaan anak. Saya faham. Sangat faham kenapa seorang ibu sanggup meredah apa sahaja rintangan dan halangan demi anaknya. Seorang ibu ‘WhatsApp’ kepada saya, dengan rasa gundah dan cemas yang saya dapat rasakan, dia cakap, dia ada kerjaya yang baik. Sangat baik. Pendapatannya mencecah RM20,000.00 sebulan. Bahkan lebih daripada itu. Kerana dia mempunyai bisnes yang stabil.
.
Cuma, kehidupannya sebagai seorang janda anak 3 amat menyukarkan sikit baginya untuk uruskan bisnes dan anak-anaknya. Dia agak sibuk menguruskan bisnesnya dengan berjumpa banyak agen-agen di bawahnya, stokis-stokis dan ramai lagi networking yang sepatutnya dibuat oleh seorang leader. Tiba-tiba, dia mendapat satu saman daripada bekas suaminya yang menuntut Hak Jagaan Anak di dalam Mahkamah Tinggi Syariah atas alasan yang diberikan oleh bekas suaminya, dia terlalu sibuk untuk urus anak. Ketaq tu tak payah cakap la kalau seseorang yang baru dapat saman ni rasa tambah-tambah bila disebut tentang jagaan anak.
.
Saya sangat memahami, apabila seorang wanita yang bekerjaya hebat  ini, dia tak kisah sangat kalau tak dapat Nafkah Anak daripada bekas suaminya yang sepatutnya menanggung nafkah tersebut. Bahkan, dia lebih mampu daripada bekas suaminya untuk tanggung segala keperluan anak-anak daripada keperluan makanan sehinggalah mampu untuk membawa anak-anak tersebut berjalan-jalan keluar negara. For them, money is nothing. Diorang sanggup membayar berapa jumlah sekalipun asalkan anak-anak ada bersama mereka dan tak ada sapa-sapa yang boleh mengambilnya selain daripada dia.
.
Jadi, saya nak share kepada semua, 5 alasan ini bagaimana seorang ibu akan gagal untuk dapatkan jagaan anak di Mahkamah Syariah :
.
1)​Murtad

Kalau ibu tersebut telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah bahawa dia telah keluar Islam, maka, hak jagaan boleh beralih kepada pihak lain yang beragama Islam. Sebenarnya isu ni jarang berlaku, tapi ia agak sensitive dan rumit kerana ia akan melibatkan pertindihan kuasa antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Contoh kes yang berlaku, kes Subashini vs Saravanan, dimana Saravanan telah memeluk Islam dan mengislamkan sekali anaknya. Jadi, berlaku pertindihan kuasa apabila perintah jagaan di Mahkamah Syariah serta perintah Mahkamah Sivil.
.
2)​Berkahwin Lain

Yang ini selalu berlaku. Bapa selalu akan lawan jagaan anak kalau si ibu tersebut (bekas isterinya) telah berkahwin dengan seorang lelaki yang lain. Tapi, haknya untuk dapat jagaan anak tu akan kembali kalau perkahwinannya dah dibubarkan kalau perkahwinan itu akan jejaskan kebajikan anak itu. Biasanya, perkara ini Mahkamah akan pertimbangkan mengikut keadaan juga. Kalau anak tu kecik lagi, masih menyusu, memang sukar kalau Mahkamah nak bagi jagaan kepada bapa walaupun ibu itu berkahwin lain.
.
3)​Berkelakuan Keji

Ini antara alasan yang popular digunakan oleh si bapa untuk menuntut jagaan anak. Tujuan alasan ini tak lain tak bukan untuk elakkan anak tersebut dibesarkan dalam keadaan yang negatif dimana mungkin anak tersebut akan terjebak dengan perlakuan keji ibu yang membesarkan anak tersebut. Selalu lelaki tanya kepada saya, kalau keji tu macam isteri disabit nusyuz, boleh ke dia gagal jagaan anak. Jawapan saya, nusyuz isteri tidak gagalkan ibu untuk dapat jagaan anak. Keji di dalam undang-undang  disebutkan secara perlakuan buruk secara terbuka atau keterlaluan. Banyak orang yang hanya menuduh ibu berkelakuan buruk seperti berkelakuan curang semasa tempoh kahwin contohnya, namun, ia tidak dapat membuktikan perkara tersebut. Lagi baik kalau nak tuduh berkelakuan keji tersebut apabila si ibu tersebut telah dihukum oleh Mahkamah atas apa-apa kesalahan jenayah yang berat. Contohnya, kena tangkap bekerja sebagai GRO ke, mengambil dadah ke atau apa-apa perkara yang lain.
.
4)​Tukar Mastautin

Kalau ibu tersebut menukar tempat dia mastautin dengan tujuan untuk cegah bapa kanak-kanak itu menjalankan pengawasan yang perlu kepada anak tersebut, dia boleh dikira gagal untuk dapat jagaan anak. Tapi yang ini perlu lihat juga, ibu tersebut tukar mastautin jauh mana, sebab apa bertukar tu dan lain-lain. Contohnya, kalau ibu tersebut ditukar tempat kerjanya kerana dinaik pangkat contohnya, itu tidak menjadi isu. Saya selalu berkata, tukar mastautin ni macam nak bawak lari anak-anak lari keluar negara. Ada pengecualian, ibu itu kalau bercerai, dia boleh membawa pulang ke tempat lahir ibu itu atau dalam makna mudahnya, pulang kampung halaman.
.
5)​Menzalimi Anak

Jarang berlaku hal ini. Ada sesetengah bapa mendakwa, ibu tersebut mendera anak sedangkan merotan untuk tujuan ajar mengaji atau ada sesetengah dakwa ibu tersebut terlalu garang sedangkan anak tersebut tidak mengalami apa-apa kecederaan pun. Perlu diingat, menzalimi atau mengabaikan anak-anak bukan bermaksud tidak boleh menyentuh langsung anak tersebut sampai nak kena bagi manja sahaja. Kasih sayang itu luas skopnya. Jangan sampai jadi Anakku Sazali sudah lah. Bagi saya, kalau menzalimi itu, biar sehingga ibu tersebut sememangnya terbukti di Mahkamah bahawa dia telah zalim kepada anak itu.
.
Haa, dapatkan..tapi, yang paling penting daripada 5 yang diatas adalah Mahkamah Syariah amat menekankan aspek, KEBAJIKAN. Siapa yang lebih layak menjaga kebajikan anak tersebut. UMUR anak juga memainkan peranan pada Mahkamah.
Daripada share ini, untuk jawab persoalan, adakah Wanita Bekerja layak mendapat jagaan anak, jawapannya, YA. Wanita yang dah bercerai perlu berkerja untuk cari sumber pendapatan sebab dia sudah tidak ada sumber nafkah seperti di dalam perkahwinan. 
.
Tiada masalah walaupun sibuk bekerja asalkan dia mampu pastikan anak-anaknya tidak terabai dari segi makan, minum, pelajaran, tempat tinggal dan apa-apa lagi yang boleh menjaga kebajikan diri mereka. Namun, ini tak bermakna, bapa tidak mendapat apa-apa tentang jagaan anak. Bapa tetap mempunyai hak untuk melawat dan bermesra dengan anak-anaknya kerana anak tersebut juga datang dari benihnya. Cuma, untuk bermalam itu bergantung kepada keadaan dan kesesuaian. Apa-apa pun, ambil kira juga tentang perasaan anak. Terima kasih.
.
Tolong kongsikan ilmu ini pada rakan yang lain & Follow Khairul Fahmi Ramli dan Khairul Fahmi & Associates untuk dapatkan info2 yang lebih menarik. Terima kasih semua.
.
Anak Permata Berharga Bonda dan Ayahanda
#lawyerkfassc
#hakjagaananak

No comments:

Post a Comment

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...