Monday, 20 May 2019

Kewajipan bapa tanggung nafkah anak

Baju Raya Tahun ni sapa nak beli?
.
Saya ada dapat satu mesej daripada seorang perempuan yang baru saja cerai bulan Mac 2019 yang lepas. Anaknya ada 3 orang. Dua lelaki satu perempuan. Masing-masing berumur 5, 9 & 10 tahun. Ibu ini mengadu kepada saya tentang si bapa ini yang tak mau bagi nafkah anak dari bulan lepas sampai la ke bulan puasa ni. Alasannya sebab dah cerai, anak-anak duduk dengan si ibu, jadi ibu yang beli. Saya cakap dalam diri, what??? Sapa yang habaq kat dia lagu tu. Tak pi Kursus Kahwin ke. Saya istighfar dan ingat bulan Ramadhan saja.
.
Jadi, ini tahun Raya Aidilfitri yang pertama baginya untuk sediakan persiapan raya. Soalan akak ni pada saya,

“Baju Raya Tahun ni sapa nak beli? Betul ke makan minum anak-anak semua saya yang tanggung?”
.
Ada banyak juga yang sebelum ini tanya berkaitan nafkah anak. Jadi saya akan rungkai soalan-soalan berkaitan dengan nafkah anak untuk mudah orang tahu dan faham.
.
👉🏻 Siapa yang patut tanggung nafkah anak-anak?
Di dalam Islam, Allah sebut di dalam Surah At-Talaq ayat 6 : Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya. 

Menurut Sheikh Mohamad Khatib al-Sharbani dalam Mughni Muhtaj, “Bahawa membayar upah bagi menyusukan anak itu termasuk juga dalam pengertian ayat itu ialah kewajipan memberi nafkah kepada anaknya”. 

Jadi ikut dalil ini, maka dalam undang-undang, Seksyen 73 & 74 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang ada menyatakan tentang kewajipan bapa tanggung nafkah anak dan Mahkamah ada kuasa untuk perintahkan bapa bayar nafkah anak-anak. Syaratnya, anak tu mestilah anak kandung dan sah taraf kepada bapa tersebut.
.
👉🏻 Macam mana nak tuntut nafkah anak?

Kena buat Saman dan Penyata Tuntutan yang mengandungi butir yang ringkas dan padat tentang perkahwinan, perceraian dan kelahiran anak. Yang paling penting tentang butiran fakta tentang nafkah anak yang dituntut.
.
👉🏻 Apa yang boleh dituntut?

✅ Nafkah Bulanan macam makan minum, pakaian, tempat tinggal, keperluan diri, perubatan dan apa-apa keperluan bulanan yang perlu untuk seseorang anak. Macam susu ke pampers ka. Apa-apa la yang kita belanjakan bulanan untuk anak tu.

✅ Nafkah Tahunan, seperti persiapan awal persekolahan. Setiap kelengkapan untuk persediaan sebelum persekolahan boleh tuntut seperti Yuran Sekolah, buku-buku, alat tulis, baju, kasut dan macam-macam lagi la yang ada kaitan dengan sekolah.

✅ Satu lagi ialah persiapan Hari Raya Aidilfitri. Adat kita di Malaysia, orang Islam akan sambut lebaran ini dengan meriah. Jadi, adalah diterima juga untuk tuntut nafkah tahunan Hari Raya bagi anak-anak meliputi baju raya, kasut raya, dan lain-lain. Cuma Raya Haji sahaja jarang orang nak sambut lebih-lebih. Jadi, boleh nak tuntut kalau rasa perlu, Cuma Mahkamah jarang sebut nafkah raya aidiladha. Kalau dapat tu untungla.
.
👉🏻 Macam mana kalau suami cakap dia tak mampu?

✅ Mahkamah akan dengar dulu apa berapa tuntutan, keperluan-keperluan yang penting anak-anak dan kemudian Mahkamah akan menilai kemampuan suami. Tapi, kita yang menuntut ni, kena la juga bukti tentang pendapatan suami dan kemampuan dia untuk bayar nafkah anak dan bil-bil atau apa-apa resit yang dibelanjakan untuk anak sebagai bukti. 

✅ Kalau suami dakwa juga kata dia tak mampu, suami la kena bukti kepada Mahkamah apa yang menyebabkan dia tidak mampu untuk bayar. Contohnya, dia ada hutang rumah, kereta, loan peribadi dan lain-lain. Yang penting, tuntutan nafkah anak, wajib untuk Mahkamah perintahkan satu jumlah yang perlu untuk dibayar oleh bapa kepada anaknya. Jangan risau.
.
👉🏻 Boleh ke nak buat potongan gaji terus?

✅ Selalu kalau suaminya kerja yang ada pendapatan bergaji, mesti nak minta supaya dibuat terus secara potongan gaji. Jawapannya, bergantung juga pada Hakim. Ada sesetengah keadaan Mahkamah rasakan bapa tak pernah gagal bagi nafkah Cuma amaun tak tetap, jadi Mahkamah bagi perintah perlu di bank in ke akaun isteri. 

✅ Ada keadaan, Mahkamah benarkan untuk dibuat potongan gaji. So, bergantung penuh pada bicara dan keputusan Hakim untuk tuntutan Nafkah Anak mula-mula ni. Kalau kes ni, masuk peringkat hutang, mungkin ada potongan gaji terus.
.
👉🏻 Kalau dia enggan juga bayar ikut perintah, bagaimana?

✅ Cuai atau sengaja enggan ikut perintah nafkah ni, maka, ia dikira sebagai hutang dan jadi beban kepada bapa untuk bayar hutang tersebut. Jadi, hutang wajiblah kena bayar. Maka, isteri tersebut boleh buka kes Saman Penghutang Penghakiman di Mahkamah dan masa ini, Mahkamah akan periksa jumlah hutang dan sebab kegagalan Defendan. 

✅ Mahkamah akan bagi perintah hutang tersebut perlu dibayar secara sekaligus, serta merta atau dalam tempoh tertentu. Kalau masa ni suami tak datang jugak, Mahkamah boleh keluarkan Waran Tangkap kepadanya.
.
👉🏻 Kalau si bapa ni tak hadir masa tuntutan nafkah anak macam mana?

✅ Tak ada masalah. Perbicaraan akan tetap diteruskan secara sebelah pihak sahaja. Cuma, payah sikit la nak bukti tentang kemampuan kalau tak ada slip gaji atau apa-apa bukti pendapatan si bapa.
.
👉🏻 Kalau bapa ni hilang, mati, tak tau ada kat mana atau memang miskin langsung macam mana?

✅ Undang-undang sebut, orang yang bertanggungan untuk bayar nafkah adalah mengikut Hukum Syarak. Dan kalau ikut Hukum Syarak, semestinya, bapa kepada suami (datuk), saudara lelaki sebelah bapa dan boleh dikatakan, pihak lelaki sebelah bapa lah yang kena tanggung bab nafkah ni (orang yang boleh jadi wali).
.
Cukup la kot, rasanya faham dah kan. Tuntutan di mahkamah memang bukan penyelesaian yang hakiki. Paling penting adalah rasa tanggungjawab bapa terhadap anaknya. Itu yang sebaiknya. Tapi, sekurang-kurangnya, Mahkamah adalah alternatif kepada keadilan seorang anak.
.
Kalau rasa sharing ni bermanfaat, jom Kongsi kepada rakan-rakan yang lain. Mana tau, kot-kot depa nak maklumat ni. Boleh jadi pahala sedekah ilmu kat kita.
.
Jom terus ikut saya Khairul Fahmi & Associates dan Khairul Fahmi Ramli untuk dapat lebih info yang berkaitan dengan isu syariah.
.
KITA TAK MAKAN TAK PA, JANGAN ANAK-ANAK TERABAI SUDAH
#nafkahanak
#lawyerkfassc

No comments:

Post a Comment

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...