Monday, 23 December 2013

Kita jangan jadi Muslim zalim menggunakan lidah.

Kita jangan jadi Muslim zalim menggunakan lidah.

Lidah, merupakan salah satu anggota yang diberikan Allah s.w.t untuk kita bertutur, berkomunikasi dan berzikir memuji tentang kebesaran Allah s.w.t supaya kita tidak terlepas daripada terus-menerus melafazkan kata-kata yang baik kepada pencipta kita mahupun sesama insan yang lain. Lidah ini kata Imam al-Ghazali juga merupakan satu anggota yang cukup merbahaya.

“Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

Sifat lidah yang suka berkata-kata ini tidaklah terhad kepada percakapan sahaja, bahkan penulisan dan lukisan juga boleh menjadi kata-kata yang terbit daripada pemikiran seseorang yang ingin melafazkan atau mengungkapkan kata-kata tersebut.

Kalau dalam perundangan,amnya kata-kata ini boleh terbahagi kepada dua perkara iaitu libel dan slander, iaitu ;
1.    Libel – kata-kata yang hadir melalui PENULISAN
2.    Slander – kata-kata melalui PERCAKAPAN/UNGKAPAN

Meskipun kedua-dua istilah ini sebenarnya terpakai dalam elemen tort fitnah, akan tetapi konsepnya boleh digunapakai bagi menceritakan perihal kata-kata sama ada melalui lisan dan penulisan yang terbit melalui anggota yang bernama lidah.

Kadang-kadang, kita tidak pernah sedar dengan lidah ini, kita telah banyak membuat kesilapan yang secara tidak langsung menyebabkan insan lain terasa hati, terguris ataupun mungkin dengan kata-kata kita secara membabi buta menyebabkan maruah orang lain tergadai mahupun tercalar. Secara tidak sedar juga, sebenarnya manusia ini hanya suka mendengar kata-kata yang buruk terhadap musuhnya sedangkan bukti bagi mensabitkan seseorang itu adalah buruk masih belum dibuktikan. Apatah lagi, apabila didengari oleh orang lain, kebanyakannya juga akan percaya dengan kata-kata buruk itu walhal kita sendiri pun tidak pernah berdamping 24 jam dengan insane yang didakwa atau difitnah itu.

Inilah masalah hati bagi insan yang bergelar manusia iaitu suka menuduh tanpa bukti yang kukuh kemudian orang lain pula mempercayai bulat-bulat tanpa ada sebarang asas pengetahuan terhadap perkara yang dituduh atau didakwa tersebut.

Begitulah juga halnya yang terjadi pada ketika ini. Banyak hal yang melibatkan kata-kata yang lahir melalui ungkapan mahupun penulisan-penulisan di media umum mahupun media sosial, menuduh atau mendakwa seseorang itu sesat, tidak baik, jahat, dan sebagainya dengan bukti-bukti yang ala kadar, tidak berapa relevan dan kadang-kadang ada unsur dendam/politik semata-mata. Tidak kurang juga dengan pihak yang suka menuduh tanpa ada sebarang bukti langsung. Niat utamanya hanya satu sahaja iaitu untuk menjatuhkan maruah seseorang itu sahaja.

Perkara inilah yang amat perlu dirisaukan kerana dengan tidak semena-mena, fitnah itu sebenarnya telah tersebar sebelum hal yang sebenar dibuktikan. Tambahan, dalam Islam, berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, seseorang yang dituduh atau didakwa itu berhak untuk membela dirinya daripada sebarang pertuduhan melainkan dia sendiri berikrar atas perbuatan tersebut. Hadis daripada Nabi Muhammad s.a.w jelas menyatakan :
           
“Keterangan keatas orang yang mendakwa, dan sumpah keatas orang yang didakwa”

Melalui hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita akan kewajipan untuk memberikan keadilan kepada seseorang dengan memberikan ruang dan peluang kepada orang yang didakwa/dituduh itu untuk membela dirinya. Unjuran untuk bersikap adil ini telah dinyatakan secara jelas oleh Allah s.w.t di dalam kitabnya :

“jika kamu hendak menetapkan hukum diantara manusia, hendaklah kamu tetapkannya dengan adil”



Persoalan seterusnya, adakah kita, masyarakat biasa yang layak/ditugaskan untuk menjatuhkan dan menetapkan hukuman tersebut?

Dalam soal hukum menghukum ini, secara mudahnya diketahui adalah tugas bagi seorang hakim. Ini kerana, dalam soal keadilan perlu untuk didengari keterangan daripada kedua-dua pihak kerana dibimbangi berlaku kezaliman dan penindasan kepada pihak-pihak yang teraniaya.

Ada juga suatu keadaan dimana boleh rakyat menghukum, iaitu dimana hak mereka ditindas oleh pemerintah dengan cara menukar kerajaan tersebut melalui pemilihan umum atau lebih dikenal sebagai pilihanraya. Disitu rakyat berhak ‘menghukum’ suatu pemerintah dengan menjatuhkannya tanpa memilihnya untuk penggal seterusnya kerana tidak berpuas hati atas khidmatnya.

Namun, hal-hal yang lain, perlu diingat, bahawa soal lidah dalam berkata-kata ini adalah suatu perkara yang perlu diberatkan dalam setiap tindakan dan perbuatan. Ini kerana, hanya dengan kata-kata ia mampu untuk meruntuhkan maruah, memporak perandakan hubungan bersaudara, menzalimi orang-orang yang teraniaya dan sebagainya.

Maka, kita janganlah kita sewenangnya melafazkan kata-kata yang bersifat menuduh, berkata-kata dusta dan memfitnah seseorang tanpa sebarang asas yang kukuh jika sekiranya kita hanya memperolehi maklumat-maklumat hanya melalui media atau ‘lidah-lidah’ sosial semata-mata. Walhal, mungkin apa yang kita perolehi itu tidak semestinya benar. Justeru, dimanakah tempat yang benar untuk menentukan kebanaran tersebut?

‘SUDAH PASTI JAWAPANNYA ADALAH MAHKAMAH’

Oleh itu, jika sekiranya kita yang hanya membaca, menelaah, menyebar dan terus memburukkan seseorang, tambahan hal itu adalah merupakan suatu dakwaan terhadap seseorang yang MASIH BELUM DIBUKTIKAN…maka itulah yang dikatakan FITNAH…dan kita terus membiarkan saham dosa terus menerus bertambah disebabkan kita membiarkan fitnah itu berleluasa.



Demikianlah yang dikatakan kehebatan ‘lidah’ dalam berkata-kata. Perkara inilah yang harus menjadi titik pemberat bagi kita dalam melafazkan kata2, bersembang-sembang, meluahkan perasaan di media-media sosial dan blog serta apa-apa jua yang boleh menyebabkan seseorang itu terasa atau ‘sentap’ dengan kata-kata tersebut. Lebih baik diam daripada berkata-kata. 

No comments:

Post a Comment

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...