Sunday, 12 May 2019

Nafkah Anak Sementara

Kenapa lama sangat sampai dua tahun nak dapat Perintah Nafkah Anak?


Pagi ini, 12/5/2019 lepas subuh, sambil dok bersiap nak pergi Mahkamah, terbaca la satu perkongsian viral di FB daripada seorang ibu yang telah berjaya mendapat perintah Nafkah Anak, Mutaah & Nafkah Eddah daripada Mahkamah Rendah Syariah Kota Kinabalu selepas 2 tahun naik turun Mahkamah. Alhamdulillah, tahniah saya ucapkan kepada semua ibu yang telah berjaya mengharungi cabaran untuk dapatkan perintah daripada Mahkamah bagi mendapatkan perintah nafkah anak khususnya.

.

Masalah yang sering berlaku dalam masyarakat adalah bapa tidak bertanggungjawab untuk beri nafkah anak. Ada juga keadaan, bapa culas. Tapi, saya tak kata semua laki macam tu, ada yang baik cuma segelintir pihak bapa yang macam tu, terpaksalah si ibu naik turun Mahkamah untuk dapatkan perintah nafkah anak khususnya.

.

Walaupun, ada ketika saya memang mewakili pihak bapa dalam kes nafkah anak, tapi, menjadi tugas seorang Peguam Syarie juga untuk sentiasa beritahu kepada si bapa, berikan dahulu sejumlah wang yang wajar sebelum Mahkamah putuskan jumlah yang patut sebab memang menjadi Hak kepada Anak tersebut untuk dapat nafkah jadi apa sekalipun. Itu hal yang benar.

.

Selepas beberapa minit, saya teringat, dulu ada seorang wanita bertanya kepada saya,


 “Macam mana saya nak tanggung nafkah anak kalau lama sangat kena naik turun Mahkamah?”

.

Ramai dikalangan orang awam mungkin tidak tahu, sebenarnya ada penyelesaian segera bagi membantu mengatasi isu ini di Mahkamah Syariah. Nama tuntutan tersebut ialah Permohonan Nafkah Anak Sementara. Tujuan permohonan dibenarkan untuk dibuat oleh mana-mana Pemohon adalah disebabkan Mahkamah faham, betapa pentingnya tanggungjawab Nafkah Anak daripada seorang bapa. Dalam masa yang sama Mahkamah juga perlu bersikap adil untuk mendengar keterangan daripada bapa sebelum Mahkamah memberikan perintah nafkah. Sebab tu kes induk Nafkah Anak jadi lambat.

.

✅ Jadi, untuk memberikan penyelesaian segera yang bersifat sementara kes induk selesai bicara, Perintah Nafkah Anak  Sementara ini boleh dipohon secara sebelah pihak (ex-parte) jika ada unsur keterdesakan dalam menanggung nafkah tersebut. Tapi, yang pentingnya, kena la juga ikut prosedur tapi tak dak la panjang sangat macam tuntutan yang induk.

.

✅ Apa dalil yang kata boleh tuntut nafkah anak sebelah pihak tanpa perlu dengar keterangan bapa?


👉🏻 Masa zaman Nabi Muhammad s.a.w dulu, ada seorang wanita namanya Hindun bt Utbah iaitu isteri kepada pembesar Makkah masa itu, Abu Sufyan. Hindun mengadu pada Nabi dengan berkata yang Abu Sufyan ni seorang yang kedekut. Dia tak bagi apa yang cukup untuk Hindun dan anaknya sampaikan Hindun terpaksa ambil senyap-senyap tanpa pengetahuan Abu Sufyan. Lalu, Nabi terus mengarahkan kepada Hindun untuk ambil apa yang cukup baginya dan anaknya.

.

👉🏻 Daripada kisah hadis ini, kalau anda perasan, Nabi tak panggil pun Abu Sufyan untuk tanya kepadanya, kenapa beliau tak bagi nafkah yang cukup, tapi terus memerintahkan kepada Hindun untuk ambil harta Abu Sufyan untuk kegunaan beliau dan anaknya. Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari. Inilah asas bagaimana kes nafkah anak ini boleh dibuat secara sebelah pihak.

.

✅ Berapa lama perintah interim ni boleh tahan?


Ikut undang-undang, perintah nafkah sementara ni akan berjalan sehingga kes tuntutan nafkah anak yang induk selesai bicara. 

.

✅ Macam mana nak tuntut?


Perlu ada tuntutan nafkah anak induk dahulu di Mahkamah Rendah Syariah dan bagi Permohonan Nafkah Anak Sementara ini, Pemohon perlu buat di Mahkamah Tinggi Syariah.

.

✅ Apa isu yang sering berlaku selepas perintah dikeluarkan?


👉🏻 Bapa culas/gagal ikut perintah


Ini sering berlaku iaitu bapa gagal patuh perintah. Bagi yang dapat perintah melalui potongan gaji, mudahlah. Tapi, kalau perintah tersebut perintah sementara, jarang nak ada potongan gaji. Kadang-kadang, kes nafkah anak yang induk pun tak ada potongan gaji sebab tak semua bapa kerja makan gaji. Dan, potongan gaji selalunya berlaku ketika bapa telah gagal kali pertama.


👉🏻 Bapa hilang & tidak diketahui


Ini juga biasa dan sangat menjadi masalah kalau kita tidak ketahui dimana bapa tersebut berada. 


👉🏻 Bapa pilih untuk ke penjara berbanding bayar nafkah.


Jangan terkejut. Memang ada bapa yanv sebegini cuma jarang. Mungkin sebab dah pernah masuk penjara sebelum ini atau tiada kepentingan apa-apa kalau ke penjara sekalipun.

.

Oleh itu, jangan bimbang tentang hak nafkah untuk anak anda. Hak nafkah anak akan tetap diperolehi selagimana anak tersebut berbin atau bintikan kepada bapa kandungnya yang sah. Cuma, kita perlu terima, Mahkamah perlu berlaku adil, antara keperluan anak dan kemampuan bapa. 

.

Tahniah sekali lagi buat ibu-ibu yang cekal menanggung nafkah anak dan cekal menuntut hak anaknya di Mahkamah. 

.

Sila Tag Rakan Anda yang ada masalah Nafkah Anak untuk kita sharekan info ini. Mana tahu, mungkin dapat bantunya. Follow saya Khairul Fahmi Ramli dan Page Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih info. 

.

Selamat Hari Ibu buat ibu-ibu cekal seluruh dunia.

1 comment:

  1. Tuan, Bagaimana jika tuntutan nafkah anak interim yang dibuat oleh bekas isteri melebihi kemampuan suami dan diluluskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah tanpa kehadiran bekas suami?
    Contohnya, gaji bekas suami RM7000, tetapi bekas isteri menuntut RM8000. Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah untuk bekas suami membayar nafkah tersebut tanpa mendengar penjelasan bekas suami kerana bekas suami gagal hadir kali pertama. Bekas isteri menipu mahkamah dengan memaklumkan kepada mahkamah bahawa bekas suami tidak pernah memberi nafkah sedangkan bekas suami telah memberi nafkah RM1000 sebulan sebelum ini ikut kemampuan beliau. Apakah yang boleh dibuat oleh bekas suami dengan perintah tersebut?

    ReplyDelete

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...