Monday, 23 December 2013

Kita jangan jadi Muslim zalim menggunakan lidah.

Kita jangan jadi Muslim zalim menggunakan lidah.

Lidah, merupakan salah satu anggota yang diberikan Allah s.w.t untuk kita bertutur, berkomunikasi dan berzikir memuji tentang kebesaran Allah s.w.t supaya kita tidak terlepas daripada terus-menerus melafazkan kata-kata yang baik kepada pencipta kita mahupun sesama insan yang lain. Lidah ini kata Imam al-Ghazali juga merupakan satu anggota yang cukup merbahaya.

“Keimanan dan kekufuran seseorang tiada terang dan jelas, selain dengan kesaksian lidah. Lidah mempunyai ketaatan yang besar dan mempunyai dosa besar pula. Anggota tubuh yang paling derhaka kepada manusia ialah lidah. Sesungguhnya lidah alat perangkap syaitan yang paling jitu untuk menjerumuskan manusia.”

Sifat lidah yang suka berkata-kata ini tidaklah terhad kepada percakapan sahaja, bahkan penulisan dan lukisan juga boleh menjadi kata-kata yang terbit daripada pemikiran seseorang yang ingin melafazkan atau mengungkapkan kata-kata tersebut.

Kalau dalam perundangan,amnya kata-kata ini boleh terbahagi kepada dua perkara iaitu libel dan slander, iaitu ;
1.    Libel – kata-kata yang hadir melalui PENULISAN
2.    Slander – kata-kata melalui PERCAKAPAN/UNGKAPAN

Meskipun kedua-dua istilah ini sebenarnya terpakai dalam elemen tort fitnah, akan tetapi konsepnya boleh digunapakai bagi menceritakan perihal kata-kata sama ada melalui lisan dan penulisan yang terbit melalui anggota yang bernama lidah.

Kadang-kadang, kita tidak pernah sedar dengan lidah ini, kita telah banyak membuat kesilapan yang secara tidak langsung menyebabkan insan lain terasa hati, terguris ataupun mungkin dengan kata-kata kita secara membabi buta menyebabkan maruah orang lain tergadai mahupun tercalar. Secara tidak sedar juga, sebenarnya manusia ini hanya suka mendengar kata-kata yang buruk terhadap musuhnya sedangkan bukti bagi mensabitkan seseorang itu adalah buruk masih belum dibuktikan. Apatah lagi, apabila didengari oleh orang lain, kebanyakannya juga akan percaya dengan kata-kata buruk itu walhal kita sendiri pun tidak pernah berdamping 24 jam dengan insane yang didakwa atau difitnah itu.

Inilah masalah hati bagi insan yang bergelar manusia iaitu suka menuduh tanpa bukti yang kukuh kemudian orang lain pula mempercayai bulat-bulat tanpa ada sebarang asas pengetahuan terhadap perkara yang dituduh atau didakwa tersebut.

Begitulah juga halnya yang terjadi pada ketika ini. Banyak hal yang melibatkan kata-kata yang lahir melalui ungkapan mahupun penulisan-penulisan di media umum mahupun media sosial, menuduh atau mendakwa seseorang itu sesat, tidak baik, jahat, dan sebagainya dengan bukti-bukti yang ala kadar, tidak berapa relevan dan kadang-kadang ada unsur dendam/politik semata-mata. Tidak kurang juga dengan pihak yang suka menuduh tanpa ada sebarang bukti langsung. Niat utamanya hanya satu sahaja iaitu untuk menjatuhkan maruah seseorang itu sahaja.

Perkara inilah yang amat perlu dirisaukan kerana dengan tidak semena-mena, fitnah itu sebenarnya telah tersebar sebelum hal yang sebenar dibuktikan. Tambahan, dalam Islam, berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, seseorang yang dituduh atau didakwa itu berhak untuk membela dirinya daripada sebarang pertuduhan melainkan dia sendiri berikrar atas perbuatan tersebut. Hadis daripada Nabi Muhammad s.a.w jelas menyatakan :
           
“Keterangan keatas orang yang mendakwa, dan sumpah keatas orang yang didakwa”

Melalui hadis tersebut jelas menunjukkan kepada kita akan kewajipan untuk memberikan keadilan kepada seseorang dengan memberikan ruang dan peluang kepada orang yang didakwa/dituduh itu untuk membela dirinya. Unjuran untuk bersikap adil ini telah dinyatakan secara jelas oleh Allah s.w.t di dalam kitabnya :

“jika kamu hendak menetapkan hukum diantara manusia, hendaklah kamu tetapkannya dengan adil”



Persoalan seterusnya, adakah kita, masyarakat biasa yang layak/ditugaskan untuk menjatuhkan dan menetapkan hukuman tersebut?

Dalam soal hukum menghukum ini, secara mudahnya diketahui adalah tugas bagi seorang hakim. Ini kerana, dalam soal keadilan perlu untuk didengari keterangan daripada kedua-dua pihak kerana dibimbangi berlaku kezaliman dan penindasan kepada pihak-pihak yang teraniaya.

Ada juga suatu keadaan dimana boleh rakyat menghukum, iaitu dimana hak mereka ditindas oleh pemerintah dengan cara menukar kerajaan tersebut melalui pemilihan umum atau lebih dikenal sebagai pilihanraya. Disitu rakyat berhak ‘menghukum’ suatu pemerintah dengan menjatuhkannya tanpa memilihnya untuk penggal seterusnya kerana tidak berpuas hati atas khidmatnya.

Namun, hal-hal yang lain, perlu diingat, bahawa soal lidah dalam berkata-kata ini adalah suatu perkara yang perlu diberatkan dalam setiap tindakan dan perbuatan. Ini kerana, hanya dengan kata-kata ia mampu untuk meruntuhkan maruah, memporak perandakan hubungan bersaudara, menzalimi orang-orang yang teraniaya dan sebagainya.

Maka, kita janganlah kita sewenangnya melafazkan kata-kata yang bersifat menuduh, berkata-kata dusta dan memfitnah seseorang tanpa sebarang asas yang kukuh jika sekiranya kita hanya memperolehi maklumat-maklumat hanya melalui media atau ‘lidah-lidah’ sosial semata-mata. Walhal, mungkin apa yang kita perolehi itu tidak semestinya benar. Justeru, dimanakah tempat yang benar untuk menentukan kebanaran tersebut?

‘SUDAH PASTI JAWAPANNYA ADALAH MAHKAMAH’

Oleh itu, jika sekiranya kita yang hanya membaca, menelaah, menyebar dan terus memburukkan seseorang, tambahan hal itu adalah merupakan suatu dakwaan terhadap seseorang yang MASIH BELUM DIBUKTIKAN…maka itulah yang dikatakan FITNAH…dan kita terus membiarkan saham dosa terus menerus bertambah disebabkan kita membiarkan fitnah itu berleluasa.



Demikianlah yang dikatakan kehebatan ‘lidah’ dalam berkata-kata. Perkara inilah yang harus menjadi titik pemberat bagi kita dalam melafazkan kata2, bersembang-sembang, meluahkan perasaan di media-media sosial dan blog serta apa-apa jua yang boleh menyebabkan seseorang itu terasa atau ‘sentap’ dengan kata-kata tersebut. Lebih baik diam daripada berkata-kata. 

Tuesday, 10 December 2013

Ulasan Isu keterangan kanak-kanak (belum baligh) dan keterangan saksi tohmah (ada kepentingan)

1)    Isu : Sama ada keterangan anak-anak belum baligh (sempurna akal)  itu adalah diterima

Anak- anak merupakan wasilah utama dalam perhubungan antara ibu dan ayah. Adalah menjadi suatu tanggungjawab buat anak-anak untuk berbuat baik kepada ibu dan ayah sebagaimana yang telah diwajibkan Allah s.w.t di dalam firmannya :

“Dan Tuhanmu memerintahkan agar kamu jangan menyembah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada orang tua. Dan jika salah satu daripada keduanya atau kedua-duanya berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu menyatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya. Dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “ Wahai Tuhanku, sayangilah mereka keduanya, sebagaimana keduanya menyayangi aku waktu kecil” .

(Al-Isra’ : 23 -24)

Namun, tuntutan memberikan keterangan itu tidaklah terlepas kepada seorang kanak-kanak dalam memberikan suatu keterangan terhadap suatu pertikaian.  Keperluan memberikan kesaksian dan keterangan oleh umat Islam itu adalah merupakan suatu tuntutan yang amat dituntut dalam Islam. Kepentingan keterangan ini telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam  beberapa buah hadis diantaranya:


عن أم سلمة قالت, قال رسول الله صلى اله عليه وسلم إنكم تختصمون إلى ولعل بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض. فأقضي له على نحو مما أسمع منه فمن قطعت له من حق أخيه شيئا فلا يأخذه. فإنما أقطع له به قطعة من النار.
Ertinya: Dari Ummi Salamah telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda ; kamu telah bertikai dihadapanku, mungkin ada diantara kamu yang lebih petah              berhujjah (memberi keterangan) dari yang lain, lalu aku menghukum berdasarkan dari apa yang aku dengar darinya. Sesiapa yang telah aku hukumkan (berikan) untuknya sesuatu dari hak saudaranya ( yang ia tidak berhak tetapi diperolehi lantaran hujjahnya yang petah) janganlah ia mengambilnya kerana dengan itu aku telah memotong untuknya sekeping api neraka. (Al-Imam al-Nawaai, Syarah Sahih Muslim,  Muassasah Qurtubah, Cairo, 1991: Jld. 12. Hlm. 7)



Sabda baginda lagi:


لو يعطي الناس بدعواهم لادعى رجال أموال قوم ودماءهم لكن البينة على المدعي واليمين علي من أنكر

Ertinya: Andainya semua orang boleh diberikan hukuman semata-mata kerana adanya  dakwaan pastilah semua orang akan membuat dakwaan terhadap harta dan  darah orang lain tetapi sebaliknya setiap dakwaan mestilah mendatangkan  keterangan dan yang engkar mestilah bersumpah. (Mustafa Abdul Rahman, Hadis 40 (terjemahan dan syarahnya), Dewan Putaka Fajar, 1992, hlm. 361.Lihat juga Dr. Wahbah Zuhaily, al-Fiqhu al-Islami Wa Adillathu, jld.6, hlm. 513.) 


Melalui hadis nabi dan syair diatas dapat kita fahami bahawa keterangan adalah asas terpenting dalam melaksanakan sesuatu hukuman. Oleh itu ia perlu tepat dan jelas, tanpa keterangan yang tepat dan benar sudah pasti keadilan tidak dapat ditegakkan. Lantaran itu syariat islam memberikan satu garis panduan yang ketat dalam menilai kesahihan sesuatu keterangan yang diberi seperti memperincikan kelayakan seseorang saksi yang layak dibawa kemahkamah.


Dalam soal memberikan penyaksian terhadap sesuatu perkara itu, apa yang ditekankan dalam memberikan kesaksian (syahadah) terhadap seseorang itu adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria yang telah ditetapkan dan digariskan oleh syara’ serta undang-undang.


Menurut Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Pulau Pinang, telah digariskan sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam seksyen 83 (4) iaitu seseorang yang belum mencapai akil baligh adalah kompeten untuk memberikan bayyinah sahaja tetapi tidak sampai keterangannya sehingga ke tahap syahadah.


Perkara ini adalah selari sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam kitab Nihayah Al-Muhtaj Al-Ramli (1938), Mesir: Mustafa al-Babi al-Halabi, halamah 277 yang membahaskan tentang syarat penerimaan saksi oleh As-Syafie adalah seorang yang telah mencapai akil baligh. Maka, Imam Nawawi menegaskan kesaksian seorang yang belum mencapai akil baligh adalah tidak diterima mengikut mazhab tersebut.


Begitu juga ditekankan dalam Akta Keterangan 1950 di bawah seksyen 133A yang merekodkan bahawa suatu keterangan daripada kanak-kanak itu boleh diterima sekiranya dia memahami tentang keterangan yang akan diberikan dalam erti kata yang sebenarnya mempunyai akal yang cukup bagi mewajarkan penerimaan keterangannya itu, dan dia faham tentang kewajipan bercakap benar. Maka, konsep ini adalah selari dan bertepatan dengan Islam yang menekankan supaya keterangan daripada seorang kanak-kanak yang telah mencapai akil baligh iaitu dapat menggunakan akalnya dengan baik.


Had umur baligh telah dibahaskan dikalangan para mazhab yang muktabar mengenainya. Para ulama’ tersebut telah berbeza pendapat. Menurut majoriti ulama Mazhab Syafi’i dan Hanbali seseorang dikatakan baligh apabila telah berusia 15 tahun, baik laki-laki atau perempuan. Menurut Imam Hanafi, usia baligh adalah 18 tahun bagi laki-laki dan 17 tahun bagi perempuan.


Perkara ini adalah selari dengan peruntukkan yang telah ditetapkan dalam pemakaian Akta Umur Dewasa 1971 di bawah seksyen 2 yang menetapkan umur dewasa bagi lelaki dan perempuan adalah 18 tahun. Meskipun tiada peruntukkan undang-undang yang jelas dalam Enakmen Keterangan tersebut, maka mahkamah boleh merujuk kepada hukum syarak dan mana-mana peruntukkan lain yang tidak bercanggah dengannya.


Hal ini telah diperuntukkan di bawah seksyen 130 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Pulau Pinang yang menyatakan

“Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Enakmen ini, Mahkamah hendaklah memakai Hukum Syarak.”


Ini bermakna, keterangan seseorang kanak-kanak yang belum akil baligh itu hanyalah diterima sebagai keterangan biasa sahaja, tidaklah berupaya menjadi keterangan utama kepada satu pertikaian antara pihak-pihak yang bertikai. Keterangannya haruslah disokong dengan keterangan-keterangan yang lain dan ia tidak boleh berdiri dengan sendirinya.


Terdapat satu kes rujukan yang boleh digunapakai oleh Mahkamah dalam menilai isu ini iaitu Chao Chong vs Pendakwa Raya [1960] MLJ 238 iaitu di dalam penghakiman kes ini, mahkamah telah merekodkan satu keterangan yang melibatkan keterangan daripada kanak-kanak dan di dalam kes ini Mahkamah Rayuan telah menyatakan keterangan kanak-kanak hendaklah diterima secara was-was kerana mereka mungkin tidak faham kesan mengambil sumpah dan juga kanak-kanak kadangkala susah atau tidak boleh membezakan antara fantasi dan kebenaran.

Begitu juga dengan kes Tham Kai Yau vs Pendakwa Raya[1977] 1 MLJ 174 dimana dalam kes ini juga adalah melibatkan keterangan kanak. Mahkamah Persekutuan berpendapat bahawa amaran secara rasmi tidak perlu diberikan kepada juri tentang bahaya mensabitkan seseorang tertuduh hanya dengan keterangan oleh seorang saksi kanak-kanak yang tidak disokong. Menurut Mahkamah Persekutuan lagi, apa yang perlu dilakukan oleh hakim adalah untuk memaklumkan kepada juri supaya keterangan oleh saksi kanak-kanak ini dikaji dengan teliti dan menjelaskan kemungkinan saksi kanak-kanak tersebut menokok tambah atau mereka-reka keterangannya.


2)    Sama ada keterangan saksi (tohmah) adalah diterima

Keperluan memberikan keterangan merupakan satu tuntutan yang amat dituntut terhadap umat Islam kepada pihak-pihak yang bertikai. Keterangan yang diberi adalah bertujuan untuk membantu hakim khususnya dalam memberikan pengadilan kepada dua pihak yang bertikai tentang satu perkara. Namun, dalam memenuhi tuntutan memberikan keterangan ini, perlu untuk dinilai dan diteliti terhadap beberapa perkara yang amat perlu ditekankan bagi memenuhi tuntutan tersebut. Antaranya yang paling penting adalah kriteria yang ditetapkan oleh syarak dalam memberi suatu keterangan itu adalah saksi tersebut tidaklah mempunyai tohmah. Al-Shirbini (1997), Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Ma`rifah, jil. 4, h. 569.

Terdapat satu hadis yang jelas daripada baginda Nabi Muhammad s.a.w yang menegah kepada penerimaan saksi yang ada tohmah. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim tersebut berbunyi :

لا تجوز شهادة لذي الظنة ولا ذي الحنة : والظنة التهمة والحنة العداوة
“Tidak boleh diterima keterangan saksi yang ada tohmah dan ada permusuhan”

Tiada tohmahan ini merupakan syarat yang ditekankan bahawa sesiapa sahaja yang memiliki tohmahan akan menyebabkan kesaksiannya ditolak. Ini kerana ia menimbulkan keraguan dan menjejaskan kebenaran kesaksian. Tohmah bermaksud ada kepentingan yang boleh dicapai atau ada kemudaratan yang boleh ditolak dengan kesaksian tersebut. Perkara ini boleh timbul akibat hubungan baik atau permusuhan.
Tohmahan boleh timbul antara lain daripada situasi berikut mengikut Al-Shafi`i(1968), Al-Umm, t.t, t.tp, Bab Al-Syahadat, jil. 7, h. 42
a. Imam al-Syafi‘i mengatakan tidak harus kesaksian bapa bagi anaknya, cucu dan seterusnya ke bawah.
Demikian juga tidak diterima kesaksian bagi bapanya. Imam al-Nawawi menyebut tidak diterima kesaksian anak-ibu bapa bagi faedah pihak masing -masing tetapi diterima jika menentang pihak-pihak tersebut. Imam al-Ramli menyebut penerimaan ini adalah kerana hubungan mereka biasanya baik dan tiada tohmah. Tetapi jika hubungan itu sudah tidak baik maka tidak diterima juga.
b. Kesaksian suami isteri adalah diterima. Mengikut Keterangan oleh seorang saksi lelaki yang adil mencukupi dalam hal melihat anak bulan. Keterangan seorang lelaki adalah mencukupi dalam kes-kes  seorang guru yang melibatkan murid sekolah, keterangan pakar dalam menilai barang rosak, keterangan mengenai penerimaan dan penolakan saksi, pemberitahuan mengenai pemecatan wakil serta keterangan tentang kecacatan dalam mana-mana barang jualan. Keterangan seorang perempuan adalah mencukupi untuk buktikan fakta yang biasanya dilihat oleh atau dalam pengetahuan seorang perempuan. Dalam kes mal, jika plaintif hanya berjaya kemukakan seorang saksi, maka keterangan saksi itu hanya boleh diterima jika disertakan dengan sumpah plaintif berkenaan. Selain daripada bilangan saksi di atas, keterangan hendaklah diberikan oleh dua orang saksi lelaki atau oleh seorang lelaki dan dua orang saksi perempuan.

Perkara ini telah ditetapkan dalam peruntukan di bawah Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Pulau Pinang) di bawah seksyen 83 (6), (7) dimana seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dan mempunyai kepentingan dengan pihak menentang adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberisyahadah bagi pihak itu dan seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruk dengan pihak menentang adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah. 


Maka, untuk menjadikan hujah ini lebih kompeten, suka saya merujuk kepada penghakiman di dalam kes Saharain Nordin lwn Noraidah Nordin [2008] 1 CLJ (Sya) iaitu kes yang berkaitan dengan pengesahan hibah dimana di dalam kes ini, pihak responden/pemohon telah mengemukakan saksi-saksi yang terdiri daripada adik-beradik  kepada responden sendiri dan merupakan orang berkepentingan dalam kes ini. Kes ini telah diterima rayuannya bagi dibicarakan semula oleh pihak perayu kerana keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi tersebut tidak disokong oleh mana-mana keterangan yang lain.
 

Begitu juga dengan kes Che Abdullah Che Kob lwn Wan Jarah Binti Wan Daud, dimana dalam kes ini pada muka surat 203 (perenggan akhir) dan 204 dan dalam penghakiman kes ini, Yang Arif Hakim telah menyatakan :

“ …Dakwaan-dakwaan seperti ini memerlukan sokongan daripada saksi-saksi atau apa-apa keterangan lain yang boleh diterima mengikut Hukum Syarak dan undang-undang dan adalah menjadi beban yang tertanggung ke atas yang mendakwa (Defendan) selaku Perayu dalam kes ini untuk membuktikannya bagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaki Nabi (s.a.w) bersabda :-


البينة على المدعي واليمين على من أنكر

Yang mana bermaksud –

“Orang yang mendakwa hendaklah membuktikannya dengan keterangan saksi (bayyinah) dan sumpah ke atas orang yang menafikannya.”

Perayu telah mengemukakan 4 orang saksi bagi menyokong dakwaanya. Saksi-saksi yang ditampilkan adalah terdiri daripada 3 orang saksi lelaki dan seorang saksi wanita.


Saksi pertama merupakan ayah kandung kepada Perayu sendiri. Mahkamah Bicara telah menolak keterangan daripada saksi ini kerana terdapat elemen tohmah dari sudut kedudukannya dalam memberikan kesaksian. Bahkan jika keterangan saksi ini diterima, taraf kesaksiannya adalah bayyinah dan bukan bertaraf syahadah.


Ini adalah kerana hubungan anak dan bapa adalah dianggap mempunyai hubungan baik dan ada tohmahan jika keterangan diberikan untuk faedah dan kebaikan pihak yang satu lagi, maka dengan sebab itu ia tidak memenuhi kehendak dan syarat syahadah.















-     Dapatan kajian daripada Khairul Fahmi bin Ramli, Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Undang-undang, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, KUIS -

Tuesday, 26 November 2013

Keutamaan kepada negara berbanding bangsa

Konsep : Dalam membentuk kearah sebuah negara yang maju dan berwawasan, agenda perpaduan merupakan perkara utama yang perlu dititikberatkan. Di Malaysia, terdapat campuran pelbagai etnik yang tinggal di bawah satu panji berteraskan kepada konsep perpaduan sejagat yang telah terbina sejak sekian lama.
Misalannya, Melayu 50%, Cina 30%, India 15% dan lain-lain bangsa sebanyak 5%. Maka, seperti yang diketahui, majority penduduk di Malaysia ini adalah datangnya daripada kaum Melayu dan kaum ini jugalah yang menjadi penduduk asal sejak sebelum kedatangan penjajah ke Tanah Melayu lagi. Namun, apabila kemasukan buruh-buruh cina melalui sistem kangchu dan kemasukan buruh-buruh India melalui sistem kangani yang dilakukan oleh British, maka tercetuslah percampuran budaya bangsa yang menjadikan uniknya ketamadunan yang terbentuk di Malaysia ini dengan agenda perpaduan yang telah dicorakkan pemimpin-pemimpin dahulu.
Maka, apabila wujud percampuran tersebut, pemerintah perlu mentadbir dan menguruskan hal ehwal negara ini dengan bijak dan seimbang dimana ia perlu mendahulukan kepada agenda kemajuan melalui perpaduan berbanding agenda untuk memenuhi setiap tuntutan yang dibuat oleh bangsa itu sendiri.

Rasional: Untuk capai kemajuan yang seimbang dengan keharmonian dan pembangunan lestari kepada negara, maka tuntutan dan kehendak sesebuah bangsa itu tidak perlu menjadi keutamaan kerana ia akan merencatkan agenda perpaduan, sekaligus ia akan menyebabkan kepada kemajuan terhadap negara itu tidak tercapai. Tambahan pula, kesan yang lebih teruk adalah perpaduan yang dibentuk sekian lama mungkin akan hancur musnah disebabkan terlalu mengikut kehendak sesuatu pihak.

Untuk lebih mudah memahami tentang keutamaan kepada negara ini, kita perlu rungkaikan secara mendalam dan mudah untuk difahami seperti begini:
1.      Kita akan lihat dan analisis apa yang akan terjadi sekiranya kita memberikan keutamaan kepada pembangunan negara berbanding mengutamakan sesebuah bangsa
2.      Kita akan menilai, apa akan terjadi sekiranya kita memberikan keutamaan kepada sesebuah bangsa berbanding kemajuan negara yang perlu dicapai.




1) Dari sudut politik
Berdasarkan kepada kontrak sosial yang telah dipersetujui sebelum terbinanya Perlembagaan Persekutuan, jelas menunjukkan keistimewaan yang perlu dihormati di dalam negara kita ini adalah keistimewaan yang telah diberikan dan dipersetujui kepada kaum Melayu yang menjadi kaum majority di negara ini. Kotrak sosial yang telah dibentuk sejak sekian lama ini menjadi teras yang perlu difahami dan tidak perlu dipertikaikan demi memelihara perpaduan negara untuk menuju kepada sebuah negara yang maju dan sejahtera.
Akan tetapi, timbul beberapa kes yang melibatkan kepada pertikaian kontrak sosial tersebut demi memenuhi kehendak sesebuah bangsa itu sendiri. Misalannya adalah kes 83 tuntutan Suqiu, pertubuhan orang-orang cina yang salah satu daripadanya menuntut supaya jawatan Perdana Menteri diberikan kepada orang bukan Melayu. Meskipun dalam hal ini, Perlembagaan Persekutuan tidak mensyaratkan supaya hanya orang Melayu sahaja yang menjadi Perdana Menteri, akan tetapi perkara ini perlu difahami dan dihormati oleh kaum bukan Melayu di negara kita ini. Ini kerana, kontrak sosial telah dipersetujui untuk memberikan hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan juga melihatkan kepada majoriti penduduk yang ada di dalam negara kita ini adalah daripada rumpun Melayu.
Maka, seharusnya hal sebegini tidak perlu dipertikaikan kerana ia akan menyebabkan kepada terjadinya bantahan dan pergolakan antara kaum khususnya diantara kaum Melayu dan Cina. Sudah semestinya kita tidak mahu perkara seperti peristiwa 13 Mei 1969 berulang kembali. Sebaiknya, kaum bukan Melayu lebih memahami dan menghormati kontrak sosial tersebut berbanding hendak menuntut dan mendahulukan kehendak bangsa tersebut sahaja kerana ia akan menyebabkan kesan yang buruk akan berlaku.
Impaknya, kita dapat lihat hingga ke hari ini, bibit ketidaksepaduan antara kaum Melayu dan Cina seakan terjadi apabila muncul pertubuhan-pertubuhan yang terlalu meniupkan api perkauman di dalam negara sebagai tanda melawan arus bertentangan dari pihak yang tidak sebulu dengannya. Contohnya seperti PERKASA (Pertubuhan Pribumi Perkasa) dimana Presidennya Datuk Ibrahim Ali pernah mengungkapkan bahawa kaum Cina adalah pendatang yang tidak mengenang budi orang melayu. Kenyataan sebegini sememangnya boleh mengakibatkan ketidakpuas hatian kaum cina terhadap Melayu sekaligus menybebakan agenda perpaduan sukar dibentuk.



2) Dari sudut ekonomi
Seperti yang sedia maklum, dasar ekonomi baru yang telah diperkenalkan sejak awal kemerdekaan adalah bertujuan untuk memperkasakan ekonomi negara disamping meningkatkan status ekonomi kaum bumiputera. Di dalam dasar ini, hak ekuiti 30% untuk kaum bumiputera ini merupakan satu perkara yang menjadi teras kepada dasar ekonomi baru tersebut. Namun, ini tidak bermakna tiada unjuran positif kepada pertumbuhan ekonomi bangsa-bangsa lain. Pengaplikasian dasar tersebut telah menybabkan pengusaan kepada orang cina sebanyak 42%, Melayu 28% dan India 22%.
Ini bermakna kaum cina tidak pun tertindas dalam menguasai ekonomi negara apabila semua bangsa menghormati dalam pelaksanaan dasar ekonomi baru ini. Maka, apabila keutamaan kepada negara itu diberikan oleh masyarakat Malaysia dalam pelaksanaan sistem ekonomi tersebut, akhirnya keadaan ekonomi negara semakin stabil berbanding dominasi ekonomi kaum cina sejak penjajahan British ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
Namun, wujud satu tuntutan yang sama iaitu tuntutan suqiu yang mahu keutamaan diberikan kepada bangsa lalu mengenepikan keutamaan kepada negara, dimana salah satu daripada 83 tuntutan tersebut meminta kepada kerajaan agar menghapuskan ekuiti 30% kepada bumiputera dan seterusnya mengagihkan sama rata kepada semua bangsa. Sememangnya jika difikirkan secara logic, memang ada baiknya, namun harus diingat dan ditekankan disini iaitu kotrak sosial yang dipersetujui oleh nenek moyang kita tentang keistimewaan kepada kaum bumiputera menjadi satu agenda utama negara. Jika perkara ini dipertikaikan, perpaduan yang menjadi teras kepada kestabilan ekonomi tersebut mungkin terjejas disebabkan berlakunya perpecahan yang tidak kita inginkan.










3) Dari sudut sosial
Pengkhususan diberikan kepada aspek pendidikan sahaja. Sebagaimana yang telah diketahui, keutamaan yang paling utama perlu diberikan oleh masyarakat Malaysia adalah mengutamakan perpaduan. Dalam hal ini, perpaduan hanya akan dapat dibentuk dengan jitu jika sekiranya agenda sekolah kebangsaan ini menjadi satu keutamaan oleh semua bangsa demi membentuk perpaduan yang sebenar. Ini bermakna, semua bangsa iaitu Melayu, Cina, India dan lain-lain duduk serumpun dalam satu bumbung untuk belajar dan menimba ilmu bersama sekaligus membentuk perpaduan yang diinginkan oleh negara.
Perihal mengenai sekolah kebangsaan ini sememangnya perlukan kepada pengorbanan kaum lain khususnya kaum cina dan India yang masih mendokong kepada pelaksanaan sekolah vernakular sehingga bermati-matian berjuang untuk mempertahankan sekolah tersebut daripada dimansuhkan dan bernaung di bawah satu sekolah wawasan yang menggabungkan kesemua bangsa di dalam negara ini. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah demi membentuk perpaduan yang sebenar melalui sistem pendidikan nasional.
Namun, hingga ke akhir ini, isu mengenai sekolah vernakular ini tidak dapat diselesaikan sebaliknya ia akan menjadi satu polemik perpaduan yang mampu diganggu gugat disebabkan kita terlalu mementingkan keutamaan kepada bangsa itu sendiri berbanding kita mengutamakan perpaduan negara yang amat perlu demi mencapai kemajuan yang kita inginkan.




Hak cipta terpelihara….
Sudut pandang budak kaca mata…..



…………………………………

(Khairul Fahmi Bin Ramli)

Sunday, 30 June 2013

Sudut pandang isu lahad datu menurut prinsip Maqasid Syariah...idea dan penulisan yang masih lemah dgn ilmu,sekadar pandangan

Isu Lahad Datu menurut prinsip Maqasid Syariah dan Siasah Syariah
Isu mengenai pencerobohan ke atas Lahad Datu, Sabah baru-baru ini menjadi satu titik hitam yang melihatkan satu sejarah pahit terukir di dalam negara kita. Isu ini bukanlah satu isu yang boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan pertaruhan nyawa dan juga maruah negara di mata dunia. Di dada-dada akhbar mahupun dicorong radio apatah lagi televisyen sering mengkhabarkan mengenai isu yang telah berlaku tersebut sehinggakan mendapat satu kupasan yang secara langsung mahupun tidak oleh setiap masyarakat di negara kita. Namun, dalam kesibukan masyarakat mendoakan kepada para mujahid tersebut, perlu dihuraikan dengan lebih jelas terhadap beberapa perkara yang menjadi persoalan terhadap isu tersebut.
Pertamanya, dalam kita membicarakan mengenai isu pencerobohan di Lahad Datu tersebut perlu untuk kita mengetahui siapakah sebenarnya kaum sulu itu?adakah benar mereka ini merupakan satu kaum yang telah membentuk satu kerajaan yang berdaulat suatu ketika dahulu? Mengikut kajian sejarah yang telah dilakukan oleh beberapa pakar sejarah negara mendapati, memang wujud kaum sulu yang telah menjadi sebahagian besar penduduk sebelah selatan Filipina hinggalah ke kawasan timur Sabah suatu ketika dahulu dimana telah wujud satu kerajaan yang berdaulat dinamakan sebagai Kerajaan Sulu yang telah menguasai kawasan-kawasan yang diduduki tersebut. Namun, sejarah penguasaan ini akhirnya telah berubah setelah munculnya zaman penjajahan sebagaimana yang terjadi di kawasan-kawasan Asia Tenggara melainkan Thailand. Misalnya, Tanah Melayu pada ketika itu telah dikuasai oleh Inggeris, di Indonesia pula dikuasai oleh Belanda, manakala di Filipina dijajah oleh Sepanyol, dan bagi kepulauan Borneo pula telah dikuasai dan diterajui oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) bagi seluruh negara Sabah dan Raja Brooke bagi seluruh negeri Sarawak. Namun, SHTI serta Keluarga Brooke tersebut secara amnya membantu penjajahan Inggeris dimana akhirnya mereka menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Inggeris.
Disebabkan berlakunya penjajahan ini, maka berlakulah sedikit demi sedikit penghapusan terhadap sistem politik pemerintahan beraja yang telah diamalkan oleh setiap kerajaan-kerajaan lama pada ketika itu. Hal ini samalah jua keadaannya yang terjadi pada pemerintahan kerajaan Melayu Melaka yang suatu ketika dahulu amat luas daerah pemerintahannya. Namun, hingga hari ini tiada lagi dinamakan kesultanan Melaka yang mana akhirnya ia hanya tinggal sejarah semata-mata. Begitu jugalah halnya yang terjadi kepada kesultanan Sulu yang mana hari ini hanya tinggal sebagai suatu etnik yang menetap di Sabah dan selatan Filipina. Namun, kerajaan Filipina sendiri tidak mengiktiraf kerajaan tersebut.
Maka, apa yang telah diperjuangkan oleh kaum sulu ini adalah mengenai tuntutan mereka terhadap hak kesultanan mereka yang hanya tinggal sejarah kerana didapati kerajaan Filipina yang pada ketika ini pun hanya menggagap kaum sulu ini bukanlah daripada bangsa yang menetap di negara tersebut. Jika difikirkan secara munasabah sememangnya kita mendapati bahawasanya kaum ini seperti kaum yang terbuang dan tertindas dengan keadaan yang telah mengubah landskap sejarahnya.
Maka, dalam menilai mengenai perkara ini, persoalannya adakah hak yang ditindas ini bersesuaian dengan prinsip maqasid syariah itu sendiri? Secara asasnya prinsip daruriyat yang perlu dipelihara oleh adalah agama,nyawa,keturunan, akal dan harta. Sesetangah daripada pendapat fuqaha, maruah juga adalah daripada daruriyat iaitu sesuatu yang amat perlu dipelihara. Justeru, amat jelas hal yang perlu dirungkai dalam kes lahad datu ini adalah mengenai keturunan atau maruah tersebut. Namun, adakah disebabkan hal penindasan prinsip maqasid tersebut terhadap kaum sulu ini, menjadikan mereka mendapat satu kebenaran untuk melakukan pertumpahan darah dengan melakukan pemberontakan. Jika dinilai dalam Fiqh Jenayah itu sendiri, hal sebegini boleh dsisifatkan sebagai satu jenayah hudud yang amat berat kerana menentang pemimpin dengan melakukan pertuduhan bahawa hak mereka tersebut telah ditindas dan berlakunya kezaliman kepada kaum tersebut. Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 18 “ Ketahuilah, kutukan Allah (ditimpakan) keatas orang-orang yang zalim”. Ayat ini secara jelas memberikan amaran supaya kita tidak melakukan kezaliman. Namun, persoalannnya adakah kesalahan yang terdahulu yang tidak dilakukan oleh pemimpin masa kini, boleh disabitkan bahawa hak kaum itu ditindas disebabkan perbuatannya? Jika difikirkan secara logik, adalah mustahil dan tidak boleh sama sekali kita sabitkan kesalahan lampau terhadap perkara yang berlaku pada masa kini.
Persoalan seterusnya mengenai isu ini adalah mengenai adakah dibenarkan oleh kaum sulu ini untuk keluar menuntut hak yang telah ditindas bagi sekian lama ini secara mengangkat senjata dan melakukan pemberontakan dengan membunuh orang-orang yang tidak berdosa dalam hal ini. Meskipun dalam konsep amar makruf dan nahi munkar ini merupakan satu konsep yang jelas untuk membenarkan kemungkaran itu ditegah oleh sesiapa sahaja. Namun, bagaimanakah tahap-tahap merubah kemungkaran itu menurut siyasah syariah? Sebahagian pendapat mengatakan bahawa hak untuk merubah kemungkaran adalah milik pemerintah sahaja. Maka, secara tidak langsung ia adalah menjadi tanggungjawab negara sahaja dan bukan kewajipan seorang individu kerana dikhuatiri akan berlaku kekecohan. Bagi sesetengah pendapat pula mengatakan ia adalah menjadi tanggungjawab individu itu mengikut hadis sahih ini:
“Sesiapa yang melihat satu kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya(kuasa). Jika ia tidak mampu maka dengan lidahnya. Dan jika tidak mampu dengan membenci melalui hatinya. Itulah selemah-lemah iman.”            (Riwayat Muslim)
Berdasarkan kepada hadis ini dapat disimpulkan daripada pandangan fuqaha’  ini bahawa sebenarnya ia adalah menjadi tanggungjawab sesiapa sahaja yang melihat kepada kemungkaran yang berlaku tersebut. Namun, ia perlu berlandaskan kepada beberapa syarat iaitu salah satu daripadanya iaitu kemungkaran dilakukan secara terang-terangan . Di dalam hal ini, setelah dikaji dan dianalisis dengan teilit, tiada sebab yang munasabah untuk mensabitkan bahawa kes pencerobohan bagi menegakkan hak itu sebagai tanda penentangan terhadap perkara munkar yang telah dilakukan oleh pemerintah negara. Walhal sekali lagi dijelaskan bahawa, keadaan yang menyebabkan kaum sulu tersebut ibarat tergantung dilangit tak bertali adalah disebabkan perubahan sejarah yang menyebabkan kaum mereka ditindas bermula dengan sejarah penjajahan di Asia Tenggara ini. Disebabkan itu, tindakan pemerintah sulu untuk melakukan pemberontakan dan memerangi Malaysia bukanlah satu perkara yang betul bahkan ia adalah sama sekali bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri. Menurut prinsip Siasah Syariah yang lebih baik dan jelas mengenai hal ini adalah melalui musyawarah yang boleh dilakukan oleh pemimpin kaum Sulu itu dengan ketua negara bagi menyelesaikan suatu masalah dengan lebih baik tanpa melibatkan pertumpahan darah berlaku di Lahad Datu tersebut. Firman Allah dalam surah Al-Imran  ayat 159 :
öÏÿøótGó$#ur öNçlm; öNèdöÍr$x©ur Îû ͐öDF{$# ( #sŒÎ*sù |MøBztã ö@©.uqtGsù n?tã «!$# 4 ¨bÎ) ©!$# =Ïtä tû,Î#Ïj.uqtGßJø9$# ÇÊÎÒÈ

, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu Telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...