Wednesday, 26 June 2013

Teks Khutbah - Adab Berpolitik

Hadirin sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
            
Sebelum khatib menyampaikan khutbah jumaat pada hari ini, khatib ingin menyeru kepada diri khatib sendiri dan seluruh hadirin, saudara2 seagama Islam yang ada dalam rumah Allah pada hari ini supaya bertakwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan menghindari segala larangannya bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup kita di dunia mahupun di akhirat. Semoga hidup kita akan dinaungi rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t dan semua usaha2 kita dalam kehidupan ini diberkatinya.
Hadirin siding jumaat sekalian,
Saya ingin mulakan bicara khutbah pada hari ini dengan memetik sebuah hadis yang amat sinonim dan popular dikalangan kita

“aku tinggalkan kamu dua perkara,jika kamu berpegang pada kedua-duanya maka kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah”
Hadis daripada baginda Nabi Muhammad s.a.w ini merupakan satu mukadimah awal buat anda semua supaya berlapang dada dengan apa yang akan khatib sampaikan. Medan khutbah pada jumaat ini bukan sahaja ia sebagai peringatan kepada anda semua, bahkan khutbah jumaat ini juga menjadi medan untuk umat Islam menguasai ilmu disamping memikirkan tentang kebenaran yang akan khatib sampaikan. Memandangkan seluruh umat Islam juga masyarakat daripada agama lain yang memegang status sebagai warganegara Malaysia akan membuang undi bagi memilih pemimpin yang bakal meneraju negara, maka khatib pada hari ini akan berbicara mengenai “ADAB BERPOLITIK DALAM ISLAM”.
Ikhwanul muslimin rahimakumullah,
            Sistem politik atau dalam erti kata mudahnya sistem pentadbiran merupakan sebahagian daripada kesyumulan Islam itu sendiri. Adalah menjadi satu kesalahan bagi pihak2 yang mentakrifkan politik adalah bukan sebahagian daripada Islam. Zaman politik yang baik dalam sejarah ketamadunan Islam adalah pada ketika pemerintahan Rasulullah s.a.w. Perkara ini telah diakui oleh para sarjana barat dengan melihatkan bagaimana ketokohan pemimpin agung Nabi Muhammad s.a.w telah berjaya menyatukan serta mempersaudarakan antara kaum Muhajirin dan Ansar di dalam kota Madinah sehingga baginda diangkat menjadi pemimpin di negara tersebut melihatkan kredibiliti kepimpinan baginda Nabi s.a.w. Sistem politik pada ketika itu menjadi lebih stabil apabila Nabi telah merangka satu rang undang2 yang tidak menindas mana2 pihak termasuk kaum2 yang masih menganut agama Nasrani dan Yahudi di kota Madinah tersebut yang dinamakan sebagai Piagam Madinah. Kekayaan dan hasil sumber negara telah dikongsi sama rata antara semua kaum.
            Begitulah juga halnya pada ketika zaman pemerintahan khalifah2 agung dunia Islam dimana sistem politik yang diamalkan sewaktu pemilihan adalah berdasarkan penilaian yang menyeluruh sama ada melalui musyawarah atau pun pemilihan berdasarkan sokongan majoriti, semuanya berlandaskan prinsip Islam iaitu berasaskan keadilan bukan melalui kezaliman dan penindasan. Bahkan juga, para sahabat mahupun para tabiin ini memandang pentadbiran merupakan satu amanah yang paling berat disisi Allah dengan berpegang kepada hadis Nabi


“ Tidak dikira beriman seseorang itu yang tiada amanah pada dirinya”

Sejarah melakarkan bagaimana zuhudnya serta sifat berhati2 yang dimiliki oleh Khalifah Umar Al-Khattab sewaktu menjadi pemerintah, bagaimana Umar Abdul Aziz yang mentadbir zaman kegemilangan Islam dengan penuh adil dan saksama. Hingga ada juga yang takut untuk pikul amanah yang sedemikian rupa, diseksa dan dipenjara. Lihatlah bagaimana Imam Abu Hanifah, seorang ulama yang mempunyai minda dan akal fikir yang tinggi lagi terpuji juga, menolak untuk memegang amanah untuk dilantik sebagai mufti yang akhirnya beliau telah dipenjara kerana menolak jawatan tersebut.
Namun, kita lihat pada hari ini, apa yang berlaku dinegara kita, berlumba-lumba untuk menjadi pemimpin sedangkan kepimpinan ini merupakan satu beban yang berat untuk dipikul. Bukan khatib nak menafikan tentang betapa pentingnya bagi kita untuk memilih calon pemimpin ini, namun dengan kewujudan pelbagai calon bebas misalannya menggambarkan betapa kepimpinan itu ibarat satu benda yang ringan dan akhirnya ramai yang berpusu-pusu hendak mencalonkan diri. Tapi, itu tidak mengapa selagimana ia masih bermatlamat untuk menjaga kebajikan rakyat yang memilihnya, maka harus baginya untuk bertanding. Namun, andai niatnya hanya demi kepentingan diri, maka haram hukumnya untuk bertanding menjadi calon wakil rakyat kawasan yang ditandingi.
Saudaraku sekalian,
Soal kepimpinan ini merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Ia perlu disusuli dengan adab2 Islam yang baik khususnya sewaktu berkempen. Antara yang khatib ingin tekankan adalah budaya caci maki atau mencerca. Yang paling jijik sekali adalah budaya mencaci dan menghina ulama yang menyampaikan dakwah Islamiah pada kita. Umum melihat, bila tibanya waktu pilihanraya, pelbagai kata kesat dilemparkan. Apatah lagi dengan penyebaran dan penayangan video2 lucah yang belum tentu kesahihannya. Jika kita terus menerus menyebar hal yang tidak dilihat depan mata kita sendiri, bermakna kita telah menyebarkan fitnah. Dan ketahuilah dosa fitnah ini, kalau dapat dilihat betapa besarnya perkara tersebut sehingga boleh menjatuhkan aib seseorang, maka kamu akan mengetahui begitu besarnya ia kerana dosa memfitnah ini lebih besar daripada membunuh. Firman Allah s.w.t

Al-Baqarah (2) : 191

وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُم مِّنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ وَلاَ تُقَاتِلُوهُمْ عِندَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ حَتَّى يُقَاتِلُوكُمْ فِيهِ فَإِن قَاتَلُوكُمْ فَاقْتُلُوهُمْ كَذَلِكَ جَزَاء الْكَافِرِينَ

“Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka telah mengusir kamu (Mekah); dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjidil Haram, kecuali jika mereka memerangi kamu di tempat itu. Jika mereka memerangi kamu (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. Demikanlah balasan bagi orang-orang kafir.”
Berdasarkan ayat quran sebentar tadi,jelas menggambarkan betapa besarnya dosa memfitnah dan menyebarkan fitnah ini selagi mana ia betul2 terbukti benar oleh mahkamah. Siapa kita yang nak menilai semua ini???hakim kah…Islam memandang serius hal fitnah memfitnah ini tambahan pula haram bagi kita bersekongkol menyokong budaya memfitnah ini. Ini bukan adab berpolitik cara Islam. Dalam pilihanraya ini, khatib boleh member gambaran mudah untuk siding jumaat sekalian.
Kita sebagai rakyat ini ibarat seperti pelanggan. Parti2 yang bertanding ini ibarat sebuah restoran/kedai makan. Apa yang pelanggan/rakyat perlu buat adalah menilai sama ada menu yang ditawarkan oleh restoran itu sama ada sesuai dengan citarasa atau tidak. Bukan dengan menilai peribadi rumah tangga tukang masak yang kita sendiri tidak mengenalinya. Jadi, apa yang rakyat perlu buat hanya menilai manifesto/tawaran yang akan diberikan oleh bakal pemimpin yang akan dipilih. Khatib berharap, yang mana ada dalam masjid ini, insaflah dan bertaubatlah jika pernah melakukan perkara sedemikian rupa.
Antara lain yang khatib ingin bawakan adalah budaya berpolitik yang beradab. Dalam Islam, sifat rendah diri atau kesederhanaan amat penting dalam berpolitik ditambah pula dengan semangat perpaduan yang perlu dipupuk oleh pemimpin itu bagi menjamin keharmonian sesebuah negara. Tapi sayangnya, jika kita membaca akhbar, blog2 dan sebagainya, budaya gangsterisme seolah-olah menjadi satu budaya yang halal dalam berpolitik. Prinsip demokrasi di negara ini membenarkan mana2 pihak untuk menyampaikan ceramah tanpa sebarang gangguan,tapi sayangnya masih ada yang berkelakuan gangster, kacau mengacau, dan sebagainya diamalkan oleh sesetengah pihak. Apatah lagi isu perkauman yang sering dibangkit dan ditiupkan dalam jiwa masyarakat supaya membenci kaum lain. Nabi s.a.w sewaktu mentadbir Madinah,tidak pernah menanamkan sifat benci pada orang yahudi kepada orang2 Islam sebaliknya mereka diberi hak yang sama sepertimana orang2 madinah yang lain. Tapi, khatib banyak mengkaji dan melihat, budaya perkauman khususnya membenci kaum cina misalannya merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima. Kalau begitu, janganlah dibangga dengan Datuk Lee Chong Wei misalannya yang telah mengharumkan nama negara di mata dunia.
Kalau kita hendak mengangkat martabat/darjat dan memelihara maruah serta keistimewaan hak melayu dan bumiputera bukan dengan cara begitu. Sebaliknya, kita perlu mengangkat budaya berilmu kerana ilmulah yang akan meletakkan martabat sesebuah bangsa. Contohnya, bagaimana kegemilangan zaman Abbasiyyah yang telah melahirkan ramai ilmuan2 yang terkenal dimata dunia yang akhirnya wilayah Islam berkembang pesat hingga ke zaman kerajaan turki uthmaniah. Ini contoh yang baik. Maka, khatib menyeru agar budaya politik perkauman ini ditolak kerana ia sememangnya bertentangan dengan prinsip perpaduan dalam Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Yang terakhir, adab berpolitik yang selari dengan Islam adalah kita perlu menyeru supaya tidak bersekongkol dengan rasuah kerana perkara inilah yang akan meruntuhkan institusi negara. Rasuah merupakan satu penilaian besar yang perlu diletakkan sewaktu memilih pentadbir negara.
 Hadis Nabi SAW

لَعَنَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ

Rasulullah SAW melaknat orang yang memberi rasuah, dan penerima rasuah
Jelas, Islam menolak budaya rasuah dan haram juga bagi kita untuk memilih pemimpin yang jelas terbabit dengan skandal rasuah seperti yang telah disahkan oleh mahkamah. Menurut Indeks persepsi rasuah,negara kita berada di tangga 54 daripada 174 buah negara. Ini bukan angka yang main2…ini merupakan satu masalah yang berat dan perlu dipandang serius oleh rakyat. Kalau kita terus mendiamkan diri dengan perkara ini, umpama kita telah meredhai dan merestui budaya rasuah ini dan wajib bagi kita untuk membersihkan perkara ini dengan cara kita memilih parti yang bersih dan pemimpin yang bersih daripada skandal rasuah bernilai jutaan ringgit demi pembangunan negara. Ini yang amat diharapkan dalam Islam iaitu kita perlu perangi rasuah dan mengangkat budaya Islam sebenarnya. Biar sesetengah orang kata taksub.
           
Memang kita perlu taksub..taksub ingin melihat slogan perjuangan Islam dan konsep wasatiyyah ni btul2 DILAKUKAN oleh orang2 yang benar cintakan agama Islam..jangan dok laung cintakan Islam tapi diri jarang datang mengimarahkan masjid….
Memang kita perlu taksub..taksub menyayangi ulama sbb mrka pewaris dakwah nabi, drpd kita taksub menyayangi  pada artis dan bini pemimpin yang  x bertudung apatah lagi kadang2 x sdar diri dengan gaya hidup mereka….
Memang kita perlu taksub...taksub ingin mengangkat orang yang tidak korupsi menjadi pemerintah..sbb saranan Islam dan moral utk benci kpd rasuah..
Memang kita perlu taksub..taksub ingin melihat budaya politik yang baik dengan membentangkan hujah dengan baik supaya boleh dinilai oleh rakyat biasa macam kita…
Memang kita perlu taksub..taksub inginkan perubahan,perubahan kearah negara yang diredhai dan diberkati Allah berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah...

Konklusinya, khatib menyeru agar kita selaku umat Islam yang beriman,bertaqwa dan bijak menggunakan akal fikiran yang telah Allah berikan ini, untuk menilai tentang kebenaran yang telah khatib sampaikan dan seterusnya menyeru untuk keluar mengundi dan pilihlah pemimpin yang benar2 mampu untuk memperjuangkan agama Islam,bangsa dan negara kea rah yang lebih baik. Insya allah.









Khutbah Kedua
Saudara2 kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Khatib menyeru kembali kepada semua yang hadir pada hari ini supaya bertakwalah kepada Allah dan bermuhasabah kembali diri dengan cara memikirkan tentang apa yang telah khatib sampaikan sebentar tadi. Hidup kita di muka bumi ini bukanlah selama-lamanya, tetapi apa yang kita perlu kejarkan adalah kehidupan di akhirat kelak yang kekal tiada jangka masanya. Khatib menyeru dan mengajak semua untuk berlapang dada dan minda dengan kebenaran yang telah khatib bawakan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita ini manusia, bukanlah haiwan yang tidak ada akal fikiran. Maka, gunakanlah fikiran untuk setiap tindakan yang akan kita lakukan.
Buatlah persiapan yang sepenuhnya untuk menghadapi hari perhitungan iaitu hari dimana segala keadilan bakal ditegakkan termasuklah setiap undi yang kita lakukan untuk memilih pemimpin. Dan jika kita bersekongkol dengan kezaliman, Allah s.w.t tidak akan teragak-agak untuk mencampakkan kita ke neraka yang dasyat seksaannya disebabkan tindakan kita yang tidak menggunakan akal fikiran dalam membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Pilihlah pemimpin atau parti yang benar-benar berjuang untuk pembangunan agama Islam, bangsa dan negara kita yang tercinta.
Disamping kita hangat memperjuangkan tentang politik, khatib juga ingin mengajak semua penduduk qaryah permatang pauh ini, untuk sama2 mengimarahkan rumah Allah ini bukan hanya pada hari Jumaat ini atau pada hari raya sahaja, bahkan setiap2 hari ia perlu diimarahkan dengan kehadiran anda semua. Jangan kita laung nak perjuang Islam, tapi kita sendiri tidak tunai perintah agama Islam. Dan jangan kerana beza fahaman politik, akhirnya perpaduan dan kasih sayang antara kita telah kita hancurkan. Bersama2 lah kita tunaikan hak Allah s.w.t dan juga hak kita sebagai manusia dengan adil dan bijaksana.
Pada hari yang mulia ini juga, kita tidak melupai untuk berselawat dan salam keatas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Al-ahzab ayat 56…………………..

No comments:

Post a Comment

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...