Friday, 2 August 2019

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’

Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwin dengan sorang perempuan ni, tapi saya pi pejabat agama, depa tak bagi saya nikah. Depa suruh saya pi Mahkamah. Pasai pa pulak ni Tuan?”

Ni mesti cik tak habis eddah lagi ni, betul tak? Muka dia kerut penuh soal, betul ke tak peguam ni. Takkan la laki ada eddah. Nak tunggu berapa lama pulak. Mesti ramai yang hari ni baru tahu, sebenarnya lelaki juga ada tempoh eddahnya sebelum dia berkahwin dengan seseorang perempuan.

👉🏻 Mengikut kitab Al-Mu’tamad dalam Fiqh Mazhab Syafie (rujukan saya dan yang paling muktabar) ‘iddah adalah tempoh wanita menahan diri bagi mengetahui kekosongan rahimnya atau untuk beribadah. Ia juga bermaksud menahan diri dan bernikah setelah diceraikan suami mereka.

👉🏻 Ia adalah sesuatu ketetapan yang telah diwajibkan mengikut dalil yang sangat bertepatan dengan syarak sama ada daripada dalil ayat-ayat al-quran, hadis nabi dan juga ijmak ulamak muktabar.

👉🏻 Eddah untuk suami ini sebenarnya tidak ada di dalam syarak sebabnya mana-mana lelaki yang bercerai sama ada rajie atau bain, boleh menikahi mana-mana perempuan SELAGI tiada halangan Syarak. Jika ada halangan, itulah yang dikatakan lelaki juga mempunyai tempoh ‘bereddah’ iaitu menahan sebentar sebelum berkahwin dengan wanita lain.

Antara halangan tersebut adalah :

✅ Apabila seseorang lelaki yang telah menceraikan salah seorang daripada isterinya yang empat dan ingin berkahwin dengan isteri yang kelima. Dalam hal ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh ’iddah isterinya yang diceraikan tersebut.

✅ Seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talaq tiga. Dalam keadaan ini, sekiranya lelaki tersebut ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka beliau hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suaminya yang baru, bercerai dan tamat ’iddah dengan suami yang baru dikahwininya tersebut.

✅ Apabila seseorang lelaki yang telahpun bercerai dengan isterinya dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada bekas isteri, ibu saudara kepada bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain. Dalam situasi ini, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh ’iddah isterinya berakhir terlebih dahulu

👉🏻 Eddah bagi lelaki ini selain bertujuan halangan mengikut syarak tersebut, sebenarnya bertujuan untuk memelihara hak isteri yang baru diceraikan secara talak rajie juga. Sebab itu, sekiranya seorang suami ingin berkahwin dengan wanita lain sedangkan tempoh eddah isterinya belum berakhir, suami tersebut perlu membuat Permohonan Poligami di Mahkamah Tinggi Syariah. 

👉🏻 Ini kerana suami tersebut masih boleh merujuk kembali isteri yang diceraikan dan mungkin suami boleh ambil kesempatan untuk berpoligami sekiranya dibenarkannya untuk berkahwin dengan wanita lain semasa eddah isterinya.

Orait, boleh faham ke sekarang. Siapa yang rasa ini ilmu baru yang dia tahu? Cuba tag dan kongsikan pada rakan-rakan anda dengan tekan butang share sekarang. Paling tidak pun, sampaikan peringatan ini pada rakan lelaki yang baru bercerai. 

Jangan Kalut Sangat Nak Menikah, Sabaq Sat
Fahmi Ramli

Monday, 29 July 2019

Artis Putus Tunang

Viral seorang artis terkenal yang putus pertunangannya juga dengan seorang artis. Siapa-siapa pun kalau bertunang tak mahu hal ini terjadi. Lebih perit pulak pertunangan yang diputuskan ini ada isu yang besar sehingga melibatkan pihak polis.

Saya tak mahu ulas tentang isu yang timbul antara artis tersebut. Biarkan pihak polis lakukan tugas mereka. Cuma, ada soalan daripada netizen, Aisyah tu tak boleh tuntut apa-apa ke di Mahkamah Syariah? Insya allah saya akan ulaskan sedikit supaya menjadi panduan semua.

✳️ Boleh Ke Tuntut Gantirugi di Mahkamah Syariah?

- Pertunangan adalah suatu perjanjian sama ada secara bertulis atau perjanjian mulut untuk berkahwin. Pada ketika bertunang, haram untuk orang lain mengikat pertunangan dengan perempuan itu. Dalam undang-undang Keluarga Islam setiap negeri ada diperuntukkan tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah untuk  mendengar dan memutuskan tuntutan Gantirugi Perkahwinan.

- Mana-mana pihak yang mungkir janji untuk berkahwin itu, adalah bertanggungjawab untuk pulangkan :

   1)            Pemberian pertunangan (jika ada)
  2)            Memulangkan nilainya
  3)         Membayar apa-apa wang yang telah    dibelanjakan oleh satu pihak dengan suci hati untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu.

-   Jadi, dalam kes ni, pihak yang diputuskan pertunangan boleh membuat tuntutan gantirugi yang dia telah tanggung untuk membuat sebarang persediaan kearah perkahwinan tersebut. Ini termasuk dengan persiapan yang dilakukan bagi Majlis Pertunangan.

✳️ Boleh ke Tuntut Saman Malu?

-    Tidak boleh. Di dalam Mahkamah Syariah, hanya gantirugi perkahwinan yang berbentuk perbelanjaan kearah persediaan untuk Majlis Perkahwinan sahaja boleh dituntut. 

- Jika tuntutan itu bersifat gantirugi am kerana keaiban/malu, tohmahan masyarakat, penderitaan, tekanan jiwa dan perasaan, ia boleh dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil (Tuntutan Sivil). 

- Ini berdasarkan kepada kes Salbiah Bt Othman vs Haji Ahmad B Abdul Ghani (JHXXI/I 1427H) yang mana Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah menolak tuntutan Gantirugi Keaiban berjumlah RM200,000.00 yang dituntut oleh pihak Plaintif.

✳️ Apa Yang Aisyah Boleh Tuntut di Mahkamah Syariah? 

-  Di dalam kes Aisyah ni, dia boleh membuat tuntutan :

i) Belanja kenduri kecil-kecilan semasa hari pertunangan seperti jamuan makan dan khemah-khemah luar rumah

ii) Baju pengantin yang telah dibayar penuh olehnya termasuk dengan make up kepada butik

iii) Bayaran duit catering

iv) Kad-kad jemputan

v) Pengubahsuaian rumah (bilik tidur, bilik air, cat rumah dll)

vi) Pembelian katil pengantin

vii) Tempahan langsir dan cadar

viii) Deposit photographer

Ok, faham kan apa yang boleh dituntut untuk gantirugi putus tunang. Pertunangan bukan hal yang boleh dibuat main-main. Ia dah melibatkan dengan perundangan serta hukum syarak. Jadi, pihak yang memutuskan pertunangan perlu bertanggungjawab atas pemutusan pertunangan tersebut melainkan pihak satu lagi tu redha. 

Moga kita semua dilindungi dengan rahmat Allah. Tapi kalau dah tiada jodoh, mungkin ada hikmah disebalik insiden ni. Ada hikmah juga bila tahu sesuatu sebelum berkahwin, kan? Follow dan Like Fahmi Ramli untuk terus mendapat info perundangan syariah.

Berani Putus Berani Tanggung
Fahmi Ramli

Sunday, 28 July 2019

Isteri Lari Dari Rumah

Isteri Lari Dari Rumah, Nusyuz Ke ?
=========================

Banyak situasi yang mungkin pernah berlaku kepada anda atau rakan-rakan anda ataupun mungkin kepada saudara-mara kita yang terpaksa lari dari rumah meninggalkan suaminya. Saya percaya, kita biasa dengar situasi ini banyak sangat dan masing-masing ada cerita tersendiri.

Banyak persoalan yang diajukan kepada saya berkaitan dengan isu lari dari rumah ini “Adakah isteri nusyuz sebab lari dari rumah?”. 
Dan saya terpanggil untuk kongsikan dan ulas persoalan ini dengan lebih mudah untuk difahamkan berdasarkan undang-undang, hukum syarak serta pengalaman saya sendiri kendalikan kes di Mahkamah Syariah.

✳️Apa itu Nusyuz?

Apabila seseorang wanita telah diijab Kabulkan dengan pasangannya, maka dia telah menjadi milik sah kepada lelaki tersebut. Akan terletak segala tanggungjawabnya kepada suaminya. Dan isteri tersebut mestilah TAAT kepada suaminya. Inilah hak suaminya. Manakala hak isteri tersebut adalah hak untuk mendapat nafkah merangkumi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Jika isteri tidak mentaati kehendak suami sedangkan suami telah menyediakan segala keperluan isteri, maka, itulah yang dikatakan sebagai nusyuz.

.
✳️Apa peruntukan Undang-undang Keluarga Islam tentang Nusyuz?

Sebenarnya tidak ada peruntukan/seksyen khusus mengenai Nusyuz, namun, ia terletak di dalam Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008 iaitu seorang isteri tidak berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya. 

Begitu juga di dalam peruntukan yang sama Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004, menyatakan hal yang sama.
.
✳️Apa contoh-contoh tindakan Nusyuz?

-Sengaja menjauhkan diri daripada suami
-Meninggalkan rumah suami bertentangan dengan kemahuan suaminya.
-Enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak
-Memukul suaminya
-Dan lain-lain.
.
✳️Siapa yang boleh sabitkan Nusyuz pada seseorang isteri?

Hanya Hakim Mahkamah Syariah SAHAJA yang berhak untuk mensabitkan bahawa seseorang isteri tersebut Nusyuz. Pihak lain tidak boleh dan tidak ada kuasa hatta suami sendiri. Ada yang dengan mudah mengatakan Tok Imam Masjid cakap isteri saya nusyuz, Tok Guru Pondok cakap isteri dah nusyuz dan lain-lain pihak yang belajar tentang agama. Mungkin pandangan agamanya betul, tapi hakikatnya, hanya Hakim yang berhak dan boleh sabit Nusyuz sebab ia perlu dibicarakan dahulu sebelum isyitihar seseorang wanita itu Nusyuz.

✳️Macam mana nak sabit Nusyuz?

Di dalam Syarak, telah digariskan, jika seseorang isteri tersebut ingkar arahan sah suaminya:
 
1) Nasihati isteri tersebut dengan baik, jika enggan patuh,
 
2) Pisahkan tempat tidur, jika enggan juga patuh,

3) Pukul dengan pukulan yang tidak menyakitkan, macam pukul dengan hujung bantal, kata sesetengah ulama’.

Dari sudut Undang-undang (tak ada garis panduan tepat namun, ini pandangan berdasarkan penulisan undang-undang dan pengalaman saya kendalikan kes) , caranya adalah :

4) Menghantar satu notis kembali taat kepada isteri, perlu melalui notis guaman yang sah.

5) Buat Permohonan Kembali Taat kepada Mahkamah dengan memerintahkan supaya isteri kembali taat dalam tempoh tertentu dan kemudian mohon disabitkan Nusyuz sekiranya tetap enggan kembali taat.
.
✳️Apa kesan Nusyuz?

Hak isteri untuk terima nafkah akan GUGUR kalau dia NUSYUZ. Itu sahaja. Ada beberapa keadaan nusyuz yang berat boleh mendatangkan kesan yang pada kes-kes lain seperti mutaah contohnya. Kadar mutaah mungkin akan berkurangan jika Mahkamah dapati bahawa isteri tersebut telah disabitkan nusyuz semasa tempoh perkahwinan.

Ia hanya akan menggugurkan nafkah diri yang berhak terhadap dirinya. Ia juga akan datangkan kesan tidak mendapat Nafkah eddah sekiranya berlaku perceraian. Namun, bagi tuntutan yang lain, Nusyuz tidak sesekali menggagalkan hak isteri yang lain selepas cerai. Contohnya, Harta Sepencarian.

✳️ Bagaimana nak hilangkan title nusyuz?

Nusyuz hanya boleh gugur sekiranya isteri tersebut bertaubat dan kembali taat pada suaminya sahaja. Maksudnya, jika isteri tersebut lari meninggalkan rumah, dia hanya perlu balik sahaja ke rumah tersebut jika tiada apa-apa alasan yang menghalang untuk isteri pulang ke rumah.

✳️ Apa keadaan yang membolehkan isteri lari keluar daripada rumah suaminya?

Di dalam syarak ada digariskan beberapa keadaan isteri boleh bertindak keluar daripada rumah kelaminnya iaitu :

- jika terdapat ancaman yang nyata terhadap dirinya oleh suami, contohnya isteri dipukul dengan teruk, isteri boleh keluar dari rumah ke balai polis untuk buat laporan dan ke hospital untuk buat pemeriksaan.

- jika terdapat ugutan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri, contohnya suami mengacu pisau untuk menikam isteri dan ugut bunuh atau apa-apa bentuk ancaman yang mungkin boleh berlaku. Boleh keluar selamatkan diri dan segera ke balai polis untuk laporkan jika ada ancaman.

- jika terdapat bahaya yang mungkin berlaku keatas dirinya. Contohnya rumah nak terbakar atau rumah sentiasa didatangi Ah Long yang datang menuntut hutang suami contohnya.

- jika hendak datang ke Mahkamah Syariah atau Pejabat Agama untuk membuat pengaduan tentang isu rumahtangga atau melalui proses perbicaraan yang diwajibkan hadir.

- jika hendak keluar bekerja mencari nafkah diri disebabkan suami gagal beri nafkah atau tidak cukup nafkah bagi dirinya.

- apa-apa perkara lain yang difikirkan boleh mendatangkan mudharat kepada tubuh badan dan jiwa isteri tersebut.

Ada banyak keadaan dan situasi yang sukar untuk tentukan seorang isteri itu patut atau tidak lari daripada rumah kelaminnya. Banyak keadaan yang berlaku adalah isteri tidak pulang ke rumah dan tinggal bersama ibu bapanya sebab hanya terasa hati atau merajuk sahaja dengan suami. Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan ia boleh membawa kepada nusyuz. 

Tapi, kalau betul isteri mengalami tekanan perasaan di dalam rumahtangga, jumpa lah dengan Juru Kaunseling di Pejabat Agama dan buat pertemuan dengan Pakar Psikatri di Hospital Kerajaan bagi mendapatkan nasihat dan rawatan. Wallahualam.

Terus follow dan like Fahmi Ramli untuk mendapat lebih informasi berkaitan isu rumahtangga Islam di Mahkamah Syariah. Tekan share sekarang untuk kita bantu beri info ini pada kawan-kawan yang alami situasi ini.

Lari Dari Masalah Takkan Ada Penyelesaian
Fahmi Ramli

Tuesday, 16 July 2019

Eddah Rajie dan Pantang Larangnya

PANTANG LARANG SEMASA EDDAH RAJIE 

Saya ada terbaca satu portal yang bagitau Netizen mengecam seorang usahawan yang baru bercerai dengan suaminya gara-gara upload gambar di IG dia keluar dengan anaknya dalam keadaan happy dan bersolek cantik-cantik. 

Jujurnya saya menganggap mengecam bukan budaya baik sebagai orang Islam. Mungkin ramai dikalangan kita yang tidak tahu tentang beza eddah cerai hidup dan cerai mati. Dan apa perlu dibuat kalau seseorang itu dalam tempoh eddah. 

Ada yang juga yang tak tahu, tempoh eddah. Lagi teruk, tak tahu Eddah itu benda apa. Yang ini memang kena diterangkan. Meh saya nak sharekan pada anda semua sikit tentang Eddah dan apa yang perlu dibuat oleh isteri yang diceraikan.

✅ Iddah dari segi bahasa maksudnya bilangan atau hitungan. Dari segi syarak pula maksudnya, tempoh yang ditentukan oleh syarak terhadap seorang wanita untuk menunggu bagi mengetahui kebersihan rahimnya.

✅ Eddah Cerai Talak Rajie

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 228 :

“Dan isteri2 merujuk kepada ayat Al-Quran di atas tempoh iddah bagi wanita yang diceraikan sama ada percaraiannya secara lafaz talak atau fasakh ialah tiga kali suci daripada haid.”

❤️Jadi berdasarkan daripada dalil diatas, jelas menunjukkan tempoh iddah 3 kali suci slps diceraikan secara talak atau fasakh. Jika ditalaq semasa dalam keadaan suci, eddahnya tamat apabila datang haid yang ketiga.

❤️Jika talaq tersebut berlaku ketika isteri sedang haid/tak suci, eddahnya tamat apabila datang haid yang keempat.

❤️ Jika talaq tersebut berlaku ketika isteri dalam keadaan nifas, isteri kena tunggu sampai 3 kali suci selepas nifas. Iddah tersebut akan tamat apabila datang haid yang keempat.

✅ Eddah Cerai Ketika Hamil

Tempoh eddah bagi seorang wanita yang hamil sama ada dengan sebab kematian suami atau diceraikan suami ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandung. Ini adalah berdasarkan ayat quran di dalam surah At-Talaq yang bermaksud :

“ Dan perempuan2 yang mengandung, tempoh eddahnya ialah sehingga dia melahirkan anak yang dikandungnya.”

❤️ Jadi, kalau berlaku lafaz cerai dalam tempoh mengandung, walaupun tempoh masa untuk bersalin telah singkat, maka bekas isteri dibenarkan untuk berkahwin selepas daripada bersalin anak tersebut.
.

✅ Eddah Diceraikan Sebelum Disetubuhi

❤️ Tiada Eddah
.

✅ Eddah Bagi Perempuan yang ISTIHADAH

❤️ Istihadah ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap seperti sehari-dua dalam sebulan.

❤️ Jika sekiranya haid tersebut tidak menentu, tapi masih dapat tahu kebiasaan perjalanan darah haidnya, maka eddahnya adalah selama 3 kali suci.

❤️ Jika sekiranya haid tidak menentu dan tidak tahu kebiasaan perjalanan darah haidnya ATAU tidak dapat bezakan antara darah haid dan ISTIHADAH, maka eddahnya adalah selama 3 bulan.

✅ Eddah Bagi Perempuan Tiada Haid

❤️ Jika seorang perempuan itu diceraikan  dalam keadaan tiada haid, sama ada ia disebabkan penyakit, telah dibuang rahim, putus haid, belum pernah haid, atau lain2 perkara maka tempoh eddahnya adalah selama 3 bulan.
.
👉🏻 Jadi, apa pantang larang isteri semasa bereddah talak rajie? 

❤️ Haram terima pinangan lelaki ajnabi (laki lain). Kalau pinangan pun dah haram, couple ke skandal ke lagi la haram.

❤️ Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Bertunang pun tak boleh, apatah lagi berkahwin.

❤️ Tak boleh keluar rumah melainkan dengan izin suami. Walaupun dah sah cerai, tapi, dalam eddah belum putus habis lagi yer. Masih ada lagi ikatan cuma kalau nak bersetubuh kena la ada lafaz rujuk.

❤️ Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan kebiasaan pasangan itu tinggal bersama. Suami tak boleh halau sebab suami masih bertanggungan untuk sediakan nafkah eddah. Tapi, kalau ada perkara yang merbahaya boleh berlaku dan ancam keselamatan isteri, boleh la keluar.

❤️ TIDAK BOLEH berkabung bahkan digalakkan untuk bersolek dan berhias kepada SUAMINYA sebagai dorongan untuk bangkitkan keinginannya rujuk semula. 
.
Ok, so far u all dapatkan apa yang saya kongsikan ini. Tak payah la kecam-kecam. Kita semua masih banyak yang jahil dalam bab agama termasuk la dengan saya.

Mungkin usahawan tersebut tidak tahu dan mungkin juga yang dia alasan tertentu yang hanya Allah sahaja yang tahu. Time macam ni, kita kena la support sesama Islam ok.  Sama-sama kita belajar dan menegur dengan hikmah sebab itulah pendidikan yang lebih bermanfaat. Wallahualam. 
.
Follow saya Fahmi Ramli dan teruskan untuk dapat lebih info tentang isu perundangan syariah.

Eddah waktu bermuhasabah.
Fahmi Ramli

Wednesday, 10 July 2019

Fasakh Kerana Nafkah

TIGA TAHUN GANTUNG TAK BERTALI, AKHIRNYA PUTUS JUGA

Saya pasti ramai wanita diluar sana yang pada ketika ini sedang digantung tak bertali. Langit pun tak, bumi pun tak. Feel sengsara dalam hati tu memang tak payah cakap la, nak teruskan perkahwinan, takut pisang berbuah dua kali. Nak lepas bebas, bukannya mudah nak kena naik mahkamah sebab suami tak mau lepas. 
.
Macam tu la jadi kat Dayah (Bukan nama sebenar). Orangnya muda sangat-sangat. Kahwin diawal usia. Masa nak kahwin tak fikir pun tentang kesusahan. Semua hat yang indah belaka. Rupa-rupanya hujan ditengah hari. Rumahtangga bergolak tak sampai setahun pun nikah. Suaminya tak sediakan nafkah asas dan bila bergaduh, Dayah bawak diri lari ke rumah ibu bapanya.
.
Hampir 3 tahun kes Dayah naik turun Mahkamah. Alhamdulillah, akhirnya Mahkamah sabitkan fasakh pada Dayah. Ada yang kata, awat lama sangat? Beratnya Ujian kat Dayah, mungkin tak sama dengan berat ujian orang lain. 

Isu nafkah tak dapat bukan isu yang ringan dan berat jugak nak bukti kat Mahkamah. Hakim juga ada pandangan yang berbeza. Ye la kan, Hakim pun manusia jugak.
.
✅ Apa nafkah asas yang patut isteri dapat?

Dalam syarak, nafkah asas yang wajib dapat pada seorang isteri adalah makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Cuma, kalau suami setuju dalam tempoh perkahwinan nak
bagi dalam bentuk wang ringgit pun boleh. Yang penting, semua keperluan asas yang tadi tu cukup. 
.
✅ Kalau suami tak sedia langsung semua tu?

Isteri boleh failkan Cerai Takliq bawah seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah ataupun Fasakh bawah seksyen 53 (1)(b) suami cuai atau gagal beri nafkah selama tempoh 3 bulan

✅ Kalau sekejap bagi, sekejap tak macam mana? Atau kadang tak cukup?

Sebaiknya, tuntut nafkah diri sebagai isteri dahulu di Mahkamah. Ia tertakluk di bawah seksyen 60 Enakmen Keluarga Islam. Selesai bicara, kalau tak disabitkan nusyuz, Mahkamah akan bagi satu perintah amaun nafkah yang perlu diberikan suami setiap bulan.

✅ Kalau suami tak kerja, macam mana?

Tanggungan nafkah akan berpindah kepada bapa mertua, datuk sebelah bapa dan golongan-golongan lain yang ditetapkan syarak iaitu keluarga sebelah pihak lelaki.

✅ Kalau isteri tak tinggal sekali dengan suami, boleh ke dapat nafkah?

Jika perkahwinan itu sememangnya dari awal dah PJJ, ada persetujuan tentang tempat tinggal berasingan, mungkin tak jadi masalah. Yang pasti, walau jauh, suami tetap wajib sediakan nafkah melainkan ada keredhaan dan apa-apa persetujuan.

Tapi, kalau isteri sengaja keluar dari rumah perkahwinan yang disediakan suami tanpa apa-apa sebab yang sah disisi syarak, maka, hak nafkah isteri mungkin digugurkan DENGAN SYARAT suami dapatkan pengisytiharan Nusyuz terhadap isterinya di Mahkamah. Bukan boleh terus suami isytihar nusyuz macam tu saja yer.

✅ Kalau disabit nusyuz, tak boleh dapat Fasakh ke?

Boleh tuntut fasakh, tapi tak boleh mohon fasakh atas sebab suami gagal beri nafkah kerana isteri yang disabit nusyuz, tidak layak untuk dapat nafkah sehingga dia bertaubat semula mengikut seksyen 60 (3) Enakmen Keluarga Islam Kedah.

Sebenarnya ada isu yang lain jugak yang didakwa dalam kes Dayah tersebut, tapi, cukuplah saya sharekan sikit tentang isu suami gagal beri nafkah dalam kes fasakh ni sebab saya yakin, ramai wanita yang alami isu ini. 
.
Kalau nak tahu betul atau tidak, jom komen dan tekan sekali butang share untuk bantu lebih ramai wanita lain mengetahui maklumat ini. Saya sangat hargai.
.
Terus Follow dan Like Page Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih info tentang isu Mahkamah Syariah.
.
Gantung Tak Bertali, Lama-lama Putus Jua.
#lawyerkfassc
#fasakh

Sunday, 7 July 2019

Bapa dapat Jagaan Anak Disleksia

BAPA DAPAT JAGAAN ANAK DISLEKSIA
.
Saya suka pembawaan drama TV3 semalam oleh Jinggo, suami Sheila Rusly, kisah tentang seorang lelaki yang mengalami Disleksia mengharungi perkahwinan lakonan Nazim Othman dan Emma Maembong. Cerita yang sebeginilah boleh mendidik masyarakat tentang keunikan yang ada seseorang individu yang mungkin kita tidak tahu sebagai masyarakat awam.
.
Saya bukan nak ulas tentang drama tersebut sebab bukan bidang saya nak ulas tentang drama tu. Cuma teringin nak share tentang isu Hak Jagaan Anak, kes yang pernah saya kendalikan sebelum ini berkaitan dengan anak yang mengalami Disleksia. Kes ini agak menarik dimana saya mewakili seorang ayah yang mahukan hak jagaan terhadap seorang anak yang mengalami hal tersebut.
.
👉🏻 Sebenarnya Disleksia ini bukanlah satu penyakit kronik atau virus yang boleh mengancam seorang kanak-kanak, Cuma ia disebabkan kerosakan pada kebolehan otak anak tersebut untuk terjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Orang-orang kita selalu sebut sindrom ‘lambat membaca’. Walaupun ia bukan penyakit berbahaya, tetapi kesannya boleh sebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran.
.
👉🏻 Jadi isunya, kes tersebut adalah seorang bapa yang mahu hak jagaan diberikan kepadanya keatas seorang anak yang berumur lebih kurang 6 tahun, perempuan. Pihak-pihak telah bercerai dan ibu tersebut merupakan seorang yang bekerjaya bagus. Si bapa juga seorang yang bekerjaya bagus dan banyak luang masa dengan anak tersebut sejak daripada kecil sebab bekerja dari rumah sahaja. Perpisahan berlaku disebabkan pihak-pihak ingin membawa hala tuju masing-masing. Tapi, yang jadi masalah adalah ‘Siapa yang layak menjaga anak tersebut?’
.
✅ Seksyen 82 (1) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004 memperuntukkan Ibu adalah yang paling berhak untuk mendapat jagaan anaknya semasa dalam tempoh perkahwinan ataupun selepas perkahwinannya dibubarkan.
.
✅ Ibu tersebut juga tidaklah hilang kelayakan sebagai Hadinah dibawah seksyen 84 Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004 iaitu ibu akan hilang kelayakan jika :

   ✳️ Berkahwin dengan lelaki lain
   ✳️ Berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
   ✳️ Menukar pemastautinannya untuk pisahkan dan cegah bapa melawat
   ✳️ Murtad
   ✳️ Cuai atau aniaya anak
 
Jadi, memang tidak ada isu hilang kelayakan terhadap ibu tersebut sebagaimana diatas. 

✅ Bahkan, jika dilihat Seksyen 85 (1) Enakmen keluarga tersebut, umur anak perempuan tersebut belum pun mencapai 9 tahun iaitu belum mencapai umur mumaiyiz yang ditetapkan oleh undang-undang untuk dia membuat pilihan. Maka, sememangnya berat kepada ibu dalam kes jagaan tersebut.
 
👉🏻 Namun, isu ini menjadi berat kepada si bapa disebabkan bapa tersebut yang selalu bersama dengan anak itu. Si bapa yang banyak membawa anak tersebut berjumpa dengan pakar Disleksia serta banyak bagi dorongan kepada anak tersebut. Dalam kes ini juga, ibu tersebut sebenarnya tidak dapat menerima hakikat bahawa anaknya tidak dapat membaca dengan baik, lambat bercakap dan sering memarahi anak tersebut kerana kerap menconteng dinding rumah dengan ‘Crayon’ dan melukis di dinding.
.
👉🏻 Sebaliknya, si bapa seorang yang penyabar dan amat memahami perkara yang telah berlaku kepada anaknya walaupun ada kekurangan disatu sudut tapi beliau yakin, kemampuan anaknya dari sudut yang lain. Malahan, kebajikan anak tersebut juga sangat terbela dibawah jagaan bapanya dan bapa tersebut tidak pun menghalang untuk ibu tersebut berjumpa dengan anaknya pada bila-bila masa.

✅ Atas sebab itu, mengikut Seksyen 87(1) dan 87(2) Enakmen Keluarga Islam Pulau Pinang 2004, yang menyatakan, Mahkamah boleh memilih orang yang berhak untuk jagaan anak walaupun mana-mana persatuan yang tujuannya adalah menjaga kebajikan anak-anak. Pertimbangan utama yang Mahkamah letakkan di dalam kes jagaan anak mengikut seksyen tersebut adalah Kebajikan kanak-kanak tersebut.
 
👉🏻 Oleh sebab itu, bab penjagaan anak ini, perlu diperhalusi dan diteliti khususnya isu tersebut supaya perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah sememangnya dapat memberikan keadilan yang wajar khususnya kepada anak tersebut. Anak ini permata berharga dan amanah yang dipikul oleh penjaga itu bukanlah perkara yang kecil. Disleksia ini satu ujian dan juga satu anugerah yang Allah berikan pada insan-insan tertentu.
 
❤️ Billionaire terkenal, Steve Jobs (Founder Apple) Iphone yang korang pakai tu, Bill Gates (Founder Microsoft) komputer yang korang selalu guna tu, Tom Cruise (Pelakon Antarabangsa), Sir Isaac Newton (Saintis), Muhammad Ali (Peninju), Walt Disney (Founder Kartun Disney) dan ramai lagi, adalah insan yang mengalami Disleksia. Mana tahu, anak anda yang ada isu yang sama akan berjaya insan yang berjaya juga seperti mereka.
.
Semoga penulisan ini akan membantu dan beri lebih manfaat kepada semua orang. Jom tekan butang Share dan sebarkan artikel ini untuk kita kongsikan ilmu dan peroleh manfaat sedekah berkekalan, insya allah.
.
Follow kami Khairul Fahmi & Associates : Peguam Syarie Kedah, Penang, Perlis & Perak untuk dapat lebih info tentang isu Mahkamah Syariah.

Friday, 28 June 2019

Jangan Didik Cerai Luar Mahkamah

DRAMA MELAYU, DIDIK MASYARAKAT CERAI LUAR MAHKAMAH

Sedang saya dok jamah dinner saya kat area Shah Alam ni di sebuah kedai makan, saya terlihat sebuah drama tv3, Bukan Cinta Aku lakonan Syafiq Kyle dan Janna Nick. Cerita ni saya rasa ramai yang follow. Saya tak nak ulas tentang drama tu. Cuma, saya nak beri teguran ikhlas untuk penulis skrip Drama dan Pengarah Drama la kot. 

Ada satu babak di dalam drama tersebut dimana Tengku Isma demi nak lihat Ariana bahagia, dia membawa Ariana dan serahkan pada Arjuna. Yang saya cukup tak berkenan babak ni adalah, Lafaz Cerai tu berlaku di tepi pantai sahaja.

Saya rasa ini bukan drama pertama dan bukan juga kali pertama kita disajikan dengan tontonan media khususnya drama Melayu yang sering buat cerita Suami lafaz cerai Isteri di tempat selain dihadapan Hakim dan di dalam Mahkamah. 

✅ Adakah sah lafaz talak tersebut?

👉🏻 Lafaz talak tersebut mungkin sah disisi Syarak kalau cukup rukunnya. Tetapi, talak bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main dan mudah-mudah untuk dilafazkan oleh suami walaupun dibenarkan di dalam Syarak.

✅ Adakah menjadi satu kesalahan?

👉🏻 Ya, semestinya ia satu kesalahan di bawah seksyen 125 Enakmen Keluarga Islam Kedah iaitu
“Jika seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.”

👉🏻 Ramai lelaki yang tak tahu hal ini. Dan kemudian terkejut bila dapat Saman daripada Jabatan Pendakwa Syarie Negeri untuk hadir bagi satu kes jenayah yang telah dilakukan. Mau tak mau, kena mengaku la sebab dah memang berlaku diluar mahkamah dan selalu denda ratus-ratus gak la. 

✅ Apa yang perlu dibuat kalau dah terlafaz cerai diluar Mahkamah?

👉🏻 Suami atau isteri mestilah di dalam tempoh 7 hari daripada tarikh lafaz cerai tersebut berlaku membuat satu saman pengesahan lafaz cerai luar mahkamah dan difailkan untuk membuat pengesahan dihadapan hakim syarie mengikut seksyen 57(1) Enakmen Keluarga Islam Kedah. 

👉🏻 Kalau lambat pada hemat saya, ia mungkin jadi satu kesalahan di bawah seksyen 126(1) iaitu tidak membuat laporan yang sepatutnya dan boleh didenda tidak lebih rm1000 atau 6 bulan penjara. Tapi, jarang berlaku pendakwaan kes ini. Saya tak tahu, ini kuasa pihak pendakwa untuk mendakwa. Tapi, selalunya kalau lambat daftar untuk buat pengesahan cerai, memang akan menyebabkan Hakim tak suka ler. 

✅ Apa kesan lain kalau berlaku cerai diluar Mahkamah?

👉🏻 Nilai Nafkah Eddah, Nafkah Tunggak & Mutaah

Mungkin ada yang cerai tersebut disebabkan dakwaan mereka isteri telah berlaku curang atau berlaku nusyuz tapi tak mendapatkan perintah nusyuz daripada Mahkamah terlebih dahulu. Akibatnya, ramai lelaki yang terkejut bila dah disahkan cerai, bekas isteri tersebut boleh tuntut Nafkah Eddah dan Nafkah Tertunggak. Walaupun, nusyuz mungkin tak gugurkan Mutaah, tetapi jika isteri dibuktikan nusyuz, mungkin dapat kurangkan jumlah tuntutan Mutaah tersebut.

👉🏻 Undang-undang Syariah jadi undang-undang rimba

Bila banyak orang anggap cerai boleh saja dilakukan diluar Mahkamah, jadi undang-undang ini akan diabaikan dan boleh dibuat main-main. Tambah-tambah, jumlah dendanya pun bagi sesetengah orang, jumlahnya tu celah gigi jer nak bayar.

👉🏻 Sukarkan isteri

Banyak keadaan, lafaz cerai berlaku di dalam rumah dan tak ada orang lain yang dengar melainkan isteri. Jadi, bila isteri buat pengesahan di Mahkamah, ada suami yang sengaja bersumpah nafi walaupun benar. Ada juga yang tidak hadir. Ada juga isteri yang tak ingat waktu dan bentuk lafaz. Akhirnya yang jadi mangsa bukan takat isteri, mungkin Hakim sekali pening nak putuskan.

✅ Jadi, bagaimana proses yang sebenar?

👉🏻 Sekiranya jodoh tak panjang, walau marah macam mana sekalipun, jadi gentle. Pergi ke Mahkamah dan cakap nak failkan Permohonan Cerai cara baik bawah seksyen 47. Sekarang ni, kat Mahkamah dah ada fast track. Just isi ja maklumat di komputer. Kalau rasa macam nak lantik peguam pun tak ada masalah. Atas kehendak dan keperluan masing-masing. Tak paksa pun. Nanti datang jer ikut tarikh yang Mahkamah bagi. Settle.

Jadi, saya mohon sangat-sangat, isu ini diambil berat. Drama Melayu ni ramai yang tengok. Banyak masyarakat akan mudah ikut apa yang ada kat tv dan media. Jadi, please..statistik perceraian kini kian meningkat khususnya dikalangan orang muda. Jangan disebabkan hal ini, anda menjadi Agen kepada pendorong kearah peningkatan statistik ini.

Saya mintak kita sebarkan apa yang saya nak sampaikan ini demi mendidik masyarakat yang lebih bertamadun. 

Follow dan like page Khairul Fahmi & Associates untuk dapat lebih info isu Mahkamah Syariah.

#lafazcerailuarmahkamah
#lawyerkfassc

Lelaki Pun Ada Eddah

Serius Baru Tau! Lelaki Pun Ada ‘Eddah’ Ada sorang laki datang jumpa saya, baru bercerai dengan isteri dia. Dia tanya, “Tuan, saya nak kahwi...